Stetoskop

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sepasang stetoskop moden.

Stetoskop (daripada stetho- "dada + -scope "-skop, alat mencerap") ialah sebuah alat perubatan yang digunakan untuk mendengar bunyi dari dalam tubuh manusia, lazimnya bunyi degupan jantung dan bunyi pernafasan. Ia juga boleh digunakan untuk mendengar bunyi dari usus dan aliran darah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Stetoskop dicipta di Perancis pada tahun 1816 oleh seorang doktor bernama René Laennec di Hôpital Necker – Enfants Malades ("Hospital Kanak-Kanak Sakit Necker"), Paris,[1][2] di mana rekaan awal yang dihasilkan oleh beliau terdiri dari sebatang tiub kayu berongga dengan hanya satu hujung telinga. Laennec mendapat ilham mencipta alat ini daripada pengalamannya yang tidak selesa hendak meletakkan telinganya di hadapan dada pesakit wanitanya untuk mencari simptom penyakit.[3]

Pada tahun 1851, seorang doktor warga Ireland bernama Arthur Leared mereka sebuah stetoskop yang mempunyai sepasang hujung telinga, dan pada tahun 1852 pula George Cammann menyempurnakan reka bentuk stetoskop bagi tujuan penghasilan komersial, yang akhirnya menjadi rekaan standard alat ini.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Akustik[sunting | sunting sumber]

Stetoskop jensi ini merupakan jenis yang paling dikenali orang ramai. Ia berfungsi melalui peredaran suara daripada hujung dadanya melalui tiub berongga hingga ke hujung telinga alat yang dicerap telinga pendengar. Hujung dada alat ini terdiri daripada dua sisi yang boleh dilekapkan pada dada pesakit bagi mengesan bunyi; iaitu sisi diafragma (cakera plastik) atau sisi leloceng (bekas cekung). Jika sisi diafragma diletakkan pada dada pesakit, bunyi-bunyi dari dada akan menggetarkan diafragma menghasilkan gelombang tekanan akustik yang bergerak melalui tiub kepada telinga pencerap. jika sisi leloceng dilekapkan kepada dada pesakit: getaran pada permukaan kulit menghasilkan gelombang tekanan akustik secara terus, yang kemudiannya bergerak ke telinga pencerap. Sisi leloceng mengalirkan bunyi berfrekuensi rendah manakala sisi diafragma mengalirkan bunyi berfrekuensi tinggi.

Elektronik[sunting | sunting sumber]

Stetoskop elektronik mengurangkan bunyi rendah dengan meninggikan bunyi-bunyi badan secara elektronik.

Doppler[sunting | sunting sumber]

Stetoskop jenis ini pula mengukur kesan Doppler gelombang ultrabunyi yang dipantulkan daripada organ-organ dalam badan. Pergerakan dikesan melalui perubahan frekuensi gelombang yang dipantulkan akibat kesan Doppler. Oleh itu, stetoskop jenis ini amat bersesuaian untuk mengesan objek yang bergerak, misalnya jantung manusia yang berdegup.[4] 

Janin[sunting | sunting sumber]

Stestoskop janin, "fetoskop", atau "corong Pinard' (Pinard horn) sempena penciptanya Adolphe Pinard (1844–1934), ialah sejenis stetoskop akustik yang berbentuk seperti terompet yang dipakaikan pada abdomen wanita hamil bagi mendengar degupan jantung janin.[5] 

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Laennec, René (1819). De l'auscultation médiate ou traité du diagnostic des maladies des poumon et du coeur. Paris: Brosson & Chaudé.
  2. ^ 'Laennec, R. T. H.; Forbes, John, Sir, A Treatise on the Diseases of the Chest and on Mediate Auscultation (1835). New York : Samuel Wood & Sons ; Philadelphia : Desilver, Thomas & Co. .
  3. ^ Roguin A (September 2006). "Rene Theophile Hyacinthe Laënnec (1781–1826): The Man Behind the Stethoscope". Clin Med Res. 4: 230–5. doi:10.3121/cmr.4.3.230. PMC 1570491. PMID 17048358.
  4. ^ S. Ananthi, A Textbook of Medical Instruments, pages 290-296, New Age International, 2006 ISBN 8122415725.
  5. ^ ARUP KUMAR MAJHI (2016-08-16). Bedside Clinics In Obstetrics. Academic Publishers. m/s. 47–. ISBN 978-93-83420-87-2.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.