Pusat Amaran Tsunami Pasifik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tanda amaran tsunami
Diagram sistem DART II

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (bahasa Inggeris: Pacific Tsunami Warning Center PTWC) ialah salah satu daripada dua buah pusat amaran tsunami yang dikendalikan oleh NOAA di Amerika Syarikat. PTWC yang berpusat di Ewa Beach, Hawaii ini menganggotai sebuah sistem amaran tsunami antarabangsa dan berfungsi sebagai pusat operasi sistem tersebut dengan mengeluarkan buletin dan amaran kepada anggota-anggota sistem yang lain serta negara-negara lain dalam bidang kuasanya di Lautan Pasifik. Ia juga merupakan pusat amaran setempat untuk Negeri Hawaii. Satu lagi pusat amaran tsunami NOAA ialah Pusat Amaran Tsunami Pantai Barat dan Alaska (WCATWC) di Palmer, Alaska yang berkhidmat kepada seluruh kawasan pantai Kanada dan Amerika Syarikat kecuali Hawaii.

PTWC ditubuhkan pada tahun 1949, ekoran gempa bumi Pulau Aleut 1946 dan tsunami yang meragut 165 nyawa orang di Hawaii dan Alaska. Selepas gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004, PTWC diberi kuasa untuk mengeluarkan amaran kepada Lautan Hindi, Karibia dan kawasan-kawasan berdekatan sehingga rantau-rantau lain itu dilengkapi sistem amaran tersendiri. Sistem-sistem setempat ini akan membentuk satu sistem amaran tsunami sejagat selepas semunya beroperasi.

PTWC menggunakan data seismik sebagai titik permulaan, tetapi kemudian mengambil kira data oseanografi ketika menghitung kemungkinan ancaman. Tolok pasang surut di kawasan gempa bumi diperiksa untuk menentukan sama ada terbentuknya tsunami atau tidak. Kemudian, pusat itu meramal masa akan datang tsunami, dan menghantar amaran kepada kawasan yang terdedah di seluruh lembangan Pasifik jika perlu. Tiada sesekali terjadinya penggera palsu; jika PTWC mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan tertentu, ertinya tsunami itu sudah dalam perjalanan dan pasti akan melanda.