Alexander Rankin Dunlop

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Alexander Rankin Dunlop

Alexander Rankin Dunlop (23 September 18688 Ogos 1944)[1] atau dikenali sebagai Alexander R. Dunlop merupakan Residen Inggeris yang pertama di Tawau. Beliau mula menjalankan tugas sebagai Residen di Tawau setelah pihak pentadbiran Kerajaan British Borneo Utara (diwakili oleh Gabenor British ) yang berpengkalan di Sandakan mahukan Tawau dijadikan wilayah mereka yang sah dan diperakui oleh pihak Belanda (yang sebelum itu juga berminat dengan Tawau yang mana kedudukannya agak strategik tanah yang subur serta mempunyai banyak sumber arang batu). Berikutan itu, pihak kerajaan British telah serta merta membuka pejabat Residen mereka di Tawau dan Alexander Rankin Dunlop adalah pegawai British berbangsa Inggeris yang pertama bertugas di Tawau bertarikh pada 1 Mac 1899.

Tugas Pertama[sunting | sunting sumber]

Sebelum menjadi Residen Inggeris di Tawau, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Bertugas untuk kawasan Teluk Darvel yang beribu pejabat di Lahad Datu. Beliau mula bertugas sebagai pegawai biasa di Lahad Datu pada 16 Januari 1890 sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Teluk Darvel pada 10 Mei 1898. Tidak lama selepas itu pada 1 Mac 1899, atas keperluan yang mendesak, beliau terus diarahkan oleh Gabenor Borneo British di Sandakan untuk segera ke Tawau bagi satu melaksanakan tugasan yang amat penting. Berdasarkan keupayaan dan pengalaman beliau, beliau diberi kepercayaan untuk pertama kalinya bukan sahaja untuk sebagai Residen dan wakil Kerajaan British berbangsa Inggeris yang pertama di Tawau malahan beliau juga terpaksa membina sendiri pejabat untuk beliau yang pada masa itu belum lagi disediakan. Pada masa itu, di Tawau hanyalah terdapat sebuah kampung nelayan di sekitar Kuala Sungai Tawau yang dihuni lebih 200 orang penduduk kampung tempatan, beberapa ladang kelapa yang baru dibuka oleh beberapa peneroka tajaan kerajaan British (iaitu kumpulan yang diketuai oleh Puado dan Mepata yang diberi bantuan kewangan) serta beberapa peniaga Cina (Leong Hap dan 2 orang rakannya) yang berasal dari tanah besar China.

Bersama Kee Abdullah dan Puado[sunting | sunting sumber]

Sebelum Dunlop mula menjejaki kakinya ke Tawau untuk memulakan kerja-kerja rumitnya, beliau sebenarnya telah mengarahkan seorang pegawai British berbangsa Sino Dusun iaitu Kee Kim Swee untuk menjadi perintis kepada beliau. Kee Kim Swee yang pada waktu itu bertugas di Silam telah dipindahkan oleh Dunlop untuk menjadi pemungut hasil bagi Kerajaan British di Tawau pada 16 Oktober 1894 iaitu 5 tahun sebelum beliau bertugas di Tawau.

Kee Kim Swee ditugaskan di Tawau untuk memungut hasil kastam yang pada masa itu Tawau dikenali dengan hasil hutan seperti rotan, damar dan hasil laut serta memungut cukai diri yang bertujuan membuktikan masyarakat tempatan adalah rakyat di bawah naungan Kerajaan British. Kee Kim Swee bukan sahaja menjalankan tugas dengan baik malahan menjadi sebahagian masyarakat tempatan Tawau dengan memeluk Islam dan berkahwin dengan gadis Melayu tempatan.

Sebelum itu, pada tahun 1882, sebagai langkah dan usaha pengiktirafan pemilikan tanah secara mutlak di kawasan persempadanan dengan jajahan Belanda, Residen Inggeris di Sandakan, William Pryer telah meminta seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Puado untuk membuka hutan di kawasan tanah subur yang berpotensi. Ketika itu terdapat cuma sebuah penempatan nelayan kaum peribumi di kawasan sekitar Kuala Sungai Tawau. Penduduk peribumi menamakan tempat ini sebagai 'Tawau' sempena nama cara mereka mencari rezeki "Tawai" atau "Tawao".

Dengan berbekalkan janji dari British untuk memberi bantuan dan keperluan, Puado telah mengetuai seramai 25 orang yang terdiri Bugis Wajo (dari Kutei, Kalimantan Timur), Suluk (dari Tawi-Tawi), Bajau (dari Omadil ) dan Tidung Bulungan (dari Bolongan) menebang pokok hutan tebal dan kemudiannya mereka menjadikan kawasan yang asalnya hutan itu sebagai penanaman kelapa. Puado kemudiannya dihormati sebagai seorang yang berkemampuan untuk menjadi ketua atau pemimpin. Hubungannya yang agak mesra dengan pelbagai masyarakat semasa beliau menjadi ahli perniagaan lagi menyebabkan beliau disukai bukan sahaja oleh pengikut-pengikutnya malahan di kalangan penduduk tempatan ( natives ). Atas kepercayaan itu, beliau dianggap sebagai pemimpin di Tawau dan digelar sebagai Penghulu. Pihak kerajaan British juga mengiktiraf kepada kedudukan Penghulu Puado sebagai pemimpin dan ketua penduduk tempatan.

Ketika Dunlop menjadi Residen Inggeris di Tawau, Kee Abdullah, Penghulu Puado adalah orang-orang kuat yang membantunya dalam menjalankan tugas yang agak mencabar itu. Penghulu Puado mengurus hal-ehwal masyarakat tempatan, Kee Abdullah mengurus urusan kewangan kerajaan setiap hario manakala Dunlop menjadi pemerhati utama dan mengurus urusan keselamatan terutama masalah jenayah serius.

Dengan adanya Kee Abdullah dan Penghulu Puado, tugas-tugas Dunlop di Tawau menjadi lebih mudah. Kee Abdullah terus bekerja dengan kerajaan dan dilantik menjadi OKK atau Penghulu selepas beliau bersara. Beliau terus memegang jawatan Penghulu sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1936 dan digantikan oleh anak beliau OKK Abu Bakar. Penghulu Puado pula memegang jawatan sebagai Penghulu dan menjadi pemimpin Melayu tempatan sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1902 dan digantikan oleh Sarip Ali. Cucu Penghulu Puado iaitu KK Dullah bin Salim Puado telah dilantik menjadi KK di sebuah kampung di Tawau pada sekitar tahun 1980-an .

Tamat Tugas Sebagai Residen[sunting | sunting sumber]

Alexander R. Dunlop telah menjalankan tugas sebagai Residen Tawau selama 5 tahun sahaja. Dalam tahun 1903, beliau telah kembali ke Lahad Datu untuk bertugas di sana pula. Sebagai gantinya di Tawau, seorang pegawai Inggeris iaitu John H. Molynex telah dilantik sebagai Pegawai Daerah untuk menjalankan kerja-kerja di pejabat Residen (yang ditukarkan menjadi pejabat Daerah). Kini di Tawau, sebuah jalan di bandar ini telah dinamakan dengan nama Jalan Dunlop sebagai memperingati jasa beliau kepada pembangunan bandar Tawau yang bermula sejak lebih seratus tahun dahulu.

Kesusasteraan[sunting | sunting sumber]

  • Buku: Tawau - The Making of a Tropical Community, Ken Goodlet , 2010 , Opus Publication, ISBN 978-983-3987-38-2
  • Buku: Borneo Under the Sun, tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005
  • Datu Paduka Mat Salleh - Hero of Sabah (1894–1900, diterbitkan Arkib Negeri Sabah (ANS), Kota Kinabalu, Boleh 2007

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mesej kepada Wikipedia; Arkib Negeri Sabah (ANS), 10 januari 2012