Pinakol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pinakol merujuk pada hiasan gubahan manik yang dipakai oleh masyarakat Rungus di utara Sabah, Kudat. Gubahan manik Pinakol telah menjadi warisan turun temurun dikalangan masyarakat Rungus di Kudat. Pinakol menjadi pusaka turun temurun dalam keluarga rungus di sebelah perempuan, iaitu, peninggalan ibu kepada anaknya perempuannya. [1]

Pinakol terdiri daripada sepasang tali pinggang jenis selempang bermanik leper yang dikenakan melintang dada ke belakang bagi kegunaan hiasan biasa. Sejenis lagi biasanya dikenakan pada tradisi perkahwinan suku kaum Rungus di Kudat. Hasil kerja manik, warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan etnik Rungus dari etnik lain di Sabah dengan mudah. Ia sering dikenakan bersama pakaian tradisi masyarakat Rungus yang kebiasannya bewarna hitam.[2]

Hasil kerja manik Pinakol seringkali memiliki erti, satu contoh yang menjadi kajian adalah mengenai seorang pemburu yang memburu haiwan sungai dengan menggunakan lembing (Benggon 1992:14).

Pinakol tersebut terbahagi pada empat bahagian dengan manik di bahagian atas memiliki corak bunga yang cantik yang dipanggil vinusak. Pada bahagian kedua menggambarkan sejenis haiwan sungai yang merbahaya yang mampu melumpuhkan seseorang dengan gigitannya. Haiwan tersebut dikatakan telah pupus akibat kegiatan menuba sungai. Di bahagian bawahnya terdapat hiasan lembing memburu ikan yang dipanggil inompuling, dengan bahagian terakhir menggambarkan seorang Rungus yang bernama Tiningulung.

Terdapat beberapa jenis Pinakol iaitu Pinakol, Litai Sabah, Litai Venusak, Tinutu dan Inavol. Pinakol turut dikenakan bersama hiasan lain seperti rampai dan tinggot.

Pinakol manik ini menjadi perhiasan penting untuk dikenakan bersama pakaian masyarakat Rungus dan ia turut menjadi simbolik adat istiadat kematian dan perkhawinan dalam etnik Rungus. Warna manik hitam, putih dan merah merupakan warna asas yang sering digunakan oleh masyarakat Rungus.

Pada masa kini, hasil seni ini turut diusahakan secara meluas untuk menjana pendapatan keluarga. Kini, Pinakol boleh didapati secara meluas di pasaran sebagai hiasan. Harga pinakol amatlah bersesuaian dengan nilai estetiknya yang sangat tinggi, selain mengambil masa selama 2 minggu untuk disiapkan.

Pinakol juga pernah ditonjolkan dalam set stem Malaysia.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Manik pinakol keunikan budaya Rungus". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-29. Dicapai pada 2014-09-04.
  2. ^ Pakaian Tradisional Momogun Rungus
  3. ^ Beads on Stamps: Gallery 2