Loli ais
Loli ais merupakan sejenis aiskrim sejuk beku yang mempunyai tangkai. Ia mendapat namanya kerana bentuknya yang menyerupai lolipop. Loli ais dibuat dengan menyejuk bekukan cecair berwarna (seperti jus buah-buahan) ke dalam acuan dan merendamkan tangkainya ke dalam larutan tersebut. Di Amerika Syarikat dan Kanada, loli ais dipanggil popsicle berikutan populariti jenama Popsicle di sana, sehinggakan istilah tersebut menjadi tanda dagangan umum bagi merujuk kepada mana-mana jenis loli ais tanpa mengira jenama.
Isi kandungan |
[sunting] Sejarah
Loli ais pertama yang direkodkan dicipta secara tidak sengaja pada tahun 1905 oleh seorang budak lelaki berumur 11 tahun bernama Frank Epperson dari San Francisco, yang tertinggal segelas air soda di belakang rumahnya dengan kayu pengacau di dalam gelas tersebut. Pada malam itu, suhu jatuh ke bawah paras beku; akibatnya, apabila Epperson kembali untuk minum air tersebut, dia mendapati air sodanya itu sudah beku, dan setelah dia melalukan air panas pada gelas itu, dia berupaya untuk menanggalkan (dan seterusnya memakan) air soda beku itu dengan menjadikan kayu pengacau tersebut sebagai tangkainya.[1]
Loli ais mula diperkenalkan kepada umum buat pertama kalinya di Oakland untuk ahli bomba pada tahun 1922. Pada tahun 1923, Epperson memohon paten bagi "ais beku pada tangkai" yang dipanggil Epsicle, dan seterusnya dinamakan semula sebagai Popsicle. Jenama tersebut kini merupakan antara jenama loli ais paling popular di Amerika Syarikat.
[sunting] Aiskrim potong
Satu variasi tempatan bagi loli ais dikenali sebagai aiskrim potong. Cara pembuatannya lebih kurang sama seperti loli ais biasa. Bezanya, satu acuan segiempat besar digunakan untuk membuat banyak aiskrim, dan larutan yang telah beku dipotong sama besar mengikut saiz yang dikehendaki. Kaedah ini membolehkan aiskrim potong dihasilkan pada kos yang lebih rendah daripada loli ais biasa.
[sunting] Lihat juga
[sunting] Rujukan
- ↑ "Hall of Fame". Archived from the original on 2010-11-15. http://web.archive.org/web/20080608063504/http://www.thekidshalloffame.com/CustomPage15.html.