Wikipedia:WikiProject Medicine/Translation task force/RTT/Simple Rabies vaccine

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Vaksin rabies, atau vaksin penyakit anjing gila merupakan vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit anjing gila atau rabies.[1] Terdapat beberapa jenis vaksin yang selamat dan berkesan. Ia boleh digunakan untuk mencegah penyakit anjing gila sebelum dan untuk suatu tempoh selepas pendedahan kepada virus, seperti gigitan anjing atau kelawar. Imuniti yang terbentuk akan kekal berpanjangan selepas tiga dos. Vaksin ini biasanya diberikan melalui suntikan ke dalam kulit atau otot. Pemvaksinan selepas pendedahan lazimnya digunakan bersama dengan imunoglobulin rabies. Mereka yang mempunyai risiko pendedahan yang tinggi dinasihatkan supaya divaksin sebelum mengalami kemungkinan pendedahan. Vaksin berkesan dalam kalangan manusia dan haiwan yang lain. Mengimunkan anjing sangat berkesan untuk mencegah penyakit manusia.[1]

Vaksin ini mungkin selamat digunakan untuk semua kumpulan umur. Kira-kira 35 hingga 45 peratus mereka yang menerima vaksin mengalami kemerahan dan kesakitan pada tempat suntikan untuk suatu tempoh yang singkat. Kira-kira 5 hingga 15 peratus daripada mereka mungkin mengalami demam, sakit kepala, or rasa mual. Selepas terdedah kepada penyakit anjing gila, tiada kontraindikasi penggunaannya. Kebanyakan vaksin tidak mengandungi timerosal. Vaksin yang diperbuat daripada tisu saraf digunakan di beberapa buah negara, terutamanya di Asia dan Amerika Latin, tetapi kurang berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang lebih besar. Oleh itu, penggunaannya tidak disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.[1]

Jutaan penduduk dunia sudah divaksinkan dan pemvaksinan ini dianggarkan menyelamatkan lebih 250,000 nyawa setahun.[1] Vaksin ini tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang disarankan untuk sistem kesihatan asas.[2] Pada tahun 2014, harga borong vaksin ini ialah antara 44 hingga 78 dolar Amerika untuk satu proses rawatan.[3] Harga keseluruhan vaksin penyakit anjing gila di Amerika melebihi 750 dolar Amerika.[4]

References[sunting sumber]