Tanaman berbilang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tanaman berbilang merujuk kepada kegiatan pertanian yang mengamalkan penanaman beberapa jenis tanaman di sesebuah kawasan pada masa yang sama. Ia merupakan salah satu jenis kegiatan polikultur. Tergolong di dalam kegiatan ini termasuklah penanaman dwimusim, yang dilakukan serta-merta selepas tanaman sebelumnya dituai, dan penanaman geganti, yang dilakukan pada penghujung tempoh penanaman sebelumnya dan beberapa ketika sebelum penuaian dilakukan. Di samping itu, penanaman selingan turut tergolong dalam kegiatan tanaman berbilang ini. Ia dilakukan dengan menanam tumbuhan di ruang-ruang kosong di antara tanaman utama. Kegiatan yang berkaitan dengannya pula ialah penanaman berpasangan, yang biasanya dilakukan di taman bunga-bungaan atau kebun sayur-sayuran. Satu contoh penanaman berbilang ialah penanaman tomato, bawang dan bunga marigold. Bunga ini telah dibuktikan sebagai ajen pencegah serangga perosak tomato.

Kegiatan tanaman berbilang ini boleh ditemui di pelbagai tradisi bercucuk-tanam di seluruh dunia. Di Garthwal Himalaya, India, satu amalan yang dikenali sebagai baranaja melibatkan penanaman 12 atau lebih tumbuhan di dalam satu kawasan seperti kacang, sekoi serta bijirin dan kemudiannya menuai di waktu yang berbeza-beza.

Kegiatan penanaman padi juga diamalkan sebegini ini. Dua jenis padi selalunya ditanam pada dua musim yang berbeza. Kegiatan ini memerlukan sistem pengairan yang baik. Satu jenis padi, biasanya yang amat memerlukan air, ditanam pada musim hujan, manakala padi jenis yang kurang memerlukan air pula ditanam pada musim kemarau. Ketika inilah sistem pengairan memainkan peranannya bagi kesuburan padi. Amalan ini menyaksikan kejayaan Revolusi Pertanian di Asia terutamanya dengan penemuan padi jenis hasil tinggi. Padi jenis ini memerlukan tempoh penanaman yang singkat sekitar 100 hari berbanding jenis biasa yang memerlukan 150 hingga 180 hari untuk tumbuh. Kegiatan tanaman berbilang sebegini adalah amat popular di negara-negara Asia.


Wiki letter w.svg

 Rencana ini merupakan rencana tunas. Anda boleh membantu Wikipedia dengan mengembangkannya.