Faiza Bawumi Sayed Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd.
Memegang jawatan
1982
Didahului olehJawatan dibentuk
Butiran peribadi
Lahir (1942-03-09) 9 Mac 1942 (umur 82)
Kaherah, Mesir
PasanganAbu Bakar Ahmad
Anak-anak7
KediamanBatu Pahat, Johor, Malaysia
Pekerjaan
  • ahli perniagaan
  • usahawan
Tahun aktif1964–kini

Faiza Bawumi Sayed Ahmad (lahir 9 Mac 1942) ialah seorang ahli perniagaan dan usahawan Malaysia kelahiran Mesir. Beliau ialah pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd., syarikat pengeluar beras Malaysia.[1][2][3]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Faiza dilahirkan pada 9 Mac 1942 di Kaherah, Mesir dan merupakan anak sulung daripada 7 beradik. Beliau mula menunjukkan minat berniaga pada usia 14 tahun dengan menceburi rekaan fesyen.[2] Selain itu, beliau juga pernah bekerja sebagai juruwang di kedai milik bapanya.[3]

Pada tahun 1964, beliau berhijrah ke Malaysia dengan mengikuti suaminya dan membawa anak sulung, Dr Salwa yang ketika itu berusia empat tahun. Mereka menetap di Batu Pahat, Johor. Bermula dari situ, beliau mahir bertutur bahasa Melayu dalam tempoh 3 bulan selepas berpindah ke Malaysia.[2]

Suaminya, Abu Bakar bekerja sebagai kadi sehingga memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Syariah, namun beliau tidak betah duduk diam di rumah. Selain memasak, beliau menjahit dan berniaga bermula dengan memandu kereta, van hinggalah lori satu tan.[1]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Berbekalkan diploma dalam sulam-menyulam dan modal RM4 sahaja,[4][5] beliau menerima upah menjahit dan menjual sarung bantal. Faiza juga menjual rempah cap Bunga Raya buatan sendiri pada tahun 1968. Beliau berkata kepada Sinar Harian pada Oktober 2019: "Arwah suami membenarkan saya berniaga dengan syarat jaga suami, anak, kehormatan diri dan keluarga. Dia yakin saya boleh berniaga. Oleh itu, saya perlu bijak mengatur masa agar semua kerja di rumah dapat diselesaikan".[1]

Beliau menubuhkan Syarikat Faiza pada 1982 dengan menjalankan aktiviti peruncitan sebagai perniagaan terasnya.[2] Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Pada tahun-tahun terawal Syarikat Faiza, Faiza mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebagai persediaan, beliau menuju ke satu kedai ke kedai lain bagi menerima maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau mahu menjualnya.[6] Selain itu, syarikatnya juga menghasilkan pelbagai produk termasuk bihun, kicap, sos cili dan rempah ratus.[3][7] Syarikat Faiza sejak itu, menikmati kejayaan sebagai pembekal beras terkenal di Malaysia.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau berkahwin seawal usia 16 tahun dengan suaminya, Abu Bakar Ahmad (Allahyarham) yang ketika itu merupakan pelajar Malaysia di Mesir. Pasangan ini dikurniakan 7 anak, 32 cucu dan 9 cicit.[1][8]

Anugerah dan pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

  • Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010/1431 H (2010)[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e Fouziah Amir (11 Oktober 2019). "Faiza berniaga kerana ALLAH". Sinar Harian. Dicapai pada 30 Mei 2020.
  2. ^ a b c d "Menelusuri kisah kejayaan jutawan beras Malaysia, Faiza Bawumi". Majalah Labur. 5 September 2019. Dicapai pada 30 Mei 2020.
  3. ^ a b c Nasri Jamaluddin (7 Jun 2010). "Kisah usahawan beras Faiza". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Jun 2010. Dicapai pada 30 Mei 2014.
  4. ^ "Bermodalkan RM4: Kenali empunya Beras Faiza". Alaf 21. 18 Jun 2020. Dicapai pada 30 Mei 2021.
  5. ^ "Faiza mula berniaga dengan modal RM4". Berita Harian. 24 September 2016. Dicapai pada 30 Mei 2020.
  6. ^ "Sejarah kejayaan Faiza Bawumi Sayed Ahmad". Raudhatul Ukhuwah. Julai 2012. Dicapai pada 30 Mei 2020.
  7. ^ Mohamad Farid Noh (10 September 2012). "Tiada rempah tiada beras". Berita Harian. Dicapai pada 30 Mei 2018.
  8. ^ Zieman (14 September 2015). "Rice of an empire" [Empayar beras] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 30 Mei 2020.