Tunggang dengan Cermat, Ingatlah Orang yang Tersayang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tunggang dengan Cermat, Ingatlah Orang yang Tersayang ialah slogan kepada iklan-iklan keselamatan jalan raya di Malaysia yang disiarkan sekitar 1997 dan awal 2000an, di mana ia menyampaikan tentang keselamatan penunggang motosikal di jalan raya. Ia dilancarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia pada bulan September 1997 untuk mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal yang semakin meningkat pada waktu itu. Sebanyak lapan iklan televisyen telah dihasilkan dengan menggunakan slogan tersebut.

Penjelasan[sunting | sunting sumber]

Tunggang dengan cermat - Penunggang atau pembonceng motosikal yang ingin memulakan perjalanan jauh haruslah menunggang motosikal dengan penuh cermat bagi mengelakkan kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal, agar selamat sampai dan pulang.
Ingatlah orang yang tersayang - Semasa berperjalanan jauh ke destinasi yang dituju, ingatlah selalu kepada orang yang tersayang seperti ahli keluarga, ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, sepupu, rakan-rakan, keluarga mertua dan jiran tetangga. Jika kita ingati mereka, mereka akan mengingati kita juga.

Iklan-iklan televisyen[sunting | sunting sumber]

Nota: Hanya empat iklan sahaja yang ditemui di internet.

  • Kecuaian Membawa Padah – Mengisahkan tentang seorang lelaki di hospital selepas mengalami kemalangan. Beliau berasa menyesal kerana sentiasa berebut dengan abangnya yang turut terlibat sama. Malangnya, doktor mengesahkan bahawa abangnya meninggal dunia, lalu menyebabkan dia dan keluarga mereka sedih. Pada masa yang sama, seorang pegawai polis datang ke hospital untuk menahan lelaki tersebut. Oleh sebab lakonan dan dialog iklannya yang lucu, iklan ini adalah yang popular antara keenam-enam iklan di dalam siri ini.[1]
  • Kisah Benar Kes Kemalangan Motosikal – Ibu dan bapa kepada seorang anak ditemu ramah tentang perasaan mereka tentang keadaan anaknya sekarang yang bertemankan tongkat akibat kemalangan. Bapanya berpendapat bahawa anak-anak tidak tahu yang ibu bapa amat sayang akan mereka dan jika sesuatu yang buruk menimpa mereka, barulah perasaan insaf akan datang kepada mereka. Iklan ini merupakan kisah sebenar mangsa kemalangan motosikal.[2]
  • Sentiasa Berpakaian Cerah – Iklan ini menunjukkan seorang lelaki yang berpakaian gelap menunggang motosikal pada waktu malam lalu sebuah kenderaan merempuh motosikal tersebut. Iklan ini menerangkan kepada kita bagaimana berpakaian gelap boleh meningkatkan risiko kemalangan.[3]
  • Patuhi Had Laju – Iklan ini menjelaskan bahawa menunggang motosikal dalam kelajuan 80 km/j adalah sama seperti menjunam ke bawah dari bangunan lima tingkat. Semasa motosikal merempuh tepat pada titik sasaran, ia hancur berderai lalu menyebabkan kepala patung terputus.[4]

Iklan lain[sunting | sunting sumber]

Iklan lain yang menggunakan slogan ini termasuk:

  • Hari Ini Dia Telah Kehilangan Nyawanya
  • Kepala Umpama Tembikai

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]