Angkup

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Angkup merupakan sejenis alat yang digunakan untuk mengukur jarak di antara dua permukaan simetri yang bertentangan. Ada angkup jenis mudah, seperti sebuah kompas dengan mata yang menghadap dalam dan menghadap luar. Hujung angkup dilaras supaya dapat muat dengan sempurna merentasi bahagian yang hendak diukur. Selepas itu, angkup akan dialihkan dan jarak di antara dua titik yang hendak diukur dibaca dengan menggunakan alat pengukur seperti pembaris.

Angkup digunakan dalam kerja-kerja ayan dan pertukangan besi terutamanya dalam pembuatan alat dalam bidang kejuruteraan mekanik. Angkup juga digunakan dalam pertukangan kayu dan pelarikan kayu.

Jenis angkup[sunting | sunting sumber]

Angkup dalam[sunting | sunting sumber]

Angkup dalam

Angkup dalam (lihat gambar) digunakan untuk mengukur jarak dalam (internal size) sesuatu objek. Angkup dalam perlu dilaraskan secara manual sebelum dimuatkan dengan objek yang hendak diukur. Pengukuran tepat dibuat dengan mengetuk perlahan angkup di atas permukaan keras sehingga perbezaan jarak antara hujung angkup hampir menyerupai jarak dalam objek yang hendak diukur. Pelarasan dibuat secara manual. Untuk angkup yang mempunyai skru pangsi, ukuran tepat diperolehi dengan melaraskan hujung angkup dengan melaraskan skru pangsi.

Angkup luar[sunting | sunting sumber]

Angkup luar

Angkup luar digunakan untuk mengukur saiz luaran sesuatu objek. Cara penggunaannya agak sama dengan penggunaan angkup dalam.

Kekangan kejituan angkup luar dan angkup dalam

Pengguna perlu mengetahui kekangan penggunaan angkup dalam dan angkup luar, yang boleh memenuhi keperluan am kerana boleh memberikan bacaan yang agak tepat dan boleh diulang baca berkali-kali dengan mendapat keputusan yang sama. Untuk bacaan melibatkan objek seperti paip besar, perselisihan bacaan yang kecil dan tolerans yang besar mengatasi sebarang kekhilafan bacaan disebabkan penggunaan angkup luar ataupun angkup dalam.

Angkup vernier[sunting | sunting sumber]

Angkup vernier lebih tepat tetapi terhad kepada pengukuran objek kecil sahaja
Mengambil bacaan menggunakan angkup vernier

Angkup vernier mempunyai tahap jitu bacaan yang lebih, tetapi mempunyai had gunaan kepada saiz objek yang hendak diukur. Ia tidak boleh digunakan untuk membaca ukuran garis pusat paip yang besar. penambahan skala vernier menambahkan kejituan bacaan.

Angkup dail[sunting | sunting sumber]

Angkup dail merupakan angkup vernier yang mempunyai sebuah dail.

Angkup digital[sunting | sunting sumber]

Angkup digital

Angkup digital merupakan angkup dail dengan alat paparan elektronik. Ini membolehkan ukuran didapati dengan sekali bacaan dan mengurangkan ralat. Banyak angkup digital juga boleh memaparkan bacaan dalam unit metrik dan imperial.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Angkup mesti dilaraskan dengan sempurna untuk mendapatkan bacaan yang tepat. Apabila hendak mengukur ketebalan sesuatu plat besi umpamanya, angkup Vernier hendaklah digunakan pada sudut tepat kepada objek yang hendak diukur. Penggunaan untuk bacaan permukaan melengkung ataupun bulat memerlukan pengulangan bacaan untuk mempastikan bacaan yang betul (bacaan yang konsisten selepas diambil beberapa bacaan).

Ketepatan bacaan angkup bergantung kepada kecekapan dan kemahiran penggunanya. Pengguna yang cekap dapat mengenakan hujung angkup dengan betul, sementara pengguna yang kurang pengalaman ataupun kurang cekap mungkin akan meletakkan hujung angkup hampir-hampir di permukaan yang hendak diukur. Dalam pengukuran objek saiz kecil, ataupun pembuatan bahagian mekanikal yang mempunyai tolerans yang kecil, perbezaan ini mungkin kritikal.

Oleh kerana terdapat sedikit keanjalan di antara hujung angkup dan juga permukaan yang hendak diukur, perbezaan tekanan juga akan menyebabkan perbezaan bacaan di antara pengguna yang sudah mahir dengan pengguna yang kurang mahir. Tekanan yang terlalu kuat akan menyebabkan kurang bacaan (under indication) sementara tekanan terlalu perlahan akan menyebabkan kelebihan bacaan (over indication). Hanya sentuhan ideal di antara hujung angkup dengan permukaan objek yang hendak diukur akan memberikan bacaan yang tepat.

Angkup mudah tidak mempunyai pengukur dan mesti digunakan secra membandingkan jarak antara hujung angkup dengan alat pembaris. Dengan angkup yang mempunyai pengukur, pembacaan juga dipengaruhi oleh sudut antara mata pengguna dengan angkup, dan juga dengan tahap penglihatan pengguna – penglihatan baik dan sudut bacaan pada sudut tepat memberikan bacaan terbaik berbanding dengan bacaan pada sudut condong oleh pengguna yang mempunyai penglihatan kabur dekat. Kelemahan ini diatasi dengan penggunaan angkup digital.

Angkup terlaras boleh tergugat tahap ketepatannya apabila disalah guna – seperti dijatuhkan ataupun dibengkokkan. Apabila angkup tertutup seluruhnya, bacaan hendaklah menunjukkan sifar ataupun nul. Sekiranya tidak, angkup perlu dilaraskan ataupun sekiranya tidak dapat dilaraskan semula, hendaklah dibuang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]