Ujian cucuk kulit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ujian cucuk kulit
SinonimUjian tusuk kulit, uji cucuk kulit (digunakan di Brunei dan Indonesia).
Tujuandiagnosis terhadap kulit yang terkena alahan.

Ujian cucuk kulit[1] (Jawi: اوجين چوچوق كوليت; bahasa Inggeris: skin prick test) ialah ujian in-vivo dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk diagnosis penyakit alahan yang cuba mematikan/memprovakasikan tindak balas alahan yang kecil dan terkawal. Kebanyakkannya, pesakit memilih ujian cucuk kulit kerana keputusan yang didapatkan adalah cepat dan tepat.[2] Ujian ini juga tersedia di beberapa negara, misalnya Malaysia serta Indonesia.[3]

Untuk pesakit yang mahu melakukan ujian cucuk kulit, akan diberi temu janji bagi menjalankan ujian tersebut. Pesakit juga akan diberikan sehelai kertas yang menyenaraikan ubat-ubatan yang tidak boleh diambil/diguna bersama dengan tempoh larangan pengambilan ubat tersebut sebelum ujian cucuk kulit dilaksanakan. Pada tarikh temu janji pesakit akan diberikan proforma untuk diisikan oleh pesakit; ia mengandungi maklumat peribadi pesakit. Setelah selesai, pesakit akan diterangkan mengenai cara ujian ini yang akan dijalankan oleh seorang pegawai perubatan yang bertugas sebelum menandatangani borang keizinan untuk melakukan ujian tersebut.[2][nota 1]

Kaedah[sunting | sunting sumber]

Sejumlah mikroskopik alergen diletakkan di kulit pesakit dengan pelbagai cara iaitu:[4]

  • Cucuk kulit: tusukan/cucukan kulit dengan jarum atau pin yang mengandungi sejumlah kecil alergen.[5]
  • Cakar kulit: cakaran kulit yang mendalam dilakukan dengan bantuan bahagian bawah lanset yang tumpul.[6]
  • Intrakulit: sebilangan kecil alergen akan disuntikkan di bawah lapisan dermis dengan jarum suntik hipodermik.
  • Kikis kulit: kekikisan luaran dilakukan dengan bantuan bahagian belakang jarum untuk menghilangkan lapisan luaran epidermis.[7]
  • Ujian tompok: menggunakan tompok pada kulit, di mana tompok itu mengandungi alergen.

Sekiranya tindak balas imuno dapat dilihat dalam bentuk ruam, urtikaria (gatal-gatal) atau anafilaksi dapat disimpulkan bahawa pesakit mempunyai hipersensitiviti (atau alahan) terhadap alergen tersebut. Ujian lebih lanjut boleh dilakukan untuk mengenal pasti alergen tertentu.

Beberapa alahan dapat dikenal pasti dalam beberapa minit tetapi yang lain-lain mungkin memerlukan beberapa hari untuk menunjukkan tindak balas. Dalam semua kes di mana ujiannya positif, kulit akan menjadi naik, berwarna merah dan kelihatan seperti kegatalan. Hasilnya direkodkan, lebih besar menunjukkan bahawa subjek lebih sensitif terhadap alergen tertentu. Jika keputusan ujian adalah negatif, kemungkinan puncanya ialah seperti pesakit mengambil ubat yang boleh menghalang mekanisma alahan, alergen yang digunakan terlampau cair atau kulit mempunyai tindak balas yang rendah terhadap ujian ini terutama pada golongan bayi dan umur tua.[2]

Kontraindikasi[sunting | sunting sumber]

Walaupun ujian cucuk kulit kelihatan dilakukan dengan prosedur yang lembut, ia mempunyai beberapa risiko-risiko tersendiri, termasuk lebam merah yang bengkak (gatal-gatal) yang mungkin terjadi setelah ujian. Gatal-gatal biasanya hilang dalam beberapa jam selepas ujian. Dalam kes yang jarang berlaku, mereka boleh bertahan selama satu atau dua hari. Gatal-gatal ini mungkin gatal dan dirawat dengan menggunakan krim hidrokortison bebas.[8] Dalam kes yang sangat jarang berlaku juga, seseorang boleh mengalami tindak balas alahan yang penuh. Doktor yang melakukan ujian cucuk kulit selalu mempunyai peralatan dan ubat-ubatan sekiranya berlaku reaksi anafilaksi. Inilah punca utama mengapa pesakit tidak dibenarkan melakukan ujian cucuk kulit di kedai sudut atau oleh orang yang tidak mempunyai latihan perubatan.

Orang yang mempunyai penyakit kulit yang teruk dan umum atau jangkitan kulit akut tidak boleh menjalani ujian cucuk kulit, kerana seseorang pesakit memerlukan kulit yang tidak terlibat untuk ujian. Ujian cucuk kulit juga harus dielakkan untuk orang yang berisiko tinggi mendapat kejutan anafilaksi, termasuk orang yang sangat sensitif terhadap jumlah alergen yang kecil.[9]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Prosedur ini dilakukan di Pusat Alergi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Istilah MABBIM. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
  2. ^ a b c "Ujian Saringan Alahan Penting untuk Menentukan Jenis Alahan". hctm.ukm.my. Universiti Kebangsaan Malaysia. 12 Jun 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-26. Dicapai pada 24 Januari 2019.
  3. ^ Iris Rengganis (2018). Skin Prick Test (dalam bahasa Indonesia). Universitas Indonesia Publishing. m/s. 4. ISBN 9789794969090.
  4. ^ Bernstein IL, Li JT, Bernstein DI, Hamilton R, Spector SL, Tan R, et al. Allergy diagnostic testing: an updated practice parameter. Ann Allergy Asthma Immunol 2008; 100:S1-148.
  5. ^ Basomba A, Sastre A, Pelaez A, Romar A, Campos A, Garcia-Villalmanzo A. Standardization of the prick test. A comparative study of three methods. Allergy 1985; 40:395-9.
  6. ^ Indrajana T, Spieksma FT, Voorhorst R. Comparative study of the intracutaneous, scratch and prick tests in allergy. Ann Allergy 1971; 29:639-50.
  7. ^ Olivier CE, Argentão DGP, Santos RAPG, Silva MD, Lima RPS, Zollner RL. Skin scrape test: an inexpensive and painless skin test for recognition of immediate hypersensitivity in children and adults. The Open Allergy Journal 2013; 6:9-17. Link Diarkibkan Ogos 3, 2013, di Wayback Machine
  8. ^ Skin Testing and Allergy Injection Treatment for Allergies and Asthma - The University of Arizona Health Sciences Center Diarkibkan 2011-07-19 di Wayback Machine, Retrieved on 2010-01-20.
  9. ^ Skin test for Allergy, Retrieved on 2010-01-20.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]