Komet Shoemaker-Levy 9

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
D/1993 F2 (Shoemaker–Levy)
Teleskop Angkasa Hubble
Gambar serpihan-serpihan Komet Shoemaker-Levy 9 (21 kesemuanya), diambil pada 17 Mei 1994.
Penemuan
Ditemui oleh: Carolyn Shoemaker
Eugene M. Shoemaker
David Levy
Tarikh penemuan: 24 Mac 1993
Ciri-ciri orbit A
Kecondongan orbit: 94.23333°

Shoemaker-Levy 9 (gelaran formal: D/1993 F2) ialah sebuah komet yang hancur berkecai dan berlanggar dengan Musytari pada Julai 1994. Kejadian ini merupakan pelanggaran dua objek sistem suria yang pertama yang berjaya dirakamkan. Ini memberi komet itu liputan yang luas di kalangan media dan komet ini dipantau dengan sangat teliti oleh ahli astronomi.

Komet ini telah ditemui oleh Carolyn dan Eugene Shoemaker dan David Levy pada malam 24 Mac 1993 menggunakan teleskop Schmidt 0.4 meter di Balai Cerap Palomar di California, Amerika Syarikat. Ia merupakan komet berkala pendek (komet yang tempoh orbitnya 200 tahun atau kurang) kesembilan yang mereka temui. Komet Shoemaker-Levy 9 merupakan komet pertama yang ditemui mengorbit sebuah planet, dan mungkin telah ditangkap oleh tarikan graviti Musytari 20-30 tahun sebelumnya.

Perkiraan menunjukkan bahawa bentuk berkecai komet Shoemaker-Levy 9 yang luar biasa berpunca daripada pendekatan komet ini dengan Musytari sebelumnya yang lebih dekat pada Julai 1992. Pada masa itu, orbit Shoemaker-Levy 9 melalui lingkungan had Roche Musytari, dan daya pasang surut planet itu telah mengoyakkan komet itu menjadi serpihan. Komet itu berjaya diperhatikan sekali lagi dalam bentuk serpihan sebesar 2 km diameter. Serpihan-serpihan ini akhirnya berlanggar dengan hemisfera selatan Musytari di antara 16 - 22 Julai 1994, dengan kelajuan 60 km/s atau 21,600 km/j. Parut yang dihasilkan oleh pelanggaran komet itu adalah lebih jelas daripada Tompok Merah Besar dan boleh dilihat selama beberapa bulan.

Penemuan[sunting | sunting sumber]

(Dari kiri) Eugene dan Carolyn Shoemaker (Dari kiri) Eugene dan Carolyn Shoemaker
(Dari kiri) Eugene dan Carolyn Shoemaker
David Levy

Komet Shoemaker-Levy 9 telah ditemui secara tidak sengaja oleh pasangan suami isteri Carolyn dan Eugene Shoemaker beserta David Levy pada 24 Mac 1993 menggunakan teleskop Schmidt berukuran 0.46 meter (18 inci) di Balai Cerap Palomar di California. Penemuan ini dibuat ketika kumpulan ini berusaha mencari objek berhampiran Bumi (near-Earth objects atau NEO). Angka 9 di hujung nama komet ini menyatakan bahawa komet ini ialah komet berkala pendek kesembilan yang mereka temui. Apabila ia baru ditemui, komet ini dikatakan mempunyai bentuk yang aneh, iaitu seperti satu objek panjang yang padu sepanjang 1 arka-minit dengan ekor yang hampir tidak kelihatan. Shoemaker-Levy 9 dikatakan mempunyai magnitud 14, yakni lebih seribu kali lebih pudar daripada batas penglihatan manusia.

Kewujudan komet ini disahkan oleh James V. Scotti daripada program Spacewatch di Universiti Arizona. Biro Pusat untuk Telegram Astronomikal Kesatuan Astronomi Antarabangsa segera mengeluarkan IAU Circular 5725 dan mengumumkan penemuan Shoemaker-Levy 9 pada 27 Mac 1993. Komet ini menerima gelaran sementara 1993e, bermaksud ia merupakan komet kelima yang ditemui dalam tahun 1993.

Kajian[sunting | sunting sumber]

Scotti melaporkan komet Shoemaker-Levy 9 terdiri daripada sekurang-kurangnya lima objek yang tersusun dalam susunan 47 arka-saat panjang dan 11 arka-minit lebar. Beliau juga telah menemui jejak debu komet ini yang menjangkau 4.2 arka-minit ke timur dan 6.89 arka-minit ke barat, dan ekor komet yang menjangkau 1 arka-minit daripada gugusan komet tersebut. Pengarah biro, Brian G. Marsden mengatakan bahawa komet ini terletak lebih kurang 4 arka-minit dari planer Musytari, dan pergerakannya menunjukkan yang Shoemaker-Levy 9 mungkin berada pada jarak yang sama dengan Musytari.

Pada 27 Mac, Marsden telah merekod banyak kedudukan Shoemaker-Levy 9 dan mendapati ia mungkin akan mendekati Musytari pada Julai 1993. Pada hari yang sama, gambar Shoemaker-Levy 9 yang diambil oleh Jane Luu dan David Jewitt menggunakan teleskop 2.2 meter di Mouna Kea di Hawaii menunjukkan bahawa komet ini terdiri daripada 17 nuklei dalam satu barisan 50 arka-saat panjang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Comet Shoemaker-Levy 9 (astronomy) - Brittanica Online Encyclopedia. Diakses pada 16 Julai 2012.
  2. Comet Shoemaker-Levy 9 di Views of the Solar System. Diakses pada 16 Julai 2012.
  3. Comet Shoemaker-Levy 9 di nineplanets. Diakses pada 16 Julai 2012.
  4. The Discovery and Early Study of Shoemaker-Levy 9 di Views of the Solar System. Diakses pada 18 Julai 2012.