Vaksin beguk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Vaksin beguk merupakan vaksin yang mencegah beguk dengan selamat. Apabila ia diberikan kepada majoriti penduduk, ia mengurangkan komplikasi pada tahap populasi.[1] Keberkesanan apabila 90% populasi divaksinkan dianggarkan pada 85%.[2] Dua dos diperlukan untuk pencegahan jangka panjang. Dos pertama disyorkan pada umur antara 12 hingga 18 bulan. Dos kedua biasanya diberikan pada umur antara dua hingga enam tahun.[1] Penggunaan vaksin ini selepas pendedahan dalam kalangan mereka yang belum lagi imun mungkin membantu.[3]

Vaksin beguk adalah sangat selamat dan kesan sampingannya biasanya ringan.[1][3] Ia mungkin menyebabkan kesakitan yang ringan dan bengkak pada tempat suntikan dan demam yang ringan. Kesan sampingan yang lebih ketara sangat jarang diperhatikan.[1] Bukti tidak mencukupi untuk mengaitkan vaksin ini dengan komplikasi seperti kesan neurologi.[3] Vaksin ini tidak boleh diberikan kepada mereka yang hamil atau mempunyai fungsi sistem imun yang sangat lemah.[1] Namun begitu, akibat buruk dalam kalangan kanak-kanak daripada ibu yang menerima vaksin semasa hamil belum didokumenkan.[1][3] Walaupun vaksin ini dibangunkan dalam sel ayam, ia selamat untuk diberikan kepada mereka yang menghidap alergi telur.[3]

Kebanyakan daripada negara maju dan banyak negara sedang membangun memasukkan vaksin ini dalam program imunisasinya, seringkali dalam gabungan dengan vaksin campak and vaksin rubela yang dikenali sebagai MMR.[1] Satu rumusan dengan tiga vaksin tadi dan vaksin varisela atau cacar air yang dikenali sebagai MMRV juga boleh didapati.[3] Setakat tahun 2005, 110 buah negara menyediakan vaksin ini dalam cara begini. Di kawasan yang pemvaksinan meluas dijalankan, ia sudah membuahkan hasil yang mana kadar penyakit sudah menurun lebih daripada 90%. Hampir setengah bilion dos daripada satu jenis vaksin ini sudah diberikan.[1]

Vaksin beguk dilesenkan buat pertama kalinya pada tahun 1948, akan tetapi ia hanya berkesan dalam jangka pendek.[3] Vaksin yang ditambah baik boleh didapati secara komersial pada tahun 1960-an. Vaksin awal merupakan virus tidak diaktifkan manakala penyediaan berikutnya adalah virus hidup yang sudah dilemahkan.[1] Ia tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang diperlukan dalam sistem kesihatan asas.[4] Terdapat beberapa jenis vaksin ini yang berbeza yang digunakan setakat tahun 2007.[1] Kos borong versi vaksin ini yang mengandungi vaksin campak dan rubela ialah 0.24 dolar Amerika sedos pada tahun 2014.[5]

Footnotes[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j "Mumps virus vaccines."
  2. ^ Hviid A, Rubin S, Mühlemann K (March 2008).
  3. ^ a b c d e f g Atkinson, William (May 2012).
  4. ^ "WHO Model List of EssentialMedicines" (PDF).
  5. ^ "Vaccine, Measles-Mumps-rubella" Diarkibkan 2016-01-16 di Wayback Machine.