Tariqat Ghazaliyyah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tariqah al-Ghazaliyyah ini diasaskan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali (1058-1111) iaitu Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali dalam uzlahnya selama lebih kurang 10 ke 11 tahun[1]. Kemudian kepimpinan utama tariqat ini diteruskan oleh adiknya iaitu Imam Ahmad Al-Ghazali yang dikenali juga sebagai Mujiduddin Abul Futuh Ahmad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali (1061-1123/1026).

Mengenal Tariqat Al-Ghazaliyyah

 Sebelum dan pada zaman Imam Al-Ghazali dan adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali, perkataan “tariqat” membawa erti jalan, cara, atau kaedah dan bukannya organisasi atau berstruktur. Ringkasnya tariqat ialah jalan untuk mencapai maqam muhsin. Beberapa lama selepas zaman mereka barulah muncul tariqat-tariqat dalam bentuk organisasi. Maka muncullah nama pelbagai tariqat sebagaimana yang kita kenali sampailah ke hari ini. 

Oleh umumnya itu ada 3 jenis tariqat iaitu :

1. Tariqat yang membawa maksud jalan/kaedah/cara/manhaj/method.

2. Tariqat yang bersifat jalan dan organisasi sekaligus.

3. Dan ada pula tariqat yang lebih bersifat organisasi. 

(*Prof. Dr. H. Aboebakar Aceh dalam bukunya Pengantar Ilmu Hakikat & Ma’rifat menulis : “Perkataan tariq ini rupanya menarik perhatian orang sufi lalu dijadikan suatu istilah dengan pengertian-pengertian tertentu. Dengan demikian perkataan tariq atau tariqah itu menurut L. Massignon mempunyai dua pengertian dalam dunia sufi. Pertama, dalam abad ke IX dan ke X Masehi bererti cara pendidikan akhlak dan jiwa bagi mereka yang berminat menempuh hidup sufi. Kedua, sesudah abad ke XI Masehi, tariqah itu mempunyai pengertian suatu gerakan yang lengkap untuk memberikan latihan-latihan rohani dan jasmani dalam segolongan orang-orang Islam menurut ajaran-ajaran dan keyakinan-keyakinan tertentu.)[2]

Tariqat Ghazaliyyah bersifat jalan/kaedah/cara, dan masih dikekalkan sifatnya sehinggalah ke hari ini. Dinamakan Tariqat Ghazaliyyah bukanlah kerana ia satu organisasi, tetapi sekadar untuk menandakan bahawa ia adalah jalan untuk mencapai maqam muhsin yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali. Tariqat Ghazaliyyah pernah cuba diorganisasikan sebagaimana tariqat-tariqat lain, antaranya oleh Abdul Qahir Abu Najib as-Suhrawardi dan Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi, tetapi tidak mendapat sambutan daripada ikhwan tariqat ini sendiri. Oleh itu, Tariqat Ghazaliyyah lebih selesa sebagaimana manhaj asalnya sehinggalah ke hari ini. 

Dari satu sudut, pegangan sebegini membuatkan nama Tariqat Ghazaliyyah tenggelam berbanding nama tariqat-tariqat lain. Sangat kurang nama syeikh-syeikh Tariqat Ghazaliyyah yang dikenali ramai kecuali di peringkat awal sahaja seperti Ahmad Al-Ghazali,‘Ainul Qudhat, Ibnu Tumart dan Abdul Qahir Abu Najib as-Suhrawardi. Selepas itu umumnya tidak ada lagi nama syeikh-syeikh Tariqat Ghazaliyyah yang masyhur, lebih-lebih lagi kerana mereka memang menolak daripada menjadi masyhur dan Tariqat Ghazaliyyah bukanlah hadir dalam bentuk organisasi, maka nama-nama pimpinannya tidaklah selalu disebut-sebut. 

Sememangnya Tariqat Ghazaliyyah dan ikhwannya sangat “low-profile”. Selepas Imam Al-Ghazali dan Imam Ahmad Al-Ghazali, mungkin tidak ada sesiapa pun yang menggunakan gelaran imam. Bahkan gelaran syeikh, maulana atau seumpamanya pun tidak dipakai. Sebab itu kita biasa menyebut nama tokoh-tokohnya dengan nama sahaja seperti Ibnu Tumart, ‘Ainul Qudhat, Abdul Qahir Abu Najib dan lain-lain. Cuma orang belakangan ini yang menulis gelaran syeikh dan lain-lain sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap mereka. Hal ini bukanlah satu kesalahan, cuma ia bukanlah kebiasaan dalam Tariqat Ghazaliyyah. 

Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah juga memang tidak menisbahkan nama mereka kepada tariqat ini. Contohnya, kita tidak akan terjumpa ikhwan yang namanya Abu Bakar al-Ghazali, Yahya Gilbert Al-Ghazali, Abdullah Wong Al-Ghazali, Husain Yamata Al-Ghazaliyyah, Abu Zulfiqar Al-Ghazaliyyah atau sebagainya. Yang biasa kita jumpa contohnya Abu Bakar an-Naqsyabandi (Tariqat Naqshabandiyyah), Yahya Gilbert Asy-Syazili (Tariqat Syaziliyyah), Abdullah Wong Al-Qadiri (Tariqat Qadiriyyah), Abdur Rahman AS-Suhrawardi (Tariqat Suhrawardiyyah), Abdullah Tahir al-Khalidi dan sebagainya. Sekiranya ada terjumpa ikhwan yang melakukannya, hal itu tidaklah menjadi satu kesalahan cuma ia bukanlah budaya dalam Tariqat Ghazaliyyah.   

Hanya Imam Muhammad Al-Ghazali dan adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali yang bergelar imam dan menyandarkan nama mereka kepada Al-Ghazali. Gelaran itu pun bukan kerana mereka menisbahkannya kepada Tariqat Al-Ghazaliyyah tetapi salah satu sebabnya adalah kerana mereka berasal dari Ghazalah di Tus, Khurasan. Terdapat juga sebab-sebab lain menurut para pengkaji. Wallahua’lam. 

Oleh sebab itu sangat sukar untuk kita mengesan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah ini di Nusantara. Sudahlah mereka tidak menisbahkan diri mereka kepada tariqat ini, umumnya mereka tidak berorganisasi (memakai tariqat ini untuk diri sendiri atau dalam kumpulan kecil sahaja), bersikap sangat ‘low-profile’,  dan sebahagiannya pejuang-pejuang menentang penjajah (yang membuatkan mereka terpaksa merahsiakan diri atas sebab-sebab tertentu). Ada juga orang-orang dahulukala yang mengambil Tariqat Ghazaliyyah dan tariqat lain (mereka ada lebih daripada satu tariqat), tetapi mereka nisbahkan diri mereka kepada tariqat lain itu. 

Kalau kita perhatikan sejarah Nusantara, ramai juga tokoh ulama yang kita tidak tahu apakah tariqat yang mereka lalui kerana tidak pernah dinyatakannya. Apabila orang-orang kemudian membuat kajian terhadap tokoh-tokoh ini, mereka pun membuat agak-agakan bahawa tokoh ini bertariqat sekian-sekian. Sebenarnya sebahagian daripada mereka itu bertariqat Ghazaliyyah. 

Perlu difahami juga tentang maksud “tariqat al-Ghazaliyyah” yang terdiri daripada beberapa jenis :

1. Tariqat atau jalan Imam Al-Ghazali dalam agama dan kehidupannya. Tariqat jenis ini hanyalah untuk Imam Al-Ghazali dan sangat sukar dihampir oleh orang lain. Yang agak hampir dengan tariqat jenis ini antaranya ialah Imam Ahmad Al-Ghazali dan kemudiannya mungkin Syeikh ‘Ain al-Qudhat. Orang yang hendak berusaha mengikuti tariqat ini hendaklah berusaha menguasai ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Imam Al-Ghazali dan pandangan-pandangannya.  Hendak menguasai satu cabang sahaja daripada ilmu-ilmunya pun sudah sangat sukar, apatah lagi seluruh ilmunya. Pendek kata, Tariqat Al-Ghazaliyyah jenis ini sudah tidak ada lagi pada hari ini.

2. Tariqat yang dimaksudkan sebagai jalan kerohanian Imam Al-Ghazali. Yang inilah yang biasanya dimaksudkan oleh umat Islam dengan Tariqat Al-Ghazaliyyah iaitu salah satu jalan untuk mencapai maqam muhsin. Umumnya tariqat jenis ini boleh dilalui oleh semua orang dan masih ada sehingga ke hari ini.

3. Tariqat yang membawa maksud suatu organisasi jemaah orang-orang yang mengamalkan sesuatu jalan kerohanian (dalam skop penulisan ini bermaksud suatu organisasi jemaah orang-orang yang mengamalkan jalan kerohanian yang pernah dilalui Imam Al-Ghazali). Umumnya tariqat-tariqat yang ada hari ini adalah dalam bentuk ini. Namun Tariqat Ghazaliyyah sangat sukar untuk diorganisasikan menyebabkan ia masih kekal sebagai tariqat jenis yang kedua di atas tadi. Memang masih ada organisasi Tariqat Ghazaliyyah di sana-sini tetapi boleh dikatakan semuanya kecil-kecilan dan tidak kukuh, sekadar untuk beraktiviti bersama-sama pada masa-masa tertentu sahaja. 

Bentuk Sebenar Tariqat Al-Ghazaliyyah

Tariqat Ghazaliyyah ialah jalan kerohanian, iaitu jalan untuk mencapai maqam muhsin. Jalan kerohanian ini diasaskan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Oleh itu umumnya Tariqat Ghazaliyyah :

1.bukanlah sebuah jemaah, organisasi atau perkumpulan sebagaimana biasanya tariqat-tariqat lain atau jemaah-jemaah lain. Boleh beramal dengan Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana jemaah atau perkumpulan yang sesuai sekiranya kita mahu berkumpulan.

2.bukanlah satu perkumpulan dakwah. Amallah Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana kumpulan dakwah sekiranya kita mahu berdakwah secara berjemaah.

3.bukanlah satu pertubuhan politik. Amalkan Tariqat Ghazaliyyah dan sertailah mana-mana kumpulan politik yang sesuai sekiranya kita suka.

4.bukanlah sebuah badan amal kebajikan. Amal tariqat Ghazaliyyah dan terpulanglah untuk menyertai mana-mana badan amal yang selaras dengan kehendak Islam.

5.bukanlah sebuah pertubuhan yang mempunyai trend rohani semata-mata, kerana tariqat ini bukan pertubuhan pun. Boleh sahaja amal Tariqat Ghazaliyyah lalu sertailah mana-mana ‘group’ kerohanian.

6.bukan juga satu organisasi ilmuwan dan cendekiawan. Masuklah mana-mana kumpulan cerdik pandai dalam keadaan bertariqat Ghazaliyyah, tidak ada apa-apa masalah pun.

7.bukan juga sebuah perkumpulan jihad bersenjata.

8.bukan Mazhab Fekah. Amallah mana-mana mazhab yang muktabar.

Pendek kata, Tariqat Ghazaliyyah bukanlah sebuah perkumpulan. Oleh itu janganlah disamakan Tariqat Ghazaliyyah ini dengan mana-mana perkumpulan. Tariqat Ghazaliyyah juga bukanlah sebuah sekolah lafaz zikir yang ahli-ahlinya banyak habiskan masa dengan melafazkan bunyi-bunyi zikir sahaja.

Amalan Zikir Tariqat Al-Ghazaliyyah 

Zikir harian Tariqat Ghazaliyyah adalah sebanyak 1,000 kali pada setiap hari iaitu :

Hari Ahad – Ya Hayyu Ya Qayyum.

Hari Isnin – La haula wa la quwwatailla billa hil ‘aliyyil ‘azim (atau ringkasnya Laa haula wa laa quwwatailla billah)

Hari Selasa – Selawat ke atas Nabi saw (apa-apa jenis selawat yang sesuai atau sekurang-kurangnya Allahumma solli ‘ala Muhammad).

Hari Rabu – Istighfar sekuarang-kurangnya : “Astaghfirullaahal ‘aziim”.

Hari Khamis : Subhanallaahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘aziim.

Hari Jumaat : Ya Allah.

Hari Sabtu : La Ilahaillallah. 

Bagi yang sudah stabil amalan Zikir Hariannya, bolehlah ditambah dengan amalan Wirid Harian. Wirid harian tariqat ini dibaca 10 kali setiap satunya.

  1. ^ Al-Ghazali (terjemahan Abdullah Mohamad), 1987, Ilmu Laduni, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
  2. ^ Abdebakar Acheh, (1991). Pengantar Ilmu Hakikat Ma'rifat.Ipoh : Pustaka Muda