Seni Silat Gabungan GerakPanca

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Logo Rasmi 2010

Seni Silat Gabungan GerakPanca atau SENI SILAT GAGAH GERAKPANCA ialah sejenis silat yang diasaskan oleh En. Samson bin Subari sejak tahun 80-an lagi di mana buku silibus dan perlembagaan perguruan telah lengkap dibina pada tahun 1988. Silat ini ditubuhkan sebagai suatu kaedah 'titik pertemuan' penyatuan kepada semua cabang ilmu persilatan Melayu yang begitu banyak di seluruh Nusantara. Beliau telah dibantu oleh tiga orang sahabat karib beliau sendiri iaitu En. Azmi Bin Abd. Rahman, En. Nor Azman Bin Abd. Wahid dan En. Azizan Bin Omar. Pada peringkat awalnya, silat ini telah diauar kepada penduduk di sekitar kampung kelahiran En. Samson bin Subari. Banyak gelanggang beliau seperti di Parit Besar, Bagan, Kampung Peserai Kecil, Pt. Kuda dan banyak lagi. Dari segi pengurusan pula ianya dijalankan secara persendirian dengan naungan dari pihak berkuasa kampung seperti Penghulu dan Ketua Kampung. Pada tanggal 17 Mei 2009, Perguruan Seni Silat Gabungan Gerakpanca telah berjaya didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Johor dengan nama barunya iaitu PERTUBUHAN SENI SILAT GAGAH GERAKPANCA, BATU PAHAT, JOHOR (PSSGGP). Berdasarkan Mesyuarat Agung tahunan kali pertama tahun 2010, nama persilatan ini telah ditukar kembali kepada PERTUBUHAN SENI SILAT GABUNGAN GERAKPANCA.

Mahaguru[sunting | sunting sumber]

Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Gagah GerakPanca ialah En. Samson bin Subari. Beliau dilahirkan di Kg. Peserai Kecil, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor pada 5 Mei 1962 dan sekarang tinggal di Taman Bukit Perdana, 83000 Batu Pahat, Johor. Beliau mempunyai kelulusan akademik di dalam Diploma Pentadbiran Am dan Diploma Pentadbiran Perniagaan.

Beliau sangat berminat mempelajari ilmu persilatan sejak berusia 12 tahun lagi. Ilmu persilatan yang pertama beliau pelajari ialah Silat Gayong pada tahun 1975. Beliau juga aktif belajar dan berlatih ilmu persilatan dengan ramai guru-guru silat di kampung-kampung dalam daerah Batu Pahat di negeri Johor dan beberapa tempat di pedalaman negeri Perak dan Selangor. Beliau juga berguru dengan beberapa orang-orang tua yang mempunyai pengetahuan dalam ilmu kebatinan dan menuntut ilmu dengan beberapa guru yang datang dari Indonesia.

Beliau memang diakui mempunyai bakat besar dan berkecenderungan untuk mengkaji ilmu persilatan Melayu dengan minat yang sangat mendalam. Beliau juga tekun berlatih segala ilmu persilatan yang telah dipelajarinya dengan bersungguh-sungguh seperti Silat Sendeng, Silat Cekak Sabil, Silat Gayung Bugis, Ibu Silat Cekak, Silat Gayang Lima dan lain-lain lagi. Beliau diijazahkan sebagai jurulatih semasa berumur 15 tahun dan mula membuka gelanggang di kampung kelahirannya sendiri iaitu Kampung Peserai Kecil dan beberapa kampung dalam daerah Batu Pahat seperti Kampung Batu Putih, Kampung Parit Kuda dan Kampung Parit Besar. Pada tahun 1992, beliau telah diberi kepercayaan membuka gelanggang persilatan di SMK Dato Onn dan pada tahun 1999 mula menganjurkan kursus-kursus Tenaga Dalam di Skudai, Johor.

Sekarang beliau telah membuka sebuah perguruan silat sendiri yang dinamakan Pertubuhan Seni Silat Gagah GerakPanca yang baru sahaja melalui proses pendaftaran yang sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Beliau juga mempunyai beberapa orang Jurulatih dan ramai anak murid di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]