Gangsa aluminium

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gangsa aluminium dengan 20% Aluminium, V=50:1

Gangsa aluminium adalah sejenis aloi gangsa yang mengandungi aluminium sebagai bahan pengaloian utama, yang dicampurkan dengan tembaga. Pelbagai jenis gangsa aluminium dengan komposisi yang berlainan digunakan dalam bidang industri, kebanyakannya antara 5% hingga 11% aluminium mengikut jisim, dan jisim yang tinggal adalah tembaga; agen pengaloian yang lain seperti besi, nikel, mangan, dan silikon kadang kala dicampurkan ke dalam gangsa aluminium.

Komposisi[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah senarai komposisi aloi tempaan gangsa aluminium piawai yang lazim, menurut penentuan ISO 428 (komposisi berkadaran mengikut berat; tembaga adalah baki berat dan tidak disenaraikan):

Aloi Aluminium Besi Nikel Mangan Zink Arsenik
CuAl5 4.0% - 6.5% 0.5% maks 0.8% maks 0.5% maks 0.5% maks 0.4% maks
CuAl8 7.0% - 9.0% 0.5% maks 0.8% maks 0.5% maks 0.5% maks
CuAl8Fe3 6.5% - 8.5% 1.5% - 3.5% 1.0% maks 0.8% maks 0.5% maks
CuAl9Mn2 8.0% - 10.0% 1.5% maks 0.8% maks 1.5% - 3.0% 0.5% maks
CuAl10Fe3 8.5% - 11.0% 2.0% - 4.0% 1.0% maks 2.0% maks 0.5% maks
CuAl10Fe5Ni15 8.5% - 11.5% 2.0% - 6.0% 4.0% - 6.0% 2.0% maks 0.5% maks

Sifat-sifat bahan[sunting | sunting sumber]

Gangsa aluminium adalah berguna kerana kekuatannya dan daya tahannya terhadap kakisan berbanding aloi-aloi gangsa yang lain. Aloi-aloi ini adalah tahan sebam dan menunjukkan kadar kakisan yang rendah dalam keadaan atmosfera, kadar pengoksidaan yang rendah pada suhu tinggi, dan kereaktifan yang rendah bersama sebatian sulfur dan hasil eksoz daripada pembakaran. Gangsa aluminium juga tahan kakisan oleh air laut. Daya tahan kakisan gangsa aluminium adalah disebabkan komponen aluminium dalam aloi, yang bertindak balas dengan oksigen atmosfera untuk membentuk lapisan permukaan alumina (aluminium oksida) yang nipis dan tegar, yang bertindak sebagai penghalang kepada kakisan terhadap aloi gangsa aluminium.

Satu lagi sifat gangsa aluminium yang ketara ialah kesan biostatiknya. Komponen tembaga di dalam aloi mengelakkan pengkolonian organisma laut, termasuklah alga, liken, teritip dan kupang, maka adalah lebih baik berbanding keluli nirkarat atau lain-lain aloi tanpa tembaga sekiranya aplikasi memerlukan pengelakan pengkolonian sedemikian.

Gangsa aluminium biasanya mempunyai warna keemasan.

Penggunaan[sunting | sunting sumber]

Gangsa aluminium lazimnya digunakan dalam aplikasi yang memerlukan sifat daya tahan kakisannya. Aplikasi-aplikasi ini termasuklah berus galas dan komponen-komponen peralatan pendaratan pada pesawat terbang, komponen enjin (terutamanya kapal-kalap laut), pengikat bawah air dalam bidang seni bina angkatan laut, dan perejang kapal laut. Pewarnaan ton keemasan yang menarik pada gangsa aluminium juga menjurus kepada penggunaannya dalam pembuatan barang kemas.

Permintaan tinggi terhadap gangsa aluminium adalah daripada industri-industri dan bidang-bidang berikut:

Gangsa aluminium boleh dikimpal menggunakan teknik kimpalan MIG yang melibatkan teras gangsa aluminium dan gas argon tulen.

Gangsa aluminium juga digunakan dalam pembuatan syiling, contohnya duit syiling Australia $1 dan $2 yang dihasilkan oleh Kilang Wang Diraja Australia (Royal Australian Mint).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]