Shere Khan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Mowgli menyerang Shere Khan (kanan) dengan ranting berapi sambil diperhati oleh Bagheera; lukisan timbulan bes oleh John Lockwood Kipling, bapa Rudyard, The Works of Rudyard Kipling Vol. VII: The Jungle Book, 1907.

Shere Khan ialah watak harimau dalam hutan rimba India, mendapat namanya sempena seorang Putera Pashtun (Sher Shah Suri) yang ditemui oleh Rudyard Kipling ketika melawat Afghanistan. Shere Khan ialah watak jahat utama dalam dua buah cerpen dalam koleksi Jungle Book yang juga menampilkan watak utama Mowgli, musuh ketat Shere Khan.

Cerita Jungle Book asli[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun berkaki lumpuh dan diejek dengan jolokan Lungri[1] (Si Pincang) oleh ibunya sendiri, Shere Khan tetap angkuh dan mengaku dirinya sebagai raja rimba yang sebetulnya. Nampaknya, satu-satunya haiwan yang memandang tingginya ialah Tabaqui, seekor golden jackal yang hina dan pengecut.

Dalam cerita "Mowgli's Brothers", kegiatan Shere Khan memburu manusia menyebabkan seorang anak manusia terkalih dari ibu bapanya. Apabila Shere Khan berpeluang mengejarnya, mujurlah bayi itu diselamatkan lalu diterima sebagai anak oleh sepasang serigala, lalu diberi nama Mowgli. Mowgli diterima ke dalam kawanan serigala pimpinan Akela dengan perlindungan dari Bagheera dan Baloo. Kecewa kerana terlepas buruannya, Shere Khan bersumpah suatu hari anak manusia itu tumpas di tangannya jua.

Sepuluh tahun kemudian, ketika Mowgli semakin meningkat remaja, Shere Khan menyeludup masuk ke dalam kawanan serigala, dengan menjanjikan ganjaran lumayan kepada serigala muda sebaik Akela digulingkan. Rancangannya berjaya jua apabila serigala-serigala muda memanggil Akela untuk bermesyuarat lalu mengusirnya.

Pada mesyuarat itu juga, Shere Khan mengugut untuk mengambil alih wilayah pemburuan para serigala jika Mowgli tidak diserahkan. Mujurnya, Mowgli menyerang dan menghalau Shere Khan dan sekutu-sekutunya dengan dahan berapi. Akela meninggalkan kawanannya untuk berburu sendirian. Mowgli kembali ke perkampungan manusia, tetapi berazam untuk pulang dengan kulit Shere Khan suatu hari kelak.

Dalam cerita "Tiger! Tiger!" Mowgli dibesarkan oleh Messua dan suaminya dan mempelajari kehidupan manusia. Dia juga menyedari para penduduk kampung juga mengenali seekor harimau cacat yang dianggap oleh mereka sebagai amat bernilai, tetapi dipercayai cacat kerana merupakan kelahiran semula seorang lintah darat yang dilumpuhkan akibat perbalahan. Setelah ditertawakan oleh Mowgli akan cerita-cerita harimau itu, para penduduk kampung menyuruhnya menggembala kerbau agar menjauhkannya dari kesusahan.

Shere Khan menemui ajalnya, seperti yang digambarkan pada ms. 145, edisi 1895 The Two Jungle Books oleh Rudyard Kipling

Ketika menggembala, Mowgli berjumpa lagi dengan seorang rakan serigalanya, Grey Brother, lalu diberitahunya bahawa Shere Khan masih berancang untuk membahamnya. Grey Brother memaksa Tabaqui mendedahkan tempat dan masa Shere Khan hendak menyerang, lalu membunuh jackal tersebut. Dengan bantuan Akela, Grey Brother dan Mowgli memerangkap Shere Khan dalam sebatang ngarai yang sempit lalu memasukkan serempuh kerbau untuk menginjak-injak harimau itu sampai mati.

Mowgli akhirnya menunaikan janjinya dengan mengulit Shere Khan, tetapi disampuk oleh penghulu kampung, Buldeo yang hendak mengambil kulit harimau itu sebagai ganjaran. Mowgli memanggil Akela untuk mengepit Buldeo ketika Mowgli menyiapkan pengulitan Shere Khan.

Mowgli menyangka segalanya sudah berakhir, memandangkan pertelingkahan dalam hutan sudah beransur pulih, tetapi sekembalinya ke kampung bersama kerbau-kerbaunya, dia dihalau oleh para penduduk kampung kerana dituduh memiliki kuasa sihir. Kemudian pada malam hari, Mowgli meletakkan kulit Shere Khan pada sebuah batu di tempat persidangan kawanan serigala, lalu menari di keliling kulit itu sambil menyanyikan perasaan marah dan keliru.

Maka berakhirnya kisah riwayat Shere Khan, namun kesan tindakan Mowgli menumpaskannya masih menghantui Mowgli dan ibu bapa angkatnya di kampung. Dalam cerita "Letting In the Jungle" dalam The Second Jungle Book, Mowgli mendapat khabar para penduduk kampung hendak membakar Messua dan suaminya hidup-hidup kerana menjaga budak sihir, lalu bertindak untuk menyelamatkan mereka berdua sambil membalas dendam terhadap Buldeo dan penduduk kampung yang lain.

Shere Khan juga muncul dalam cerita "How Fear Came" yang berlatarkan antara separuh pertama dan kedua ceirta "Mowgli's Brothers," dan seketika selepas "Kaa's Hunting". Dalam cerita ini, harimau durjana ini minum di tepi sungai sebaik sahaja membunuh seorang manusia semata-mata untuk beriadah, lalu disampuk oleh Hathi si gajah yang menceritakan mengapa di kalangan semua haiwan di rimba, harimau sahaja dibenarkan memburu manusia untuk bersuka pada masa-masa tertentu.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Dalam bahasa Hindi, lungri ialah kata sifat feminin, yang jantannya berbunyi lungra, लंगड़ा. Rujuk http://www.shabdkosh.com/en2hi/search.php?e=lame&f=0 atau http://www.shabdkosh.com/en2hi/search.php?ts=1221775873709&e=%E0%A4%B2%E0%A4%82%E0%A4%97%E0%A5%9C%E0%A4%BE
  2. "Kipling's Boy's" in Roger Sale, Fairy Tales and After: from Snow White to E.B. White" Harvard Univ. Press, 1978. ISBN 0-674-29157-3