Sunway Lagoon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Taman tema air Sunway Lagoon

Sunway Lagoon ialah sebuah taman hiburan di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, Malaysia yang dibuka pada 29 April 1993. Sunway Lagoon terletak berjiran dengan pusat beli-belah Sunway Pyramid di utara, tempat penginapan Indah Villa di barat laut dan Sunway Hotel di timur laut. Pada mulanya, ia terdiri daripada taman air, taman ria dan taman haiwan, tetapi kemudian ditambah pula dengan taman seram dan taman aksi lasak.

Sunway Lagoon boleh dimasuki melalui laluan dari Sunway Pyramid atau Sunway Hotel. Pengunjung boleh membayar yuran asas untuk memasuki taman air, taman ria dan taman haiwan sahaja, atau yuran istimewa yang lebih mahal untuk ke dua taman lain iaitu Extreme Park dan Scream Park. Selepas membeli tiket, para pengunjung diberikan gelang tangan sebagai petanda kebenaran masuk.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Sunway Lagoon di Malaysia

Tarikan[sunting | sunting sumber]

Taman air[sunting | sunting sumber]

Taman air Sunway Lagoon (Water Park) terdiri daripada dua bahagian utama, iaitu Waters of Africa di kawasan utara dan Surf Beach di kawasan tengah. Waters of Africa bercirikan tiga jenis gelongsor air dalam kawasan bermotif Afrika, iaitu "Congo Challenge" (gelongsor lumba berlorong enam), "Cameroon Climb" (dua gelongsor ulang-alik), African Pythons (tiga batang tiub berliku), ketiga-tiganya dinaiki dari cenuram buatan di bahagian barat laut taman.

Selain itu, kawasan "Rain Fortress" dan "Kalahari Kids" yang dibuka pada tahun 2005, merupakan tempat bermain air khas untuk kanak-kanak yang terletak di timur kawasan tiga gelongsor air tersebut, tidak lupa juga kolam renang "Lake Kariba" yang terletak di bahagian timur laut taman, berhampiran tangga keluar masuk dari celah Sunway Hotel.

Di tengah-tengah taman air terletaknya "Surf Beach" (dahulunya "Jeffrey's Bay"), sebuah kawasan pantai buatan atas tasik yang dikhususkan untuk kegiatan luncur air dalam sempadan tertentu. Ombak buatan dihasilkan dari sebuah penjana gergasi dari latar gunung berapi buatan. Surf Beach dihebohkan sebagai "Pantai Luncur Air Tertutup Terbesar di Dunia" yang juga mempunyai "Penjana Ombak Terbesar di Dunia"[1] Kegiatan luncur air terhad kepada kawasan berjubin biru muda yang ditutupi oleh dua batang jambatan konkrit yang menyambung kawasan daratan dengan gunung berapi; kawasan tasik yang selebihnya adalah kawasan larangan berenang. Selain meluncur air, tempat ini juga sesuai untuk berenang atau bermain air (di tepi pantai sahaja), ataupun mengadakan acara hiburan.

Yang terbaru, rasai keseronokkan yang tidak terhingga dengan mencuba dua permainan baru iaitu Vuvuzela ( Gelongsor air terbesar di dunia)dan Waterplex D pertama seumpamanya di dunia.

Taman ria[sunting | sunting sumber]

Kawasan taman ria tertumpu di bahagian barat laut Sunway Lagoon, dan terbahagi kepada Wild Wild West dan World of Adventure.

Wild Wild West bermotif zaman kegemilangan Amerika Syarikat selatan abad ke-19, menampilkan tunggangan kering seperti "Buffalo Bill Coaster", "Chief Crazy Horse Carousel" dan "Butch Cassidy's Trail", ditambah lagi dengan tunggangan berair iaitu "Niagara Falls Flume Ride", "Colorado Splash", dan "Grand Canyon River Rapids".

World of Adventure pula hanya terdiri daripada tunggangan kering, seperti roda ferris "Wagon Wheel", roller-coaster "Lost City of Gold", karusel "Apache Pots" dan dua buah buaian gergasi 360 darjah "Tomahawk" dan "Pirate's Revenge", tidak lupa juga kawasan pameran "The Cave" yang terletaknya kawasan simpanan harimau iaitu "Tiger Adventure". Di situ juga adanya satu hujung jambatan gantung berukuran 428 meter (1,404 ka)[2] yang menyeberangi seluruh tasik dari World of Adventure, melalui gunung berapi Surf Beach hingga kawasan Extreme Park di bahagian tenggara Sunway Lagoon.

Taman haiwan[sunting | sunting sumber]

Di sepanjang tepi barat Sunway Lagoon ada sebuah taman haiwan mini (Wildlife Park) yang menempatkan pelbagai spesies burung dan mergastua untuk tatapan pengunjung. Taman haiwan ini boleh dimasuki dari kawasan barat laut dan berhujung di sebuah ampliteater di barat daya yang digunakan untuk pertunjukan haiwan atau acara hiburan pop.

Extreme Park[sunting | sunting sumber]

Diperkenalkan pada tahun 2008, Extreme Park terletak di bahagian tenggara Sunway Lagoon, dilengkapi dengan kemudahan ATV, litar lumba go-kart, lapangan Paintball, "Wall Climb", "Flying Fox" dan "Power Jump Bungee Trampoline". Tunggangan bersantai juga disediakan dalam bentuk kayak, perahu atau "Swan Ride" di tasik.

Scream Park[sunting | sunting sumber]

Juga dibuka pada tahun 2008, Scream Park merupakan kawasan bertema seram yang menapilkan pawagam "Pontianak Theater of Fear" yang khusus untuk wayang seram dalam bentuk 3D, serta pagar sesat "Terminator X: A Laser Battle for Salvation" yang diilhamkan oleh siri filem Terminator.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]