Pinjaman peribadi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Pinjaman Peribadi di Malaysia

Definisi pinjaman peribadi adalah pembiayaan untuk di mana tujuan penggunaan wang pinjaman tidak perlu didedahkan kepada pihak peminjam semasa permohonan. Dana daripada pinjaman peribadi boleh diguna untuk pelbagai tujuan seperti melancong, membayar perbelanjaan isi-rumah, membayar balik hutang, perbelanjaan semasa perayaan, bil perubatan, tujuan kecemasan seperti memperbaiki kenderaan atau rumah, kos pinjah rumah, bayar yuran pendidikan dan sebagainya. Kebanyakan pakej pinjaman peribadi yang di tawarkan di Malaysia biasanya tanpa cagaran dan tidak perlu penjamin.[1]

Kadar faedah pinjaman peribadi biasanya lebih tinggi berbanding pinjaman spesifik seperti pinjaman kenderaan, perumahan atau perniagaan. Tidak seperti pinjaman rumah yang menggunakan kaedah reducing balance – pengiraan faedah pinjaman peribadi biasanya menggunakan kaedah kadar faedah tetap. [2] Selain itu, pengiraan penjelasan hutang secara awal untuk pinjaman peribadi biasa mengikut kaedah jumlah digit yang mengenakan kebanyakan faedah pada permulaan pinjaman. [3]

Sejak tahun 2013, tempoh maksima pembayaran balik pinjaman dihadkan kepada 10 tahun oleh Bank Negara Malaysia dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah Malaysia yang berada di tahap antara paling tinggi di Asia. [4]

Institusi-Institusi Peminjam[sunting | sunting sumber]

Terdapat 4 kategori institusi yang menawarkan pinjaman peribadi secara sah di Malaysia iaitu bank komersil, koperasi, pinjaman berlesen dan institusi kewangan bukan perbankan seperti MBSB dan AEON Credit.

Bank Komersil[sunting | sunting sumber]

Bank komersil merupakan institusi yang paling popular untuk memohon pinjaman peribadi. Kadar faedah bergantung kepada risiko kredit bermasalah atau NPL (non-performing loan). Secara kasar, kadar faedah adalah antara 8% - 14% untuk pekerja swasta dan 4% - 8% untuk penjawat awam. [5]Antara faktor-faktor yang mempengaruhi risiko adalah sejarah kredit, majikan, pekerjaan dan industri, tempoh perkhidmatan dan komitmen kewangan bulanan.

Secara umum kadar faedah lebih rendah dalam kes-kes yang berikut:

  • Peminjam merupakan kakitangan kerajaan di mana pembayaran balik hutang ditolak daripada gaji secara otomatik.
  • Rekod pembayaran balik hutang yang elok (laporan CTOS dan CCRIS)
  • Peminjam tidak mempunyai banyak tanggungan atau komitmen hutang
  • Peminjam mempunyai kerja yang stabil dengan gaji tetap

Koperasi[sunting | sunting sumber]

Pinjaman peribadi koperasi hanya untuk kakitangan kerajaan dan badan berkanun di mana pembayaran balik boleh dilakukan melalui potongan gaji oleh Biro Angkasa. Secara umum, kadar yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada pakej bank komersil untuk penjawar awam tetapi lebih rendah dari kadar pakej untuk pekerja swasta. [6]Keunikan pinjaman peribadi koperasi adalah ia menerima pemohon yang telah disenarai-hitamkan oleh pihak bank kerana laporan kredit (CTOS dan CCRIS) tidak memuaskan. Nilai pinjaman adalah sangat tinggi iaitu sehingga RM250,000.

Pinjaman Berlesen[sunting | sunting sumber]

Kerajaan juga memberi lesen kepada syarikat swasta bukan bank untuk menawarkan kemudahan kredit. Aktiviti syarikat-syarikat pinjaman berlesen dipantau oleh Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemberi Pinjaman 1951. Terdapat hampir 3,000 syarikat pemberi pinjaman wang berlesen di seluruh negara.[7]

Had maksima kadar faedah yang dikenakan adalah 18% setahun atau 1.5% sebulan untuk pinjaman tanpa cagaran dan 12% setahun untuk pinjaman bercagar. [8]Pasaran sasaran syarikat berlesen ini adalah golongan peminjam yang gagal memohon pinjaman bank atau koperasi. Oleh kerana risiko gagal kutip balik hutang pinjaman adalah tinggi, syarikat pinjaman berlesen biasanya menghadkan jumlah pinjaman kepada RM10,000 ke bawah. [9]

Institusi Bukan Perbankan Lain[sunting | sunting sumber]

Selain daripada bank, koperasi dan institusi pinjaman berlesen, institusi lain yang menawarkan pinjaman koperasi adalah seperti Malaysian Building Society Berhad (MBSB) dan AEON Credit Service. MBSB dan AEON Credit Service menawarkan pinjaman peribadi kepada penjawat awam dan juga pekerja swasta. Syarat pinjaman adalah lebih kurang sama seperti bank-bank komersil.[10][11]

Pemberi Pinjaman Tanpa Lesen[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, gejala pinjaman tanpa lesen (Ah Long dan ceti haram) berleluasa. Poster haram iklan perkhidmatan ah long senang dijumpai di merata-rata walaupun kerajaan selalu menjalankan Ops Turunkan Poster Pinjaman Wang Tanpa Lesen. [12]Tidak kira disenaraihitamkan oleh pihak bank atau institusi kewangan atau berstatus muflis, peminjam amat mudah mendapat pinjaman. Kadar yang dikenakan sangat tinggi sehingga 25% sebulan. Lagipun, ah long dan ceti haram terkenal dengan kekerasan dan ugutan sekiranya gagal membayar.

Pinjaman Konvensional dan Islamik[sunting | sunting sumber]

Selain pakej pinjaman konvensional, bank-bank komersil juga menawarkan pakej pembiayaan berlandaskan konsep syariah tanpa riba. Kebanyakan pakej pinjaman islamik di Malaysia menggunakan konsep Mudharabha dan Tawarruq yang melibatkan akad jual beli komoditi dengan margin atau kadar untung yang dipersetujui oleh penjual (pemberi pinjaman) dan pembeli (peminjam). Pakej islamik semakin popular dan ianya bukan sahaja mendapat sambutan daripada umat islam malah juga daripada peminjam bukan islam.[13]