Kaki arnab

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Azimat kaki arnab beralas perak zaman Victoria

Dalam budaya-budaya tertentu, kaki arnab digunakan sebagai azimat (tangkai) yang dipercayai membawa tuah kepada pemakainya. Kepercayaan ini dipegang oleh sesetengah masyarakat di Eropah, China, Afrika, dan Amerika Utara dan Selatan. Dikatakan bahawa kepercayaan ini wujud di Eropah sejak tahun 600 SM, di kalangan kaum Celt di Britain. Pemerolehan kaki arnab ada berbagai-bagai syaratnya, seperti arnab itu mestilah mempunyai sifat-sifat tertentu, atau dibunuh di tempat tertentu atau dengan cara yang tertentu, ataupun oleh seseorang yang memiliki sifat-sifat tertentu.

Ramai yang percaya bahawa kaki arnab memiliki kuasa yang memberikan tuah kepada pemakainya. Ini dipercayai berasal dari tradisi upacara puak pemburu untuk ahli-ahli remaja pada zaman pra-Celt. Pemuda-pemuda ini mula-mula diajar memburu arnab sebagai permulaan tempoh perantisan pemburu. Sekiranya mereka berjaya, sebelah kaki belakang arnab dihadiahkan kepada mereka dengan penuh istiadat sebagai tanda peralihan ke alam dewasa.

Azimat kaki arnab dalam budaya Amerika Utara[sunting | sunting sumber]

Tahyul kaki arnab dalam budaya rakyat Amerika Utara mungkin berasal dari amalan sihir hoodoo oleh kaum Amerika Afrika. Pemerolehan kaki arnab tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Anggota badan: Hanya kaki belakang kiri yang berguna sebagai tangkai.
  • Tempat: Arnabnya mestilah ditembak atau ditangkap dalam tanah perkuburan.
  • Masa: Arnabnya harus ditangkap pada fasa bulan yang tertentu pada hari tertentu. Ada yang kata bulan purnama, ada yang kata anak bulan. Ada yang kata bahawa pemburuan harus dibuat pada hari Jumaat, hari Jumaat yang hujan, atau Jumaat 13 hari bulan.

Ada yang mengatakan bahawa arnabnya harus ditembak dengan peluru perak, tetapi yang lain mengesyorkan supaya kaki arnab dipotong hidup-hidup.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Ellis, Bill: Lucifer Ascending: The Occult in Folklore and Popular Culture (University of Kentucky, 2004) ISBN 0-8131-2289-9