Puisi melayu moden

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Antologi Maka Kitab Itu Pun Menyanyi merupakan contoh kumpulan puisi Melayu moden yang diterbitkan pada tahun 2019.

Puisi Melayu moden merupakan sebuah seni penulisan kontemporari yang mengarang kata dengan susunan yang indah untuk menyampaikan maksud-maksud tertentu. Puisi Melayu moden menyimpang dari puisi Melayu tradisional seperti pantun dan syair dari segi bentuk, susunan baris, rankap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Manakala dari segi isi, puisi melayu moden membicarakan is-isu semasa pada ketika ia ditulis, sama ada persoalan ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. [1] Puisi Melayu moden juga dikenali sebagai sajak yang merupakan perkataan yang berasal dari perkataan Arab saja' yang bermaksud persamaan bunyi.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah perkembangan puisi Melayu moden dibahagikan kepada dua iaitu sebelum merdeka dan selepas merdeka.[2]

Sejarah perkembangan sebelum merdeka[sunting | sunting sumber]

Perkembangan sebelum merdeka bermula dari tahun 1913 hingga tahun 1956. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Omar Mustaffa merupakan penulis puisi Melayu moden pertama dengan puisinya yang bertajuk "Angan-angan dengan Gurindam" yang disiarkan dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913. Selepas tersiarnya puisi ini yang membawa bentuk baharu dan moden, penulisan puisi Melayu moden seolah terhenti sehinggalah ia mula berkembang semula pada tahun 1930-an. Hal ini berdasarkan kemunculan puisi moden tulisan Harun Aminurrasyid yang diterbitkan dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Penulisan puisi Melayu moden yang menyimpang dari peraturan puisi Melayu tradisional kemudian dapat dilihat dengan penulisan puisi karya Pungguk yang diterbitkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Pungguk menulis lima buah puisi yang bertajuk "Keluh Kesah", "Selalu Merayu", "Tak Disangka-sangka", "Pujukan hati", dan "Ibuku". [1]

Pengkaji seperti Abd. Manaf bin Jaafar membawakan teori bahawa tahun 1933 sebagai tahun besar kemungkinan merupakan tahun permulaan puisi melayu moden. Pada ketika itu, Pungguk atau nama sebenarnya Muhammad Yassin bin Maamur dianggap sebagai pelopor kepada penulisan puisi Melayu moden. Puisi Pungguk mengungkapkan perasaan, fikiran, sikap, pengalaman serta khayalan beliau, selain itu puisi-puisi beliau turut bertemakan kemanusiaan dan penderitaan bangsa Melayu. Menurut Usman Awang dan Ismail Ahmad:

"Majalah yang mempelopori penyairan sajak Melayu baru ini ialah Majalah Guru dan, penyair yang dianggap mempelopori penulisan puisi moden ini ialah Pungguk. Ia bertindak sebagai penyambung di antara puisi lama dengan puisi baru. Ia tidak menolak bentuk lama. Ia sekadar menggunakan fungsi pembayang sebuah pantun dan dengan demikian Pungguklah yang merentangkan titian penyeberangan penulisan pantun ke tebing penulisan sajak". [3]

Gaya penulisan Pungguk mempunyai kedua-dua pengaruh, tradisional dan moden, hal ini menjadikan beliau sebagai pemisah atau transisi antara karya puisi tradisional dan Melayu moden. Puisi Pungguk masih memperlihatkan kesan pengaruh tradisional seperti pantun dan syair pada rima dan bentuk bahasanya. Namun struktur puisinya dengan rima hujung yang tidak lagi berbentuk pantun dan syair menjadikannya menonjol dengan unsur bebas dan moden.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]