Teres (geologi)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mendapan yang terletak di bawah teres sungai yang terdedah di tebing hakis sepanjang Sungai Manú, Peru.

Dalam geologi, teres atau jenjang (Jawi: تيريس atau Jawi: جنجڠ) ialah bentuk muka bumi yang nampak seperti tangga. Teres mempunyai "jejak", iaitu permukaan yang rata atau landai, yang biasanya bersebelahan dengan cerun yang lebih curam, yang dipanggil "tetingkat" atau "tubir". Kedua-dua jejak dan cerun (tetingkat atau tubir) ini membentuk teres. Teres juga boleh mempunyai jejak yang dikelilingi tubir di semua sisi. Teres yang sempit selalunya dipanggil undak.[1][2]

Mendapan yang mendasari jejak dan tetingkat teres juga biasa disalah panggil "teres", menyebabkan kekeliruan.

Teres ada pelbagai cara pembentukan.

Teres sungai[sunting | sunting sumber]

Teres sungai ialah sisa-sisa dataran banjir sungai. Ia terbentuk apabila sungai atau alur menghakis dasar dan meninggalkan dataran banjirnya. Proses ini dipanggil "pengerukan dasar". Ini boleh berlaku kerana aras laut berubah, kerak bumi terjulang di kawasan tertentu, perubahan iklim tempatan atau serantau, dan perubahan dalam jumlah mendapan yang dibawa oleh sungai atau alur. Kelainan sungai dan alur yang membentuk teres sungai selalunya disebabkan oleh tumbuhan, cara bentuk muka bumi berubah dari semasa ke semasa, dan cara air bergerak melalui kawasan tersebut. Kebelakangan ini, aktiviti manusia seperti mengubah suai sungai dan alur dan kawasan tadahan airnya juga telah menyebabkan teres terbentuk di banyak sungai dan alur.[1][3]

Keratan rentas lurah yang menunjukkan teres sungai dengan lapisan bahan ditambah (isian) dan dikeluarkan (tarahan dan lembah) oleh sungai, serta mendapan (kerikil tanah tinggi). Catatan: tt = teres tarah, ti = teres isian, ti(t) = teres isian tertimbus, db = dataran banjir aktif, tl = teres lembah/strat, dan kt = kerikil tanah tinggi.

Teres kame[sunting | sunting sumber]

Teres kame terbentuk di sisi lembah glasier, dan ia terbentuk apabila aliran air daripada ais cair mengalir di antara ais dan lembah yang berdekatan, meninggalkan mendapan.

Teres marin[sunting | sunting sumber]

Teres marin ialah kawasan darat yang dahulunya pantai laut. Ia terbentuk apabila ombak menghakis garis pantai (teres potongan laut atau pelantar hakisan ombak). Ia juga boleh terbentuk apabila mendapan terkumpul di pesisiran yang biasanya di bawah air (teres binaan laut atau pantai timbul). Di kawasan tropika, terumbu karang boleh menyebabkan teres laut terbentuk apabila terumbu tumbuh dan menyebabkan bahan terkumpul (pamah terumbu).[4]

Teres marin terbentuk begini: Pertama, ombak kuat menghakis batuan dasar menjadi pelantar (ombak perlulah amat kuat). Akan tetapi, tidak semua pelantar yang dipotong oleh ombak akan menjadi teres marin. Selepas pelantar terbentuk, ia mesti dilindungi daripada ombak kuat. Ini boleh berlaku kerana perubahan aras laut akibat kitaran glasier-antaraglasier, atau kerana apabila pergerakan kerak bumi menjulang darat. Apabila pelantar timbul ke atas aras laut, ia selamat daripada hakisan. Teres begini biasanya ada berderet-deret di kawasan pesisir.[5]

Teres lakustrin[sunting | sunting sumber]

Teres tasik (lakustrin) adalah darat yang tertimbul berhampiran tasik, menandakan di mana garis pantai pernah berada lama dahulu. Seperti teres marin, teres tasik boleh terbentuk dengan penghakisan garis pantai, mendapan terkumpul di kawasan yang timbul sedikit, atau kedua-duanya. Kerana tasik lebih kecil daripada laut, teres tasik lebih halus dan kurang lengkap berbanding teres marin.[6][7] Walau bagaimanapun, bukan semua teres tasik adalah garis pantai lama. Kadangkala ia menandakan dasar tasik-tasik purba yang dibentuk oleh ais, atau tasik yang terbentuk kerana air sungai bergenang.[8][9][10] Akhir sekali, teres kame glasier-tasik pula adalah sisa delta atau dasar tasik yang dibentuk oleh ais lama dahulu.[11]

Teres strukturan[sunting | sunting sumber]

Dalam geomorfologi, teres strukturan ialah teres yang terbentuk apabila lapisan-lapisan batu atau tanah terhakis pada kadar yang berbeza. Proses hakisan ini mendedahkan perukaan rata yang dibuat daripada bahan yang lebih keras sementara bahan yang lebih lembut terhakis. Teres strukturan biasanya terjadi secara berpasangan dan boleh ditemui ia pelbagai tempat, bukan sahaja lembah sungai.[1]

Teres travertin[sunting | sunting sumber]

Teres travertin terbentuk apabila air alkali yang kaya mineral menjadi panas kerana geoterma terbit ke permukaan dan membentuk air terjun, seterusnya memendakkan karbonat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Howard, A.D., R.W. Fairbridge, J.H. Quinn, 1968, "Terraces, Fluvial—Introduction", in R.W. Fairbridge, ed., The Encyclopedia of Geomorphology: Encyclopedia of Earth Science Series, vol. 3. Reinhold Book Corporation. New York, New York.
  2. ^ Jackson, J.A., 1997, Glossary of Geology. American Geological Institute. Alexandria, Virginia.
  3. ^ Blum, M., and T.E. Tonqvist, 2000, "Fluvial responses to climate and sea-level change, a review and look forward." Sedimentology. v. 47 suppl. 1, pp. 2-48.
  4. ^ Pirazzoli, P. A., 2005, "Marine Terraces". in M. L. Scheartz, ed., pp. 632-633. Encyclopedia of Coastal Science. Springer, New York, New York.
  5. ^ Clark, Alisha, Marine Terraces, University of California, Santa Cruz Island Geology and Geomorphology, accessed October 2013 Diarkibkan 2013-10-11 di archive.today
  6. ^ Bowman, D., 1971. "Geomorphology of the shore terraces of the late Pleistocene Lisan Lake (Israel)". Palaeoclimatology, Palaeoecology Palaeoclimatology. v. 9, no. 3, p. 183-209.
  7. ^ Prieto, F.J.G., 1995, "Shoreline forms and deposits in Gallocanta Lake (NE Spain)". Geomorphology. v. 11, no. 4, p. 323-335.
  8. ^ Shaw. E.D., 1915, "Newly discovered beds of extinct lakes in southern and western Illinois and adjacent states". Bulletin no. 20, Illinois State Geological Survey, Champaign, Illinois, p. 139-157.
  9. ^ Clayton, L., J.W. Attig, N.R. Ham, M.D. Johnson, C.E. Jennings, and K.M. Syverson, 2008, "Ice-walled-lake plains: Implications for the origin of hummocky glacial topography in middle North America". Geomorphology. v. 97, no. 1-2, p. 237–248.
  10. ^ Grimley, D.A., D. Larsen, S.W. Kaplan, C.H. Yansa, B.B. Curry, and E.A. Oches, 2009, "A multi-proxy palaeoecological and palaeoclimatic record within full glacial lacustrine deposits, western Tennessee, USA". Journal of Quaternary Science. v. 24, no. 8, p. 960 - 981.
  11. ^ Bitinas, A. D. Karmaziene, and A. Jusiene, 2004, "Glaciolacustrine kame terraces as an indicator of conditions of deglaciation in Lithuania during the Last Glaciation". Sedimentary Geology. v. 165, no. 3-4, p. 285–294.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]