Nichiren Shoshu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Nichiren Shoshu (日蓮正宗), secara harfiah bermaksud "Kepercayaan Benar Nichiren", ialah aliran agama Buddha Nichiren dari Jepun yang diasaskan oleh Nichiren Daishonin, sami agama Buddha pada abad ke-13. Aliran-aliran lain yang berkait adalah Nichiren Shu dan Soka Gakkai.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Menurut para penganut Nichiren Shoshu, dokumen-dokumen seperti Minobu sojo dan Ikegami sojo menyatakan bahawa sami Nichiren telah menetapkan sami Nikko (1246-1333) sebagai penggantinya dan oleh itu, aliran Nichiren Shoshu adalah aliran agama Buddha Nichiren yang tulen. Bagaimanapun, perlantikan sami Nikko sebagai pengganti telah dipertikaikan oleh aliran-aliran agama Buddha Nichiren yang lain.

Soka Gakkai, sebuah aliran yang agak berpengaruh, berpegang pada ajaran Nichiren Shoshu. Namun pada tahun 1991, ia telah disingkirkan oleh lembaga Nichiren Shoshu daripada kalangannya dan kini, kedua-dua pertubuhan tersebut berfungsi secara berasingan.

Ajaran[sunting | sunting sumber]

Menurut ajaran Nichiren Shoshu berdasarkan Hukum Mistik Nam Myoho Renge Kyo, Nichiren Daishonin memenuhi misi kedatangannya, selaras dengan ramalan Buddha Sakyamuni (k.k. 563 SM - k.k. 483 SM; juga dikenali sebagai Siddhartha Gautama) yang menyatakan bahawa selepas 2,500 tahun kematiannya, akan bangkit seorang pengganti yang menjadi Buddha Benar untuk zaman yang akan datang. Ini merupakan perbezaan doktrin yang utama antara Nichiren Shoshu dengan Nichiren Shu yang mendakwa bahawa Nichiren bukannya Buddha, tetapi hanyalah saminya.

Aliran Buddha Nichiren Shoshu percaya bahawa bodhi atau "makrifat peribadi" mampu dicapai dalam tempoh hayat seseorang. Amalan mereka bertumpu kepada pembacaan Gohonzon yang berbunyi Nam Myoho Renge Kyo (juga ditulis dan disebut Namu Myoho Renge Kyo) yang membawa maksud "Saya berserah kepada Hukum Mistik Sebab Akibat." Dengan kata yang lain, setiap manusia akan menyebabkan sesuatu melalui fikiran, percakapan dan amalan masing-masing, dengan sebab yang baik menghasilkan kesan positif dan sebab yang buruk menghasilkan kesan negatif (lihat karma). Menurut agama Buddha Nichiren Shoshu, hukum sebab akibat ialah prinsip sejagat yang mendasari semua fenomena dan peristiwa harian, baik yang boleh dilihat mahupun yang tidak. Oleh itu, penganut-penganut Nichren Shoshu cuba bersungguh-sungguh untuk meningkatkan keadaan hidup mereka dan mencapai makrifat melalui perbuatan yang mematuhi hukum in dalam kehidupan sehari-hari mereka dan melalui berkongsi kepercayaan Hukum Mistik Nam Myoho Renge Kyo ini dengan orang-orang yang lain.

Dalam agama Buddha Nichiren Shoshu, Objek Penyembahan asas ialah Dai-Gohonzon yang ditulis oleh Nichiren Daishonin pada 12 Oktober 1279. Objek tersebut yang menggunakan askara Cina dihormati sebagai satu-satunya entiti makrifat Nichiren Daishonin. Setiap penganut Nichiren Shoshu atau keluarga mempunyai sebuah salinan Dai-Gohonzon yang lebih kecil yang dihasilkan dan ditahbiskan oleh seorang Sami Besar Nichiren Shoshu yang memegang jawatan ini secara berturut-turut, dan diberikan kepada para penganut baru oleh seorang sami Nichiren Shoshu semasa upacara inisiasi kuil tempatan yang berada di seluruh dunia. Kuil Taisekiji, kuil utama agama Buddha Nichiren Shoshu, terletak berhampiran dengan kaki Gunung Fuji di Jepun, dan dikunjungi setiap tahun atau dari semasa ke semasa oleh para penganutnya, baik secara individu mahupun secara kumpulan.

Setiap pagi dan petang, para pengamal Nichren Shoshu menyakinkan diri serta memperbaharui kepercayaan mereka dengan melakukan Gongyo yang melibatkan pembacaan beberapa bab Sutra Teratai yang dianggap sebagai ajaran Buddha Sakyamuni yang tertinggi dan mendalam, lalu menyebut berulang-ulang Nam Myoho Renge Kyo semasa menghadap Gohonzon, sementara menumpukan perhatian kepada askara Cina, Myo. Amalan ini, khususnya apabila dikongsi dengan orang lain, dianggap sebagai Sebab Benar untuk mencapai keadaan tenang kehidupan sedar yang membenarkan penganutnya mengalami dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan menghadapi cabaran-cabaran kehidupan harian dengan penuh keyakinan. Agama Buddha Nichiren Shoshu merujuk kepada ini sebagai "menggantikan racun dengan ubat".

Pautan luar[sunting | sunting sumber]