Tisu perantara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tisu perantara atau tisu penghubung ialah sejenis tisu biologi yang menyokong, menghubung atau memisahkan jenis-jenis tisu dan organ badan. Ia merupakan salah satu daripada empat kelas tisu umum—bersama dengan tisu epitelium, tisu otot dan tisu saraf. Tisu penghubung terdapat di seluruh badan kecuali pada sistem saraf pusat. Tisu perantara mempunyai ciri-ciri morfologi yang berbeza. Ia menyumbang dan berperanan dalam pembentukan jenis tisu lain. Fungsi utamanya ialah sebagai penghubung di antara tisu dan juga dapat memegang tisu-tisu tersebut bersama supaya menjadi lebih kuat dan kukuh. Ciri umum semua tisu penyambung dan penyokong ialah berasal dari lapisan mesoderma.

Fungsi[sunting | sunting sumber]

Peranan utama tisu perantara ialah untuk membina bahagian penyokong tisu seperti membentuk tendon, ligamen, tulang dan rawan. Tendon berfungsi untuk menyambung otot dengan tulang. Ligamen berfungsi untuk menyambung tulang dengan tulang, tulang dengan rawan, rawan dengan rawan, dan organ dengan organ. Manakala tulang dan rawan berfungsi untuk menyokong tisu lembut badan. Selain daripada itu juga fungsi tisu perantara untuk memberi perlindungan atau pertahanan daripada serangan mikroorganisma. Tisu ini mengandungi sel fagosit dan sel penghasil antibodi. Sel fagosit menelan bahan asing yang masuk ke dalam badan. Antibodi adalah protein khusus yang dihasilkan oleh sel yang berperanan melawan patogen yang masuk ke dalam sistem perumah.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Tisu perantara terbahagi kepada dua jenis iaitu Tisu Perantara Khusus dan Tisu Perantara Sebenar. Tulang, darah, rawan, limfa, tisu hematopoiesis, sumsum tulang, nodus limfa, limpa dan timus adalah contoh tisu perantara khusus. Ini kerana semuanya mempunyai fungsi yang lebih khusus. Manakala Tisu Perantara Sebenar mempunyai pelbagai fungsi. Ia merupakan tisu penyokong bagi sel jenis epitelium, tisu otot dan tisu saraf. Selain daripada itu juga, tisu perantara ini juga memainkan peranan dalam fungsi pertahanan, pusat simpanan, pengangkutan, pemulihan tisu dan sintesis serat-serat kolagen.

Rujukan[sunting | sunting sumber]