Maka Kitab Itu Pun Menyanyi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Maka Kitab Itu Pun Menyanyi adalah judul sebuah buku antologi puisi Melayu moden yang ditulis oleh tiga orang penulis iaitu Mel Van Dyk, Syed Ahmad Fathi, dan Tulip Ungu.

Maka Kitab Itu Pun Menyanyi
Kulit Buku
Antologi puisi "Maka Kitab Itu Pun Menyanyi".
Umum
PengarangMel Van Dyk, Syed Ahmad Fathi, Bilal
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
GenreSastera
Penerbitan
Pelukis kulitSyarifah Amni Zaheerah
PenerbitIndependent Insight
Tarikh penerbitan
Disember 2019
Jenis media
Cetakan
Halaman89 (edisi pertama)
Kawalan kewibawaan
ISBNISBN 9789671631317

Tajuk[sunting | sunting sumber]

Tajuk antologi puisi ini diambil sempena salah sebuah puisi yang terkandung di dalam antologi puisi ini.[1] Perkataan "kitab" berasal dari Bahasa Arab yang membawa makna buku atau naskhah. Judul buku ini menggambarkan satu ekspresi atau simbolik dalam menjawab segala persoalan yang berkisar di dalam kehidupan harian penulis, lalu digabungkan dalam satu naskah.

Kandungan[sunting | sunting sumber]

Kandungan buku ini terbahagi kepada tiga bahagian yang memuatkan 61 buah puisi melayu moden. Setiap bahagian ditulis oleh seorang penulis dengan pandangan dan gaya penulisan yang berbeza. Bahagian pertama bertajuk Bidadari Patah Sayap yang memuatkan 24 buah puisi. Bahagian kedua bertajuk Menjerit Pada Ombak mengandungi 25 buah puisi. Bahagian terakhir bertajuk Jeritan Sunyi mengandungi 12 buah puisi.[1]

Gaya dan Tema Penulisan[sunting | sunting sumber]

Mel Van Dyk[sunting | sunting sumber]

Mel Van Dyk membawakan tema yang ringan dan mudah untuk difahami. Dalam prakata beliau, beliau mendedikasikan naskah tersebut buat sahabat beliau, Farizul Firdaus yang terkorban dalam satu kemalangan di Dungun, Terengganu.[2] [3] Gaya penulisannya mempunyai pengaruh kuat penulis-penulis puisi moden Malaysia dan Indonesia seperti Usman Awang dan Chairil Anwar. Beliau berpuisi kerana baginya puisi dirasakan sesuatu ekspresi yang unik dan indah, selain itu, baginya puisi mampu merapatkan keterbatasan manusia yang hidup di lokaliti dan masa yang berbeza.[4] Puisi-puisinya banyak berkisar tentang kehidupan dirinya dan kekeluargaan.

"Malam ini, izinkan aku tidur di pinggir mulutmu.

Supaya nanti bisa aku tanam pohon-pohon tawa yang rendang dan subur,

Lalu tumbuh membuahkan senyum di bibirmu." (Malam ini)

Syed Ahmad Fathi[sunting | sunting sumber]

Syed Ahmad Fathi lebih bereksperimentasi di dalam buku keduanya dengan menggabungkan elemen-elemen seperti sosiopolitik, ekonomi, dan kerohanian lalu disusun dalam bentuk puisi. Puisinya lebih berkisar tentang keadaan semasa yang menarik perhatiannya untuk ditulis bagi menonjolkan pandangan peribadinya.

Puisi pertama beliau dalam antologi ini bertajuk Perjuangan Reformasi Kroni ditulis tiga hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-14.[5] Ia merupakan suatu kritikan terhadap perjuangan reformasi yang dilihat sudah hilang arah dan menjanjikan perubahan palsu. Rangkap "Sudahlah kau mati ditembak dibunuh, Kuburmu dijadikan bahan jenaka dicemuh" merupakan kritikan beliau kepada Tun Dr. Mahathir yang mencela 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah di Memali pada tahun 1985. Mahathir pada ketika itu berkempen di Lembah Pantai pada 3 Mei 2018 mengatakan bahawa mangsa Memali 'mati katak', bukan mati syahid.[6]

Antara tema yang kelihatan ketara pada gaya penulisan Syed Ahmad Fathi adalah kepercayaan beliau pada prinsip dan kesetiaan pada idea. Sebagai contoh, beliau pernah menulis bahawa kekaguman seseorang pada mana-mana sosok tokoh, tidak boleh menjadikan alasan untuk membelakangi prinsip, perkara ini dapat dilihat dalam artikel yang beliau tulis bertajuk Setia Pada Idea Bukan Pesona.[7] Di dalam antologi ini, beliau membuat persamaan sifat setia pada idea ini dengan kejadian alam seperti ombak yang setia menghempas pantai, dimana beliau menulis "Bertapa ombak mengajar setia sebagai erti, Biar dicaci dijerit sekuat hati, Tidak putus asa tetap menghempas tanpa henti".[1]

Isu penjajahan Israel keatas tanah Palestin juga merupakan antara tema penulisan beliau yang dapat dilihat dalam antologi ini. Serangan Israel keatas Gaza pada tahun 2008-2009 menyaksikan 1398 rakyat Palestin termasuk 345 kanak-kanak dibunuh oleh penjajah Israel.[8] Serangan dan pembunuhan ini bermula pada 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009. Pada 7 Januari 2009, Syed Ahmad Fathi menerbitkan puisi beliau yang bertajuk Maafkan Aku Palestina sebagai solidariti buat penduduk Palestin yang ditindas dan dibunuh dengan kejam.[9] Dalam antologi ini, sebahagian dari puisi tersebut dimuatkan dalam puisinya yang ke-10.[1]

Tulip Ungu[sunting | sunting sumber]

Bilal atau lebih dikenali sebagai Tulip Ungu seolah-olah menceritakan pengalaman beliau ketika mengalami masalah depresi. Puisinya lebih berbentuk melankoli dan kerohanian. Antara puisi beliau dalam antologi ini adalah puisi yang bertajuk Di Bawah Cengkaman Risperdal. Risperdal merupakan sejenis ubat penenang yang biasanya diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah depresi agar mereka dapat berfikir dengan jelas.[10] Puisi-puisi beliau ditulis dengan harapan untuk melawan depresi dengan puisi.[11]

"Tetapi kini, hanya aku sendirian

Merintih didalam kesepian

Menangkis segala kesedihan

Sendiri tanpa kehadiran teman

Yang ada hanyalah topeng penipuan

Topeng penipuan yang sering menabur janji

Yang mana akhirnya jiwa ini diperjudi" (Coretan Memori)

Kulit Buku[sunting | sunting sumber]

Penghasilan kulit buku bagi antologi ini melalui beberapa eksperimen. Pada mulanya karya kulit dihasilkan menggunakan gambar bunga liar, kemudian corak batik Melayu juga dicuba. Selepas itu karya kulit cuba dihasilkan menggunakan bahan fotografi moden dan retro. Namun semua eksperimen ini gagal menghasilkan karya kulit yang unik dan berunsur peribadi. Akhirnya karya artis kecil, Syarifah Amni Zaheerah yang berumur empat tahun dipilih. Karya beliau merupakan lukisan abstrak yang dihasilkan menggunakan cat air.[12]

Gaya Bahasa[sunting | sunting sumber]

Gaya bahasa dianggap sebagai nadi yang menghidupkan sesebuah karya kesusasteraan yang menjadikannya indah dan istimewa. Secara umum gaya bahasa dikelompokkan kepada lima jenis, iaitu gaya bahasa perbandingan , pertentangan, pengulangan, pertautan, dan penyirnaan.[13]

Metafora[sunting | sunting sumber]

Metafora adalah pemakaian kata atau ungkapan yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat atau penggunaan kata-kata untuk menyatakan erti yang berbeza daripada yang sebenarnya. Seperti sebuah kiasan.[13] Di dalam antologi ini, terdapat pelbagai tempat dimana gaya bahasa metafora digunakan. Berikut adalah sebahagian dari contoh metafora dalam antologi ini.[1]

Dirinya itu ibarat sebingkai cermin mata (Bidadari)

Dalam contoh ini seorang wanita dikiaskan seperti sebingkai cermin mata, ini merupakan contoh gaya bahasa metafora dalam antologi puisi ini.

Personifikasi[sunting | sunting sumber]

Personifikasi merupakan penginsanan atau gaya bahasa yang memberi sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, haiwan, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak.[13] Berikut adalah sebahagian gaya bahasa personifikasi yang dijumpai di dalam antologi ini.[1]

Apabila mimpi digari (Berfikir Tentang Pemikiran)

Kabus bertiup dan bonzai pun menari (Diari Kabus di Puncak Kejauhan)

Biar ombak datang menyergah (Pelajaran Dari Laut)

Contoh-contoh ini merupakan gaya bahasa personifikasi yang terdapat dalam antologi ini. Dalam contoh pertama, mimpi digambarkan seperti seorang manusia yang boleh digari. Dalam contoh kedua, pokok bonzai ditulis sebagai menari, ia adalah bentuk personifikasi apabila pohon bergerak ditiup angin seolah-olah sedang menari seperti manusia. Manakala dalam contoh terakhir dari antologi ini, ombak dikatakan datang menyergah, sedangkan ombak bergerak datang dan pergi mengikut hukum alam, 'menyergah' adalah frasa personifikasi yang digunakan penulis.

Simile[sunting | sunting sumber]

Simile berasal dari perkataan Latin yang bermaksud seperti.[14] Simile adalah perumpamaan yang diungkapkan dengan jelas menggunakan perkataan seperti "bak", "laksana", "umpama", "penaka", "bagai", dan "serupa".[13]

Seolah-olah cuba menjadi tuhan (Maafkan dia)


Kadang hidup terasa sesak, ibarat pasu seribu retak (Berbisik Pada Awan)

Rangkap-rangkap puisi di atas ini merupakan contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam antologi ini.[1] Perumpamaan digunakan dengan perkataan yang jelas dan eksplisit seperti "seolah-olah" dan "ibarat".

Imejan[sunting | sunting sumber]

Imejan adalah salah satu gaya bahasa perbandingan. Imejan bermaksud cerminan atau gambaran tentang sesuatu yang dapat dikesan melalui pancaindera ataupun puisi yang memiliki banyak perkataan yang membayangkan objek atau perlakuan yang berbentuk lambang, simbol untuk menjelaskan emosi, keadaan, dan perasaan penyair.[13] Contoh gaya penulisan ini dapat dilihat dalam puisi Cermin tua tulisan Mel Van Dyk.[1]

"Kau masih belum tidur-tidur lagi?

Nanti rosak tubuhmu dimamah malam"

Suara ibu masuk lewat pintu yang curang. (Cermin tua)


Rujukan[sunting | sunting sumber]