Keterlarutan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Keterlarutan (Inggeris: solubility) ialah sifat boleh larut[1] bahan pepejal, cecair atau gas yang dinamakan zat terlarut (solute) dalam pelarut pepejal, cecair atau gas untuk membentuk larutan homogen zat terlarut itu di dalam pelarut. Keterlarutan suatu bahan bergantung kepada ciri-ciri fizikal dan kimia zat terlarut dan pelarut, di samping kepada suhu, tekanan dan nilai pH larutan tersebut. Setakat mana satu bahan terlarut dalam pelarut tertentu diukur sebagai penumpuan ketepuan, ketika mana zat terlarut tidak boleh lagi larut dalam pelarut dan tidak boleh menambah penumpuan larutan itu.

Selalunya, pelarut terdapat dalam bentuk cecair yang boleh jadi bahan tulen atau campuran. Terdapat juga larutan pepejal tetapi larutan dalam gas jarang didapati (sebaliknya, lihat keseimbangan wap-cecair).

Darjah keterlarutan menjangkau daripada "boleh larut secara tidak terhingga" (tanpa had) (tercampur sepenuhnya) seperti etanol dalam air, hingga ke "tidak terlarut dengan baik" seperti perak klorida dalam air. Istilah tidak boleh larut biasanya digunakan untuk menjelaskan sebatian-sebatian yang tidak terlarut dengan baik atau sangat tidak terlarut.

Dalam sesetengah keadaan, keterlarutan keseimbangan boleh diatasi untuk menghasilkan larutan tepu tampau yang bersifat metastabil.

Jangan dikelirukan keterlarutan dengan kemampuan melarut atau mencecairkan bahan, kerana sesuatu larutan mungkin terbentuk bukan sahaja kerana pelarutan tetapi juga kerana tindak balas kimia. Zink, misalnya, tidak boleh larut dalam asid hidroklorik, tetapi ia tetap terlarut dalam asid tersebut kerana tindak balas kimia yang menukarkan zink dan asid hidroklorik kepada gas hidrogen dan zink klorida yang boleh larut dalam asid hidroklorik.

Takrifan IUPAC[sunting | sunting sumber]

Menurut istilah IUPAC, keterlarutan ialah komposisi analitik larutan tepu yang dinyatakan sebagai perkadaran zat terlarut tertentu di dalam pelarut tertentu. Keterlarutan boleh juga dinyatakan dalam unit penumpuan, kemolalan, pecahan mol, nisbah mol dan unit-unit lain.

Pandangan dari segi molekul[sunting | sunting sumber]

Keterlarutan berlaku dalam keseimbangan dinamik. Maksudnya, keterlarutan terhasil daripada proses pelarutan dan penggabungan fasa yang serentak dan bertentangan (seperti pemendakan pepejal). Keseimbangan keterlarutan berlaku apabila kedua-dua proses berlangsung pada kadar yang malar.

Istilah keterlarutan juga digunakan dalam beberapa bidang di mana zat terlarut diubah oleh solvolisis. Contohnya, banyak logam dan oksidanya dikatakan "boleh larut dalam asid hidroklrik", sedangkan asid akua ini hanya mendegradasikan pepejal itu dan menghasilkan produk boleh larut dalam proses tak berbalik. Kebanyakan pepejal ion juga didegradasi oleh pelarut berkutub, tetapi proses ini boleh berbalik. Dalam keadaan di mana zat terlarut tidak dapat dikembalikan dengan pengewapan pelarut, proses tersebut dinamakan solvosis. Konsep termodinamik keterlarutan tidak boleh digunakan secara terus kepada solvosis.

Apabila satu zat terlarut melarut, ia boleh membentuk beberapa spesis berbeza dalam larutan itu. Misalnya, ampaian akua ferus hidroksida, Fe(OH)2, boleh mengandungi siri [Fe(H2O)6 - x(OH)x](2 - x)+ dan juga spesis oligomer lain. Tambahan lagi, keterlarutan ferus hidroksida dan komposisi komponen-komponen boleh larutnya bergantung kepada pH. Secara amnya, keterlarutan dalam fasa pelarut boleh diberikan hanya bagi zat terlarut tertentu yang stabil secara termodinamik, dan nilai keterlarutan akan mengambil kira semua spesis dalam larutan (dalam contoh di atas, semua kompleks yang mengandungi besi).

Rujukan[sunting | sunting sumber]