Kekontang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kanister biasanya diisi dengan gel silika dan ayak molekul lain yang digunakan sebagai kekontang dalam bekas ubat untuk memastikan kandungannya kering.
Gel silika dalam uncang atau paket berliang

Kekontang ialah bahan higroskopik yang digunakan untuk mengaruh atau mengekalkan keadaan kekeringan (pengontangan) di persekitarannya; ia adalah bertentangan dengan lelembap. Kekontang prabungkus yang biasa ditemui ialah pepejal yang menyerap air. Kekontang untuk tujuan khusus mungkin dalam bentuk selain daripada pepejal, dan boleh berfungsi melalui prinsip lain, seperti ikatan kimia molekul air. Ia biasanya ditemui dalam makanan untuk mengekalkan kerangupan. Secara industri, kekontang digunakan secara meluas untuk mengawal paras air dalam aliran gas.

Jenis kekontang[sunting | sunting sumber]

Walaupun sesetengah kekontang lengai kimia, yang lain adalah sangat reaktif dan memerlukan teknik pengendalian khusus. Kekontang yang paling lazim ialah gel silika, pepejal putih yang tidak larut air, lengai, dan tidak toksik. Berpuluh-puluh ribu tan dihasilkan setiap tahun untuk tujuan tersebut. Kekontang biasa yang lain termasuk arang giat, kalsium sulfat, kalsium klorida dan ayak molekul (biasanya, zeolit). Kekontang juga boleh dikategorikan mengikut jenisnya, sama ada I, II, III, IV, atau V. Jenis-jenis tersebut ialah fungsi bentuk isoterma pengerapan kelengasan kekontangnya.

Alkohol dan aseton juga merupakan agen penyahhidrat.

Kecekapan prestasi[sunting | sunting sumber]

Satu ukuran kecekapan kekontang ialah nisbah (atau peratusan) air yang boleh disimpan dalam kekontang berbanding jisim kekontang.

Ukuran lain ialah kelembapan relatif sisa udara atau bendalir lain yang dikeringkan.

Prestasi mana-mana kekontang berbeza mengikut suhu dan kedua-dua kelembapan relatif dan kelembapan mutlak. Pada tahap tertentu, prestasi kekontang boleh diperihalkan dengan tepat, tetapi yang paling lazim, pilihan terakhir kekontang yang paling sesuai dengan keadaan tertentu, berapa banyak kekontang untuk digunakan, dan dalam bentuk apa, dibuat berdasarkan ujian dan pengalaman praktikal.

Penunjuk ketepuan berwarna[sunting | sunting sumber]

Gel silika penunjuk

Kadangkala penunjuk kelembapan disertakan dalam kekontang untuk menunjukkan, melalui perubahan warna, tahap ketepuan air kekontang. Satu penunjuk yang biasa digunakan ialah kobalt klorida (CoCl2). Kobalt klorida kontang berwarna biru. Apabila ia terikat dengan dua molekul air, (CoCl2 •2H2O), ia bertukar menjadi ungu. Penghidratan selanjutnya menghasilkan kompleks heksaaquacobalt(II) klorida jambu [Co(H2O)6]Cl2.

Penerapan[sunting | sunting sumber]

Satu contoh penggunaan kekontang adalah dalam pembuatan tingkap bertebat iaitu sferoid zeolit diisi ke dalam tiub penjarak segi empat tepat pada perimeter cermin tingkap kaca. Kekontang membantu mengelakkan pemeluwapan kelengasan di antara cermin tingkap. Satu lagi kegunaan zeolit adalah dalam komponen "pengering" sistem penyejukan untuk menyerap air yang dibawa oleh sesejuk, sama ada air sisa yang tinggal daripada pembinaan sistem, atau air yang dikeluarkan oleh degradasi bahan lain dari semasa ke semasa.

Kekontang beg juga biasanya digunakan untuk melindungi barangan dalam kontena penghantaran yang terhadang sawar daripada kerosakan kelengasan: karat, kakisan, dll.[1][2] Kargo higroskopik, seperti koko, kopi, pelbagai kacang dan bijirin, dan makanan lain[3] boleh terdedah terutamanya kepada kulat dan reput apabila terdedah kepada pemeluwapan dan kelembapan. Oleh sebab itu, pengirim sering mengambil langkah dengan menggunakan kekontang untuk melindungi daripada kehilangan. Pembungkusan farmaseutikal selalunya termasuk paket kecil kekontang untuk mengekalkan keadaan atmosfera di dalam bungkusan bawah paras parah wap air.

Kekontang menyebabkan kekeringan dalam mana-mana persekitaran dan mengurangkan jumlah kelengasan yang terdapat dalam udara. Kekontang wujud dalam pelbagai bentuk dan telah digunakan meluas dalam makanan, farmaseutikal, pembungkusan, elektronik, dan banyak perusahaan pembuatan.

Sistem penyaman udara boleh berasaskan kekontang, kerana udara yang lebih kering terasa lebih selesa dan tindakan menyerap air tersebut juga menyingkirkan haba.[4]

Kekontang digunakan dalam penternakan dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh, anak babi yang baru lahir sangat terdedah kepada hipotermia kerana kebasahannya.[5]

Pengeringan lelarut[sunting | sunting sumber]

Toluena dipanaskan di bawah refluks dengan natrium dan benzofenon untuk menghasilkan toluena yang kering dan bebas oksigen. Toluena adalah kering dan bebas oksigen apabila warna biru pekat daripada radikal ketil benzofenon diperhatikan.

Kekontang juga digunakan untuk mengeluarkan air daripada lelarut, biasanya diperlukan oleh tindakbalas kimia yang tidak tahan bertemu dengan air, contohnya, tindakbalas Grignard. Kaedah umumnya, walaupun tidak selalu, melibatkan pencampuran lelarut dengan kekontang pepejal. Kajian menunjukkan bahawa ayak molekul lebih unggul sebagai kekontang berbanding dengan reagen pengeringan kimia seperti natrium-benzofenon. Ayak memberikan kelebihan seperti selamat di udara dan boleh dilangkitar.[6][7]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rollo, P (1996). A Protective packaging evaluation involving a high barrier film lamiation, desiccants and oxygen absorbers (Tesis). Rochester Institute of Technology.
  2. ^ MIL-D-3464E, MILITARY SPECIFICATION: DESICCANTS, ACTIVATED, BAGGED, PACKAGING USE AND STATIC DEHUMIDIFICATION, 1987, dicapai pada August 8, 2021
  3. ^ Hirata, T (1985). "Simulation of Moisture and Chlorophyll Changes in Dried Laver, Porphyra Yezoensis, in a Desiccant-Enclosing Packaging System". Nippon Shokuhin Kogyo Gakkaishi. 32 (4): 266–273. doi:10.3136/nskkk1962.32.4_266. Dicapai pada 11 August 2021.
  4. ^ Daou, K; Wang, Xia (2005). "Desiccant cooling air conditioning: a review". Renewable and Sustainable Energy Reviews. 10 (2): 55–77. doi:10.1016/j.rser.2004.09.010.
  5. ^ Vande Pol, Katherine D.; Tolosa, Andres F.; Shull, Caleb M.; Brown, Catherine B.; Alencar, Stephan A S.; Ellis, Michael (2020). "Effect of method of drying piglets at birth on rectal temperature over the first 24 h after birth1". Translational Animal Science. 4 (4): txaa183. doi:10.1093/tas/txaa183. PMC 7672461. PMID 33241187.
  6. ^ Chai, Christina Li Lin; Armarego, W. L. F. (2003). Purification of laboratory chemicals. Oxford: Butterworth-Heinemann. ISBN 978-0-7506-7571-0.
  7. ^ Williams, D. Bradley G.; Lawton, Michelle (2010). "Drying of Organic Solvents: Quantitative Evaluation of the Efficiency of Several Desiccants". The Journal of Organic Chemistry. 75 (24): 8351–8354. doi:10.1021/jo101589h. PMID 20945830.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Lavan, Z.; Jean-Baptiste Monnier; Worek, W. M. (1982). "Second Law Analysis of Desiccant Cooling Systems". Journal of Solar Energy Engineering. 104 (3): 229–236. doi:10.1115/1.3266307.
  • S. Sadik; J. W. White (1982). "True potato seed drying over rice". Potato Research. 25 (3): 269. doi:10.1007/BF02357312.