Realiti Demokrasi Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bangunan Parlimen Malaysia

Demokrasi Islam merupakan sebuah konsep di mana prinsip-prinsip Islam digabungkan bersama prinsip-prinsip demokrasi moden. Konsep ini mencangkupi kebebasan berpendapat, berkegiatan, hak asasi manusia dan melibatkan keahlian publik dalam proses pemilihan dan pengambilan keputusan. Demokrasi islam juga menekankan aspek kepimpinan yang adil, ketelusan, akauntabaliti dalam pemerintahan. Namun implementasi demokrasi Islam masih diperdebatkan di kalangan ahli akademik dan pengamal politik.[1]

Dalam konteks demokrasi moden di barat, sistem ini menjadi kemuncak kebebasan pemerintahan sebagai pemacu politik yang diagungkan masyarakat dan pimpinan mereka. Peluang diberikan samarata kepada setiap ahli komuniti untuk menyuarakan pandangan dalam pemerintahan negara melalui undian. Hak diberikan tanpa melihat status sosial mahupun taraf kehidupan. Mekanisme ini akhirnya diterima pakai oleh hampir keseluruhan negara dunia sebagai satu bentuk aplikasi pemerintahan dan pentadbiran termasuk beberapa dunia Islam.[2]

Demokrasi diterima pakai dalam komuniti Islam sebagai sebuah sistem pentadbiran atas ketersamaan elemen-elemen seperti keadilan al-Adalah, kebertanggungjawaban Masuliyyah, perbincangan Syura, kebebasan Hurriyyah, samarata Musawah dan ketelusan Amanah. Meskipun terdapat perbezaan pada kedua-dua konsep ini, namun kemungkinan adanya ruang adaptasi dan interpretasi dapat dihubungkan dalam konteks sosial dan budaya yang bersesuaian dengan suasana masyarakat dan kawasan pengaplikasian.

Demokrasi di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlambagaan dinaungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara monarki konstitusi yang berdaulat. Walaupun ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong namun tetap saja kekuasaan eksekutif dijalankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku ketua Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU) berteraskan prinsip demokrasi.

Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam Negara yang menggubal undang-undang. Sistem demokrasi malaysia boleh difahami dengan pecahan sistem dwidewan yang terdiri dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai badan legistatif. Dewan Rakyat terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang diangkat melalui suara masyarakat dengan pelaksanaan pilihan raya umum. Sedangkan ahli Dewan Negara terdiri dari senator-senator yang di perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat dan saranan Perdana Menteri dan ketua Dewan Negara. Persidangan Dewan Rakyat telah dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.

Pilihan Raya Umum Malaysia (PRU) diadakan secara berkala bagi memilih wakil rakyat atau ahli parlimen (MP) mengikut kawasan tertentu yang dikelola sebuah badan bebas iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Warga negara Malaysia yang memenuhi syarat berhak memberikan suara menerusi undian dalam pemilihan tersebut. Malaysia mengiktiraf hak asasi manusia sebagai satu perkara penting dalam sistem demokrasi. Dalam amalan, terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan yang melindungi hak-hak asasi individu bagi membolehkan mereka mengekspresi kecenderungan terhadap parti politik tertentu.

Suasana politik di Malaysia terdiri daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi dan pembawakan. Namun kesemua gerakan politik ini perlu menjadikan asas perjuangan yang berpaksikan dua prinsip kenegaraan iaitu Rukun Negara dan Kontrak Sosial. Parti seperti United Malay National Organization (UMNO), Parti Islam se-Malaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain merupakan antara parti besar dan aktif berpartisipasi dalam arena politik di Malaysia. Parti-parti ini bersaing untuk memenangkan kerusi di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan dengan sekurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan seluruh Malaysia. Parti yang pelabagai ini lazimnya membentuk gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum. Gabungan seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan dua gabungan terbesar yang mewarnai arena politik negara 2023.

Demokrasi Dunia Islam[sunting | sunting sumber]

Politik merupakan salah satu komponen penting dalam Islam. Islam meletakkan garis panduan bahkan etika yang bersifat komprehensif dan menyeluruh syumul bagi pengamalannya. Politik atau siyasah berdasarkan Islam bermaksud "Urus tadbir urusan manusia secara umum dalam rangka membawa maslahat dan menolak kerosakan pada urusan kehidupan".[3]

Dalam gerakan Islam terdapat golongan yang menerima sistem demokrasi, menolak sekerasnya dan ada yang bersifat neutral terhadapnya. Golongan yang bersetuju mengatakan bahawa demokrasi ketika ini perlu diperjuangkan dalam gerakan Islam kerana ia merupakan satu-satunya saluran untuk menjatuhkan pemimpin diktator yang menguasai kepimpinan negara dengan cara menarik undi daripada pimpinan tersebut dalam pilihan raya. Bahkan menurut Muhammad Hussein (1856-1936) diktator terbahagi kepada dua iaitu diktator politik dan diktator agama. Menurutnya lagi di dalam artikel Tanbih al-Ummah wa Tanzih al-Millah diktator agama lebih berbahaya berbanding diktator politik.

Kumpulan Islam kedua yang menolak secara total sistem demokrasi beranggapan bahawa sistem ini bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam. Gerakan seperti Hizbu at-Tahrir al-Islami mengatakan bahawa demokrasi tidak selari dengan akidah Islam bahkan bertentangan dengannya. Said Kazim al-Hai'ri pula mendakwa bahawa demokrasi hanyalah warisan dan legasi penjajah barat yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tradisi dan warisan Islam.

Kumpulan ketiga pula, dalam mencari titik persamaan dan tidak menjadikan istilah demokrasi sebagai satu perbalahan dalam gerakan politik Islam membahagikan perbahasan istilah demokrasi kepada dua sudut pandang. Pertama demokrasi difahami sebagai alat untuk berpolitik dan inilah maksud yang dikehendaki, manakala yang kedua demokrasi dianggap sebagai satu bentuk pegangan. Antara tokoh yang mempelopori pegangan ini semisal Yusuf al-Qaradawi, Hasan al-Turabi, Taufiq al-Shawi, Rasyid al-Ghannoushi. Pembawakan demokrasi Islam ini memberi fokus kepada konsep-konsep seperti permuafakatan, maslahah, syura, bai'ah dan ijtihad bagi membuktikan bahawa Islam tidak menghalang perkembangan sistem politik namun sentiasa bersifat anjal serta memberi panduan dan landasan berdasarkan nasihat wahyu bagi mengadaptasi demokrasi.[4]

Pengaplikasian Demokrasi Islam[sunting | sunting sumber]

Kebangkitan secara dinamik gerakan politik Islam dalam sistem demokrasi seluruh dunia memperlihatkan kematangan gerakan-gerakan ini memperjuangkan parti politik berteraskan Islam. 1980an merupakan era kemajuan gerakan moden ini sehingga mendapat perhatian media-media dunia. Pemimpin parti Islam seperti parti Refah di Turki, Parti Ennahda di Tunisia, Al-Adl Wa Al-Ihsan di Morocco, Hamas di Palestin, PAS di Malaysia berulang kali menyatakan kepercayaan mereka terhadap tatacara penyelarasan sistem demokrasi dan pelan gerakan demokratik meliputi kebebasan individu dan kumpulan, penyertaan parti yang bebas dan tukar ganti pihak berkuasa melalui pilihanraya yang jujur. Penglibatan mereka merupakan satu pilihan jangka panjang dalam rangka menjadikan demokrasi sebagai satu wadah memartabtkan perjuangan yang dibawa.

Prinsip-prinsip ketersamaan demokrasi dan Islam:

Musyawwarah, prinsip ini menekankan proses perbincangan secara kolektif dan kesepakatan bersama. Prinsip ini jugak menidakkan pemusatan kuasa dan autokratik dalam pengambilan keputusan dan pembinaan dasar.

al-Adalah, prinsip keadilan yang dijamin terhadap pengurusan tata kelola pentadbiran, ketelusan dalam pemilihan, pelaksanaan dasar yang tidak bersifat personal dan mendatangkan kepentingan peribadi.

al-Amanah, menjadikan sifat inklusif dalam menjaga kerahsiaan terhadap urusan-urusan sulit. Selepas berlakunya musyawaarah, maka etika kerahsiaan menjadi komponen penting dan utama bagi menggangkat demokrasi menurut perspektif Islam.

al-Masuliyyah, sikap kebertanggungjawaban dalam menjaga kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi. Amanah yang diberikan untuk mentadbir dan mengurus masyarakat dilaksanakan dengan telus, wibawa dan kredibiliti.

al-Hurriyyah, komponen terpenting yang menyebabakan penerimaan terbuka terhadap prinsip demokrasi Islam ini adalah kebebasan bersuara dan berpendapat. Hal ini selari dengan penjagaan hak asasi manusia yang diperjuangkan masyarakat dunia. Oleh itu, prinsip ini sering menjadi asas kepada gerakan-gerakan Islam bagi menjamin kelangsungan dan penerimaan kepada mereka.[5]

Kesimpulan[sunting | sunting sumber]

Dalam konteks negara Malaysia, gerakan politik Islam boleh dianggap sebagai satu pengimbang dalam mengawal autoritariannisme terhadap demokrasi yang dijalankan pemerintahan ketika ini. Penerimaan mahupun penolakkan terhadap gerakan ini menjadi amalan biasa terhadapnya, namun prinsip-prinsip yang dijulang perlu menjadi batu asas dalam pelaksanaan dan tindakan terhadap demokrasi.

Apapun kaedah dan konsep yang diketengahkan, akhirnya kepada rakyat juga mandat dipulangkan. Keberkesanan pelaksanaan konsep demokrasi Islam terletak kepada tuntutan rakyat untuk menuntut demokrasi yang lebih telus. Sekiranya mereka mendapatkan kebaikan, penerimaan masyarakat majmuk akan menunjukkan peningkatan, jika tidak penolakkan akan berlaku. Akhir sekali, demokrasi yang telus dilahirkan menerusi pemimpin yang baik dan rakyat yang demokratik. Rakyat yang baik lahir dari pemimpin yang baik, kerana pemimpin merupakan cerminan aspirasi rakyat.

  1. ^ Azzam, Tamimi (2001). "Gerakan Islam dalam era demokrasi". dalam Harakah: 1–15.
  2. ^ A. Aziz, Shamrahayu (2 September, 2015). "Kesamaan Elemen Demokrasi Dalam Islam". Berita Harian. Check date values in: |date= (bantuan)
  3. ^ Abd al- Jabbar, Muhammad (1999). al-Dimaqratiyyah bayn al-Ilmaniyyah wa al-Islam. Beirut: Dar al-Fikr,. line feed character in |title= at position 18 (bantuan)CS1 maint: extra punctuation (link)
  4. ^ Ghazali, Mohd Rumaizuddin (2017). "Pengamalan Demokrasi Di Dunia Islam Menurut Perspektif Islam". Al-Abqari. Vol 10: 17–34. |volume= has extra text (bantuan)
  5. ^ El-Muhammady, Uthman (2007). Islam Dan Demokrasi. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.