Hanita Hassan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hanita Hassan dilahirkan di Kampung Bukit Piatu, Melaka pada 2 Ogos 1971. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru (1978-1983). Pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tinggi Perempuan Melaka sehingga di tingkatan 5 (1984-1988). Seterusnya ke Sekolah Tinggi Melaka untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam (1989-1990). Pada Julai 1991, melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Mara, kini Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Sebaran Am menjurus kepada bidang kewartawanan. Memperolehi Diploma Sebaran Am (Journalism) atau Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) pada Mei 1995. Menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pada Disember 2013. Tajuk kajian Hanita ialah Sejarah Perkembangan Akhbar Bahasa Melayu di Melaka, 2000-2014. Hanita menamatkan pengajiannya dalam tempoh satu tahun setengah dan memperolehi Ijazah Sarjana Sejarah pada September 2015. Hanita sudah pun menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian media dan komunikasi massa setelah lulus viva pada 12 Januari 2023 dan mendapat pengesahan senat UiTM pada September 2023. Tajuk kajian Hanita ialah The Moderating Effects of Attitude On The Relationship Between Social Networking Sites Factors and COVID-19 Vaccine Acceptance in Melaka Tengah. Hanita Hassan merupakan Mantan Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM) pada tahun 2014 dan menerajuinya dalam beberapa bulan sahaja sebelum melepaskannya atas faktor tugas hakiki di Pejabat Ketua Menteri Melaka. Sepanjang menerajui IPM, Hanita sempat mengatur beberapa aktiviti persatuan. Antaranya Kembara Puisi di Pulau Besar bersama ahli dan keluarga besar IPM, Baca Puisi sempena MH370 bersama ADUN Sungai Rambai, dan Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Sayembara Menulis Cerpen Sejarah Melaka.

Berkecimpung dalam penulisan sejak di tingkatan enam tahun 1989.  Karya awal Hanita ialah puisi yang tersiar di Majalah Wanita pada Mac 1995 berjudul Puisi Untuk Sang Lelaki Yang Mengerti. Puisi ini juga telah dideklamasi sendiri oleh Hanita di Radio 3 Melaka pada Mac 1996 dalam Rancangan Sastera dan Budaya dan tersenarai dalam Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia berjudul Cinta di Pintu Mihrab terbitan GAPENA tahun 2023. Beberapa puisi Hanita yang tersiar di Radio 3 Melaka antaranya berjudul Menanti Taksi Kosong Yang Bisa Menumpangkan Aku (Jun 1996), dan Suara Hatiku (September 1996). Puisi Untuk Anak-anak Yang Mengerti (Majalah Wanita pada Ogos 1996), Danial Al-Amin dalam Antologi Puisi Perjuangan Memartabatkan Bahasa Melayu, dalam Sumpah Setia Bahasa terbitan GAPENA dan Rhythm Consolidated Berhad tahun 1999. Selain puisi, Hanita turut mengembangkan bakat dengan menulis cerpen dan yang pertama berjudul Haji Kassim tersiar di Radio 3 Melaka, Sel 2030 (Jendela Selatan bil. 15, Ogos 2006). Hanita memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Negeri Melaka 2011 dengan cerpen berjudul Kisah Aku, Ana dan Chao Phraya. Cerpen ini telah tersenarai dalam buku Antologi Cerpen dan Sajak 2012 berjudul Impian dan Harapan terbitan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM). Cerpen sejarah berjudul Tiga G memenangi hadiah saguhati sempena Sayembara Cerpen Sejarah Melaka tahun 2013. Hanita turut mengembangkan bakat kreatif dalam penulisan skrip drama radio selepas mengikuti bengkel penulisan skrip drama radio (peringkat pertengahan) anjuran Akademi Seni Melaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Jabatan Penyiaran Malaysia, Melaka (Radio 3, RTM, Melaka) tahun 1996. Skrip drama radio pertama berjudul Mencari Pelangi disiarkan di Radio RTM Melaka tahun 1996.

Hanita mula menulis novel selepas tamat pengajian ijazah komunikasi massa dari Institut Teknologi MARA pada Mei 1995. Novel pertama terbit tahun 1996 berjudul Diari Buat Rothman oleh Melati Publisher Sdn. Bhd. Novel ini mengisahkan tentang dunia remaja dan percintaan sepadan dengan usia Hanita yang masih muda ketika itu.  Novel kedua berjudul Hafiz Iskandar terbitan Alaf 21 lahir tahun 1998, dan novel ketiga berjudul Lelaki Akukah Yang Terlewat oleh Rhythm Publications tahun 1999.  Tahun 2005, Hanita berjaya menghasilkan sebuah novel kanak-kanak berjudul Lima Sekawan di Bukit Botak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Novel ini mendapat sambutan menggalakkan dan telah dijadikan novel wajib untuk program kuiz pengetahuan am pelajar sekolah rendah di negeri Melaka tahun 2005. Sentiasa mahukan pembaharuan dalam berkarya, Hanita mencabar diri menghasilkan novel kanak-kanak secara bersiri dengan judul Adli Di Alam Fantasi.   Syarikat Penerbitan PTS One menerbitkan siri kanak-kanak Adli di Alam Fantasi pertama tahun 2006 dengan judul Misi Monyet Putih.  Novel ini mendapat sambutan dan diulang cetak sebanyak tiga kali. Siri kedua terbit tahun 2007 dengan judul Menerobos Terowong Masa diikuti dengan siri ketiga tahun 2010 berjudul Penyelamat Alam. Dalam masa yang sama, Hanita turut menghasilkan sebuah novel remaja di bawah jenama DBP berjudul Haruskah Aku Berlari (2008).  Kemudian pada tahun 2010, terbit sebuah lagi novel berjudul Wajah Rahsia oleh Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.  Tahun 2013, memenangi hadiah saguhati sayembara novel dewasa anjuran DBP berjudul Gelut Rantau Kemilau, kisah pergolakan yang berlaku dalam kalangan penduduk di Rancangan Felda Bukit Senggeh. Novel ini diterbitkan oleh DBP tahun 2016. Dalam sayembara yang sama, Hanita meraih saguhati untuk kategori skrip adaptasi novel ke drama TV. Novel yang ditelaah berjudul Debu Hiroshima, karya Othman Puteh tahun 1992.

Kesibukan tugas hakiki, sebagai pekerja, isteri dan ibu tidak menghalang Hanita untuk terus berkarya.  Minat dalam sejarah telah membawa Hanita menghasilkan novel dalam genre sejarah. Hasrat ini telah diterjemah pada pertandingan Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-3 tahun 2010. Namun, Hanita tidak berjaya menyiapkan manuskrip tersebut atas pelbagai faktor. Sekali lagi pada Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-4 tahun 2011, Hanita diberi kesempatan ruang dan peluang oleh Allah sekali gus berjaya menghantar dua buah karya. Alhamdulillah, kedua-dua karya tersebut telah mendapat perhatian para juri. Manuskrip Ombak Dendam Tanah Selatan menduduki tempat kedua dan  1699: Desah Dari Selatan menduduki tempat ketiga.  Pada Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor kali ke-5 tahun 2015, manuskrip Hanita yang berjudul 1819-Pura Daksina memenangi hadiah sagu hati. Walau bagaimanapun ketiga-tiga manuskrip novel sejarah ini masih belum diterbitkan.

Selain  novel, Hanita turut menghasilkan buku-buku non-fiction.  Antaranya  buku Taman Botanikal Melaka - Dunia Damai Hijau dan Ilmu (2008) dengan edisi bahasa Inggeris berjudul Melaka Botanical Garden – A Serene Green World of Knowledge terbitan Perbadanan Hang Tuah Jaya Melaka,  buku Melaka First / Unggul terbitan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia tahun 2007, serta beberapa judul lain sebagai penyelenggara seperti buku Masakan Tradisional Melayu Dunia Melayu Dunia Islam tahun 2006 terbitan Kerajaan Negeri Melaka dan Biro Wanita Dunia Melayu Dunia Islam, buku Modal Insan Menjana Pembangunan Masyarakat dan Negara - Koleksi Ekslusif Ucapan Ketua Menteri Melaka bersama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia tahun 2007. Hanita juga terlibat dalam penghasilan buku-buku berbentuk autobiografi. Sehingga kini, Hanita telah menulis lima buah buku autobiografi, di mana dua buah telah terbit dan sebuah bakal menyusul. Buku autobiografi berjudul BACA,100 Tips Kejayaan Saya terbit tahun 2010. Buku ini mengenai perjalanan hidup Noor Azahar Mokhtar, antara tokoh multilevel marketing yang berjaya di Malaysia, buku Memoir 22.11 iaitu perjalanan kehidupan YB Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka tahun 2022, buku autobiografi Memoir Jamil Mukmin, tokoh penjawat awam Melaka sedang disemak dengan penerbit DBP dan dijangka terbit tahun 2024. Manakala dua buah manuskrip biografi tokoh budayawan Melaka iaitu Tan Sri Aziz Tapa, dan Datuk Borhan Md Yaman yang telah siap ditulis, tidak terbit. Sewaktu menyambung pengajian pada peringkat PhD., Hanita turut terlibat sebagai penyelenggara buku koleksi artikel berkaitan Pandemik COVID-19 berjudul Komunikasi Kesihatan Dan Media: Mendepani Cabaran Ketika Pandemik tahun 2021 terbitan Kolej Universiti Islam Melaka atau Universiti Melaka (UNIMEL). Dalam masa yang sama, banyak jurnal dihasilkan berkaitan penerimaan vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk di Melaka Tengah.

Berkahwin dengan Ramly A. Samad pada tahun 1998 dan mempunyai empat cahaya mata iaitu Nur Adibah 25, Muhammad Adib 23, Muhammad Adli 21 dan Muhammad Adam 20.

Antara judul novel dewasa yang telah digarap oleh Hanita Hassan.

1. Haruskah Aku Berlari (DBP, 2008)

2. Wajah Rahsia (Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd., 2010)

3. Gelut Rantau Kemilau (DBP - 2016)

4. Hambat Martabat (GAPENA - 2022)