Peta hasyur
Hasyur adalah kaedah lama untuk mempamerkan relief. Ia menunjukkan arah lereng, dan melalui ketebalan garis dan kepadatannya ia memberikan gambaran kecerunan lereng tersebut. Kerana tidak bersifat numerik, ia tidak begitu berguna bagi kegunaan saintifik berbanding garis kontur, tetapi mampu mempamerkan pelbagai bentuk muka bumi yang berbeza. Ia adalah sejenis lorekan, tetapi berbeza daripada yang digunakan dalam peta berlorek.
Perlambangan relief menggunakan hasyur telah diseragaman oleh ahli topografi Austria, Johann Georg Lehmann pada tahun 1799.[1] Hasyur boleh digabungkan dengan kaedah lain untuk menunjukkan relief—menggunakan lorekan, misalnya, yang menghasilkan peta hasyur berlorek; satu contoh peta sebegini ialah Peta Dufour Switzerland.[2] Emil von Sydow telah mereka peta dengan garis hasyur berwarna: hijau bagi tanah rendah dan perang bagi tanah tinggi.
Pengenalan
[sunting | sunting sumber]Hasyur adalah garis strok (gegaris atau lekuk-lekuk pendek) yang dilukis mengikut arah lereng yang paling curam (arah aspek).[1] Lereng yang lebih curam digambarkan dengan garis-garis yang tebal dan pendek, manakala lereng landai pula dengan garis-garis yang nipis, panjang dan lebih berjarak. Lereng yang sangat landai atau kawasan rata, seperti di atas bukit, biasanya dibiarkan kosong.
Hasyur biasanya mempunyai satu warna sahaja, biasanya hitam, kelabu atau perang. Dengan menggunakan dua warna saling melengkapi untuk hasyur di atas warna latar belakang neutral (cth: garis hitam dan putih atas latar kelabu) boleh memberikan kesan lorekan seolah-olah relief tersebut disinari cahaya.
Peraturan
[sunting | sunting sumber]Untuk menggambarkan relief dengan hasyur di atas peta, enam peraturan perlu diikuti, menurut G.R.P. Lawrence (1979):[3]
- Hasyur dilukis mengikut arah kecerunan paling curam.
- Hasyur disusun dalam barisan yang berserenjang dengan arah ia dilukis
- Panjang dan ketebalan setiap strok menggambarkan jatuhan ketinggian sepanjang arah strok tersebut: strok yang pendek dan tebal menggambarkan lereng yang pendek dan curam, manakala strok yang panjang dan nipis menggambarkan lereng yang panjang dan landai.
- Strok dijarakkan sama-rata dalam satu baris.
- Strok mempunyai ketebalan sama dalam satu baris.
- Jika peta tersebut disinari cahaya, strok dilukis lebih nipis dan berjarak di bahagian yang disinari.
Ahli kartografi Switzerland Eduard Imhof telah menetapkan 5 peraturan serupa:[4]
- Hasyur mengikut arah kecerunan paling curam
- Hasyur disusun dalam barisan melintang
- Panjang hasyur mewakili jarak melintang tempatan antara mana-mana dua garis kontur yang bersela tertentu
- Hasyur lebih tebal bagi lereng yang lebih curam
- Kepadatan hasyur seragam di seluruh kawasan peta
Jika pencahayaan peta menegak, peraturan 5 dikekalkan; bagi pencahayaan serong, ia ditinggalkan. Peraturan-peraturan ini sepatutnya diikuti bagi peta berskala besar. Jika peta yang dilukis adalah peta berskala kecil (kurang daripada 1:500,000 mengikut Imhof), peraturan-peraturan ini boleh dilonggarkan untuk mendapatkan gambaran yang lebih ketara.
Garis hasyur masih digunakan hari ini dalam peta berskala besar untuk menggambarkan lereng-lereng, dan dalam peta-peta Ordnance Survey (OS) Britain, serta dalam peta-peta topo pelbagai negara untuk melambangkan tetambak dan pemotongan jalan raya dan jalan keretapi. Dalam peta OS Britain ia kini menjadi segi tiga panjang dengan tapak pendek di sebelah atas, dan sentiasa menunjuk ke arah turun bukit. Tetambak turut dilabel dengan garisan di sekeliling segi tiga tersebut.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Patrick J Kennelly and A Jon Kimerling (2001). "New Tools Produce Classic Cartographic Effects". Dicapai pada 2010-07-22.
- ^ Dufour Map from The Federal Office of Topography of Switzerland Diarkibkan Januari 10, 2008, di Wayback Machine
- ^ Elaine R S Hodges, penyunting (2003). The Guild Handbook of Scientific Illustration (ed. 2nd). John Wiley and Sons. Dicapai pada 2010-07-22.
- ^ Patrick J Kennelly and A Jon Kimerling (2000). "Desktop Hachure Maps from Digital Elevation Models". Cartographic Perspectives. doi:10.14714/CP37.811. Dicapai pada 2016-09-02.