Pertempuran Dhi Qar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Dhi Qar
Tarikh609
Lokasi
Empayar Sasan (Thi Qar moden, selatan Iraq)
Keputusan Kemenangan Arab
Pihak yang terlibat
Sasan Parsi
Arab pro-Sasan
Suku Arab Bakr ibn Wa'il
Komandan dan pemimpin
Iyas ibn Qabisah al-Ta'i
Hamrez al-Tasatturi
Al-Nu'man bin Zara'a
Khalid bin Yazid al-Buhrani
Khanabarin
Hamarz
Hormuzan
Hani' bin Qubaisah
Hantala bin Tha'laba al-Ajli
Abd Amr bin Bashar al-Dhubai'y
Jabala bin Ba'ith al-Yashkury
Al-Harith bin Wa'la al-Thahli
Al-Harith bin Rabi'a al-Taimi
Kekuatan
2,000 tentera Parsi bersama 3,000 Arab[1] Tidak diketahui
Kerugian dan korban
Besar

Pertempuran Dhi Qar (Arab: يوم ذي قار) merupakan pertempuran yang tercetus pada zaman sebelum kedatangan Islam antara suku Arab di selatan Iraq dan tentera Sasan Parsi pada tahun 609.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Empayar Sasan dan Kerajaan Lakhmid pada tahun 600 Masihi.

Pada kurun kedua Masihi, sekumpulan puak Arab telah bersatu membentuk Bani Tanukh yang berpindah dari selatan Tihamah menuju ke Iraq dan Syria. Setelah berperang dengan puak Arab setempat, dinasti Lakhmid yang dipimpin oleh Amr ibn Adi telah mendirikan sebuah kerajaan pada tahun 268 dan al-Hirah dijadikan sebagai ibu kota kerajaannya. Anak kepada Amr iaitu Imru al-Qays lebih bercita-cita tinggi apabila beliau cuba untuk menyatukan semua orang Arab yang tinggal di Syria, Lubnan dan Iraq di bawah satu kerajaan. Di bawah pemerintahannya, Lakhmid telah melakukan serbuan ke atas Semenanjung Arab dan Kerajaan Sasan melalui jalan darat serta laut.

Pada tahun 325, Shah Sasan iaitu Shapur II akhirnya bertindak melakukan tekanan ke atas Lakhmid. Imru al-Qays telah meminta bantuan daripada Maharaja Rom, Constantius II tetapi tiada bantuan langsung yang sampai kepadanya. Kerajaan Lakhmid kemudian ditakluk oleh Parsi dan Imru al-Qays meninggal dunia semasa berada dalam buangan. Anak Imru iaitu Amr II bersetuju menerima pemerintahan Sasan dan menjadi naungan mereka. Semasa tempoh itu, Lakhmid meneruskan amalan penyembahan paganisme tetapi terdapat sebahagian daripada mereka yang telah memeluk agama Kristian dengan mengikuti ajaran Nestorian dan Miafisitik. Lakhmid juga terlibat dalam beberapa siri peperangan menentang Rom bersama negeri naungannya di Arab, Ghasan yang terkenal akan peranannya menewaskan Belisarius dalam Pertempuran Callinicum pada tahun 531.

Abad keenam menyaksikan Lahmid berada pada zaman kemuncaknya. Pada tahun 580, Raja al-Munchir IV telah mangkat dan Shah Hormizd IV perlu memilih penggantinya dalam kalangan 12 orang anaknya. Penyair Lakhmid, Adi ibn Zayd sangat berpengaruh di istana Sasan pada masa itu dan beliau telah meyakinkan Hormizd supaya memilih al-Numan sebagai pemilik takhta Lakhmid. Pada tahun 590, Hormizd telah digulingkan oleh jeneralnya sendiri, Bahram Chobin. Anak Hormizd iaitu Khosrow bertindak meminta bantuan daripada al-Numan. Namun, al-Numan telah meletakkan permintaan bahawa pembebasan kerajaannya merupakan balasan atas bantuan yang diberikannya kepada Khosrow. Kemudian, Khosrow telah dipulikan kedudukannya sebagai Shah Parsi dengan bantuan Maharaja Rom, Maurice pada tahun 591.

Hubungan antara Sasan dan Lakhmid menjadi bertambah keruh pada tahun 595 apabila al-Numan memenjarakan Adi ibn Zayd kerana beliau merasakan Adi telah merancang sesuatu untuk mengancam kedudukannya. Khosrow segera tidak berpuas hati tetapi beliau sibuk menghadapi pemberontakan yang dilancarkan oleh Vistahm terhadap takhtanya. Shah Parsi itu sebenarnya cuba untuk memulihkan hubungan dengan Lakhmid pada tahun 600 dan beliau merancang untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan al-Numan. Menurut beberapa sumber, al-Numan telah menolak perkara itu dan bahkan, beliau telah menghina perempuan Sasan. Lantas, Raja Lakhmid itu sedar bahawa beliau telah melakukan kesilapan dan balasannya akan ditanggung olehnya nanti.

Al-Numan telah berhubung dengan salah satu suku Arab yang terbesar iaitu Bakar ibn Wa'il untuk meminta bantuan. Suku Arab itu berjanji untuk melindungi keluarga dan kedudukan al-Numan. Pada tahun 602, Khosrow telah menjemput al-Numan ke Ctesiphon sebelum al-Numan dipenjarakan dan meninggal di sana. Khosrow kemudian melantik seorang gabenor yang bernama Iyas ibn Qabisah untuk mentadbir al-Hira sekali gus menamatkan Kerajaan Lakhmid. Sumber-sumber mendakwa bahawa keluarga al-Numan bersama dengan harta mereka telah pergi mencari perlindungan dalam kalangan suku Bakar ibn Wa'il. Khosrow mendesak suku Arab itu untuk menyerahkan keluarga al-Numan ke Ctesiphon tetapi ia kemudiannya ditolak oleh pemimpin suku. Hal ini menandakan konflik antara Sasan dan suku Arab itu tidak dapat dielakkan.

Suku Arab yang lain iaitu Bani Taghlib menetap di utara penempatan Bakar ibn Wa'il. Kedua-dua suku itu sering kali berperang sesama mereka dan Bani Taghlib telah menawarkan bantuan kepada Khosrow dalam usaha Khosrow untuk merebut kembali wilayah bekas musuhnya. Pada tahun 609, Khosrow dan Bani Taghlib telah menghantar utusan kepada Bakar ibn Wa'il yang mendesak mereka supaya menyerah kalah atau meninggalkan tanah mereka di sekitar kawasan oasis yang dikenali sebagai Dhi Qar. Namun, Bakar ibn Wa'il telah menolak desakan tersebut dan mereka bersiap untuk menghadapi peperangan. Pada masa itu, Khosrow sedang berperang dengan Rom tetapi beliau masih perlu untuk menjaga kawasan sempadan kerajaannya. Jadi, Shah Parsi itu mengarahkan gabenor al-Hira untuk menyerang Bakar ibn Wa'il.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Sasan telah menghantar 2,000 tenteranya dan 3,000 tentera Arab yang dipimpin oleh gabenor al-Hirah, Iyas ibn Qabisah. Menurut sumber, salah seorang daripada pemimpin tentera itu yang bernama Qays ibn Mas'ud telah sempat memberitahu kepada Bakar ibn Wa'il mengenai serangan yang akan berlaku. Beliau telah menyelinap keluar pada waktu malam dan pergi menuju ke Bakar ibn Wa'il yang berada di kawasan lekukan untuk memberi amaran kepada mereka. Jumlah Bakar ibn Wa'il yang tepat tidak diketahui tetapi dianggarkan jumlah mereka ialah sekitar 2,000 orang pahlawan. Pada mulanya, mereka diselubungi ketakutan tetapi pemimpin mereka iaitu Hanzala ibn Tha'laba berjaya mengembalikan keyakinan seluruh puaknya. Daripada ingin melarikan diri, Hanzala menyeru kepada mereka agar memilih untuk berjuang dan bertempur. Beliau kemudian memotong tali yang menampung tempat duduk yang diikatkan pada bonggol unta untuk menghalang puak-puak beliau melarikan diri bersama keluarga masing-masing. Perkara ini bermakna mereka semua perlu berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Hanzala telah mendirikan khemahnya di kawasan lekukan di Dhi Qar dan beliau telah bersumpah bahawa beliau tidak akan lari daripada medan perang. Sebahagian daripada puak Bakar ibn Wa'il berada di kawasan lekukan manakala sebahagian lagi telah pergi mencari sumber air di kawasan tikungan Dhi Qar. Di tempat itu, mereka telah bertembung dengan tentera Parsi yang mempunyai tujuan yang sama. Tentera Parsi terus meluru ke arah puak Arab lalu mencetuskan pertempuran. Sambil dilanda dahaga, tentera Parsi membuat keputusan untuk beredar tanpa banyak menghabiskan tenaga untuk bertempur membuatkan mereka terus diasak dengan hebat oleh musuh. Tentera Parsi itu berundur ke sebuah lokasi yang terdapat sumber air yang dikenali sebagai al-Jubabat. Bakar ibn Wa'il terus mengejar serta memberi tentangan habis-habisan. Tentera Parsi menyusun semula barisan tentera mereka dan membalas ancaman terhadap pengejar tadi demi menjamin sumber air di situ miliknya. Seterusnya, saki baki puak Arab yang dari kawasan tikungan membantu memperhebatkan serangan dan memberi tekanan kepada Parsi untuk melepaskan kedudukannya. Kedua-dua pihak itu bertempur di al-Jubabat sepanjang hari. Pada sekali lagi, Parsi tidak mempunyai kelebihan untuk menyimpan bekalan air lalu membuatkan mereka menderita kehausan dalam musim panas yang membahang. Mereka berundur sekali lagi dan kali ini menuju ke kawasan lekukan Dhi Qar manakala puak Bakar ibn Wa'il yang lain telah mengambil posisi mereka.

Pada waktu malam, sekumpulan puak Bakar ibn Wa'il yang diketuai oleh Yizad ibn Himar telah menuju ke kawasan Dhi Qar yang terletak berhampiran Sungai Euphrates untuk bersembunyi bagi membolehkan mereka dapat melancarkan serangan mengejut ke atas tentera utama Parsi yang menghampiri. Hari kedua pertempuran telah memasuki satu fasa baru apabila tentera utama Parsi bergabung dengan saki baki tentera mereka yang lain di kawasan lekukan Dhi Qar. Tentera akhirnya melepasi batas dan berlaku satu pertempuran sengit apabila kedua-dua pihak saling menggempur antara satu sama lain dalam lingkungan yang padat. Walau bagaimanapun, cuaca panas yang mencabar tidak membenarkan kedua-dua pihak mendapat sebarang kelebihan apabila semua perajurit menjadi penat sebelum semua barisan tentera berundur. Dengan melihat beberapa orang tenteranya berada dalam ketakutan, komander tentera Arab iaitu Hanzala menggunakan masa semasa tempoh berehat yang singkat untuk memotong tali pelana dengan lebih banyak untuk menghalang tentera-tenteranya dapat lari daripada medan peperangan. Beliau juga menyusun semula tenteranya kepada dua kumpulan iaitu dua pasukan sayap tanpa mempunyai barisan tengah yang kukuh.

Semasa pertempuran tercetus lagi, pasukan sayap kiri Arab menuju ke arah kavalri Parsi yang berada di sayap kanan. Sumber mendakwa bahawa pemimpin Arab dari bahagian itu telah mencabar pemimpin Sasan untuk bertarung satu lawan satu oleh kerana ia merupakan satu kebiasaan dalam situasi peperangan pada masa itu. Kemenangan berpihak kepada pahlawan Arab dan ia sama sekali telah mengubah semangat pada semua tentera dari kedua-dua pihak. Apabila Hanzala perasan akan situasi itu, beliau segera memimpin semua tentera sayap kirinya menentang pasukan sayap kanan Parsi kerana beliau ingin mengambil peluang di kala kekurangan pemimpin tentera musuh untuk memberikan tekanan lebihan ke atas tentera musuh. Sementara itu, pertempuran sengit juga berlaku di bahagian kiri Sasan. Lembah Dhi Qar merupakan saksi kepada pertempuran dahsyat itu apabila Parsi dan suku Arab bertempur dalam jarak yang begitu dekat. Tentera Arab yang bersembunyi tadi di bawah pimpinan Yazid kemudian muncul dari belakang barisan tentera Sasan dari kawasan lembah Dhi Qar. Tentera Arab itu melancarkan serangan terhadap barisan tengah Sasan yang menempatkan panglima tentera mereka, Iyas ibn Qabisah. Tepat pada masa itu, puak Bani Iyad kemudiannya berpaling dan melarikan diri seperti yang dijanjikan sekali gus mencetuskan kekeliruan dan pengunduran seluruh tentera Parsi. Bakar ibn Wa'il telah membuatkan tentera musuh diasak sehingga mereka beralih untuk berundur. Mereka memperlahankan pergerakan tentera Parsi yang berundur dari kawasan lembah Dhi Qar menuju ke tempat yang dikenali yang terletak jauh ke arah barat laut. Pertempuran Dhi Qar berlangsung penuh selama dua hari dan ia kemudiannya diketahui hingga ke seluruh Semenanjung Arab.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Walaupun pertempuran ini tidak mempunyai kesan pada jangka masa panjang, tetapi ia memainkan peranan kepada dasar perluasan kuasa Khulafa ar-Rashidin. Puak Arab lebih rela untuk menyertai tentera Islam dan ketiadaan Kerajaan Lakhmid telah membuka kepada ancaman musuh ke atas Empayar Sasan.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Landau-Tasseron, Ella. "ḎŪ QĀR". ENCYCLOPÆDIA IRANICA. Dicapai pada 8 January 2012.

Sumber[sunting | sunting sumber]