Bersanding

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pelamin di mana pengantin akan duduk bersanding.

Bersanding bermaksud duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa. Amalan ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam kahwin Melayu. Bersanding adalah acara terpenting dan sekali seumur hidup bagi sepasang pengantin. Majlis perkahwinan tidak dikira lengkap jika kedua-dua mempelai tidak disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik.

Jika tiada acara bersanding, majlis perkahwinan tidak akan sempurna dan tidak ramai yang sudi menghulurkan wang sumbangan. Tetamu di bandar sanggup menghulurkan wang RM50 - RM100 jika majlis diadakan di dewan bersama persembahan yang meriah.

Waktu paling sesuai untuk bersanding ialah waktu tengah hari, iaitu semasa tetamu ramai di bawah khemah atau dewan. Biasanya majlis persandingan diingati sampai bila-bila dan merupakan 'detik abadi' yang patut dikenang.

Bersanding melibatkan 3 atau empat peringkat seperti berikut :


Bersanding selepas akad nikah[sunting | sunting sumber]

Bersanding selepas akad nikah merupakan majlis persandingan yang ringkas sahaja. Biasanya baju nikah yang berwarna putih digunakan semasa majlis bersanding. Akad nikah boleh diadakan di masjid, surau atau di rumah pengantin perempuan.

Mempelai akan didudukkan di atas pelamin, diapit oleh pengantin lelaki dan perempuan. Majlis bersanding ini diadakan pada hari sebelum kahwin. Biasanya pada hari Jumaat atau Sabtu. Tetamu yang menyaksikan acara ini tidak ramai, hanya melibatkan saudara-mara dan jiran-jiran terdekat sahaja.

Sedangkan pada hari kedua adalah hari kemuncak iaitu ramai tetamu dijemput hadir.

Bersanding di luar rumah pengantin perempuan[sunting | sunting sumber]

Bersanding di luar rumah ini diadakan dengan tujuan agar ramai tetamu dapat menyaksikannya. Saiz anjung rumah tradisional yang kecil, rumah papan dan bertiang tidak membenarkan puluhan orang masuk ke dalam untuk menyaksikannya.

Ketika bersanding di luar rumah ini, acara silat, tarian, menabur gula-gula, menambur duit syiling dan lain-lain persembahan diadakan.

Selepas mempelai ditabur 'beras kunyit', kedua-dua mempelai akan didudukkan di atas kerusi berhadapan dengan khemah tetamu. Jadi semua orang yang hadir akan dapat menyaksikan mempelai yang berpakaian baju melayu songket.

Kerusi pengantin hanyalah kerusi tetamu sahaja tetapi di alas dengan 'kain batik lepas'. Kedua-dua kerusi ini diletak atas tikar yang lebar. Sekeping tikar lagi diletakkan sebelah hadapan. Sejambak bunga telur diletakkan hadapan mempelai. Bunga telur akan dihadiahkan kepada mereka yang sudi mempersembahkan silat pulut.

Silat pulut ialah istilah umum yang dipersembahkan semasa majlis persandingan di luar rumah. Orang sekampung mungkin belajar Silat Pedang iaitu ilmu pertempuran menggunakan senjata. Tetapi semasa majlis persandingan, 'ilmu pertempuran' tidak dipersembahkan kecuali yang ringkas dan mudah sahaja.

Orang ramai akan berasa ngeri jika silat bertempur dipersembahkan. Apatah lagi jika senjata seperti keris dan pedang digunakan. Tempoh masa bersanding di luar rumah tidaklah lama, sekitar 30 minit sahaja. Ini kerana cuaca waktu tengah hari cukup panas. Tambahan pula penonton tidak mahu peristiwa Lembing Awang pulang ke Dayang berulang kembali.

Bersanding di dalam rumah pengantin perempuan[sunting | sunting sumber]

Selepas bersanding di luar rumah, mempelai akan dibawa masuk ke dalam rumah dan sebuah pelamin telah siap dibina oleh mak andam. Biasanya warna baju mempelai adalah sepadan dengan warna pelamin. Jika baju berwarna hijau, warna pelamin juga akan kehijauan.

Ibu bapa, nenek, bapa dan emak saudara, adik-beradik akan bersalam dengan mempelai. Mereka diperkenalkan kepada saudara-mara. Sekuntum bunga telur akan diberi sebagai cenderahati. Jiran, rakan sekampung, rakan sepejabat atau kilang turut bersalaman. Pada masa inilah kata-kata nasihat dan perancang erta doa diberi agar mempelai akan kekal hingga ke akhir hayat.

Selepas bersanding, acara seterusnya ialah makan beradap. Selepas itu, sesi potong kek dan sesi bergambar bersama-sama keluarga akan diadakan.

Bersanding malam[sunting | sunting sumber]

Pada masa dahulu kebiasaannya bersanding dilakukan pada waktu malam. Ini kerana pada siang hari, hadirin sibuk kebendang atau mengerjakan kebun atau kerja-kerja lain. Oleh kerana itu kaki lilin merupakan salah satu perkakasan penting kerana ia digunakan bagi menerangi pengantin.

Bersanding malam kini jarang diadakan lagi. Bersanding malam diadakan pada waktu malam selepas waktu Solat Isyak. Jemaah lelaki datang dari surau dan diberi jamuan ala kadar. Acara marhaban akan diadakan seterusnya imam akan membaca doa agar perkahwinan berkekalan.

Pasukan rebana atau kompang akan membuat persembahan mereka. Kini acara ini diganti dengan karaoke.

Bagi memeriahkan majlis ini, mempelai akan bertukar baju ala barat pula. Mereka akan memotong kek dua atau tiga tingkat.

Majlis diakhiri dengan buka balut hadiah dan mengira wang sumbangan tetamu yang datang.

Bersanding di rumah pengantin lelaki[sunting | sunting sumber]

Biasanya majlis bersanding (dan kenduri) di rumah pengantin lelaki diadakan seminggu selepas majlis di rumah pengantin perempuan. Kadang-kadang, jika majlis di rumah pengantin perempuan diadakan pada hari Sabtu, majlis di rumah pengantin lelaki akan diadakan pada hari Ahad.

Acara yang diadakan hampir sama dengan acara semasa di rumah pengantin perempuan, tetapi lebih ringkas. Jika anak sulung, anak perempuan, orang berada, bangsawan ; majlis yang diadakan lebih meriah.

Bersanding semula[sunting | sunting sumber]

Ramai 'bekas pengantin' kembali bersanding kerana dahulu majlis bersanding tidak diadakan. Kos persandingan ini amatlah mahal kepada pasangan remaja yang baru bekerja. Ramai lelaki dan perempuan tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persandingan ini. Ramai yang yang berkata jika tidak bersanding macam tidak kahwin.

Bagi mereka yang ingin bersanding semula atau mengenang kembali nostalgia lalu, mereka akan berjumpa dengan Mak Andam bagi membincangkan pakaian pengantin, jurugambar, album persandingan dan sebagainya. Gambar yang diambil tidaklah banyak, sekadar 1 gulung filem sahaja.

Ada juga yang mengambil kesempatan daripada majlis persandingan adik-beradik atau saudara-mara dan duduklah mereka di atas pelamin. Gambar yang diambil tidaklah, sekadar 5-6 keping sahaja. Selalunya menumpang pelamin orang lain melibatkan maruah diri. Pihak suami selalunya enggan bersanding sekali lagi berbanding dengan si isteri.

Hukum agama Islam[sunting | sunting sumber]

Pada zaman Nabi Muhammad, bersanding hanyalah acara ringkas-ringkas sahaja, tidak riak dan tidak membazir serta menutup aurat.

Selepas 1974, ramai yang mempertikaikan acara bersanding dengan alasan membazir, mendedahkan aurat, adat agama Hindu, riak, cemburu, pergaduhan dan sebagainya. Perkara ini banyak diperkatakan dalam ABIM, al-Arqam dan Tabligh.

Makan cara berhidang menyebabkan lauk banyak terbuang begitu sahaja, membazir, memenatkan dan menggunakan tenaga manusia yang ramai. Kini makan berhidang diganti dengan makan cara bufet.

Pengantin perempuan memakai gaun putih ala barat yang mendedahkan dada, kaki, tangan, rambut dan sebagainya. Semasa bersalam, tangan lelaki bersentuhan dengan tangan perempuan. Kini ramai yang bersanding dengan bertudung. Terdapat pelbagai fesyen tudung seperti Tudung Wardina. Ada yang juga yang berpendapat bersalam dengan saura-mara dan sekejap sahaja, apalah salahnya.

Unsur Hindu yang kononnya ada ialah 'pulut tinggi' yang dikaitkan dengan gunung Mahamiru. Dalam acara silat pula ada unsur menurun, syirik, ilmu 'terbang-terbang' malah berlawan dengan menggunakan senjata tajam. Bagi mengatasi masalah ini, pulut tinggi tidak lagi diadakan dan makan bersuap-suap ditukar. [perlu rujukan]

Suara penyanyi dan karaoke dianggap haram, kecuali nasyid, marhaban, membaca al-Quran dan sebagainya. [perlu rujukan]

Selepas 2000, majlis perkahwinan kembali meriah. Butik, jurugambar perkahwinan, kedai mak andam berkembang bagai cendawan tumbuh.

Kini, tujuan tetamu hadir kerana adanya acara bersanding, bersilat, tarian, karaoke dan sebagainya. Kini andaman, jurugambar perkahwinan, rekaan fesyen, butik , karaoke, DJ, khemah, kerusi meja, dewan perkahwinan menjadi satu perniagaan yang penting. Kementerian Pelajaran juga telah menyediakan mata pelajaran Saloon dan Andaman di sekolah-sekolah biasa.