Telefon bimbit prabayar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kad tambah nilai prabayar Maxis.
Papan tanda menunjukkan kedai yang menjual tiket tambah nilai prabayar.

Telefon bimbit prabayar merupakan satu bentuk perkhidmatan telefon bimbit di mana kredit panggilan dibeli terlebih dahulu (prabayar) sebelum digunakan. Kredit yang dibeli boleh digunakan untuk membayar perkhidmatan telefon bimbit seperti panggilan, SMS, serta Internet mudah alih, di mana baki kredit akan berkurangan mengikut kadar penggunaan. Jika baki kredit sudah habis ataupun sudah melepasi tarikh luput, pengguna akan dihalang daripada menggunakan perkhidmatan telefon bimbit sehinggalah mereka menambah nilai kredit masing-masing. Kredit panggilan boleh ditambah nilai pada bila-bila masa melalui pelbagai saluran pembayaran.

Alternatif kepada perkhidmatan prabayar ialah perkhidmatan pascabayar (juga dipanggil kontrak telefon bimbit), di mana penggunaan telefon dibilkan oleh syarikat pengendali rangkaian mudah alih.

Sepintas lalu[sunting | sunting sumber]

Pengguna telefon bimbit prabayar boleh mengakses sebahagian besar perkhidmatan telefon bimbit jika tidak semua, walaupun caj yang dikenakan mungkin berbeza daripada pengguna telefon bimbit pascabayar.

Selain itu, baki kredit telefon bimbit prabayar boleh disemak dan ditambah nilai pada bila-bila masa. Antara kaedah menambah nilai baki kredit adalah:

  • menggunakan kad atau tiket tambah nilai (kaedah paling lazim) yang mudah didapati bukan sahaja di kedai telefon bimbit, malah turut dijual di kedai serbaneka dan sesetengah kedai runcit. Setiap kad tambah nilai mempunyai kod unik yang disembunyikan di sebalik panel gores dan nombor ini mesti dimasukkan untuk menambah baki kredit.
  • Kad kredit atau kad debit
  • secara terus dari akaun bank melalui penggunaan mesin ATM[1][2][3][4][5]
  • dari telefon bimbit lain dari rangkaian mudah alih yang sama, melalui perkhidmatan perkongsian baki kredit, biasanya digunakan di kalangan ahli keluarga atau sahabat handai.

Kredit yang dibeli mempunyai had masa, misalnya 90 hari selepas tarikh terakhir tambah nilai. Dalam kes sebegini, sebarang baki kredit akan luput selepas tempoh tersebut.

Pengguna prabayar tidak diwajibkan untuk menambah nilai kredit mereka. Oleh itu, untuk terus mengekalkan pendapatan, sesetengah pengendali mengadakan skim ganjaran untuk menggalakkan pengguna menambah nilai. Contohnya, Hotlink menggunakan sistem mata ganjaran kepada pengguna yang menambah nilai minimum RM30 sebulan yang boleh ditebus kepada nilai kredit panggilan atau unit SMS.

Tidak seperti perkhidmatan pascabayar, bukan mudah bagi pengendali untuk mengetahui pengguna yang berhenti menggunakan rangkaian mereka. Untuk membebaskan sumber rangkaian supaya boleh dikitar semula kepada pengguna baharu, pengendali akan menghapuskan nombor kad SIM yang tidak digunakan selepas tempoh tertentu serta menamatkan segala perkhidmatan yang dilanggannya. Biasanya, perkhidmatan akan ditamatkan jika pengguna tidak menambah nilai 6 bulan selepas tambah nilai terakhir.

Menjelang tahun 2003 bilangan akaun prabayar sudah melepasi bilangan akaun pascabayar, dan menjelang tahun 2007, dua pertiga daripada pengguna telefon bimbit adalah pengguna prabayar.

Kelebihan dan kelemahan[sunting | sunting sumber]

Kelebihan[sunting | sunting sumber]

  1. Kos penggunaan yang rendah (terutamanya bagi pengguna yang tidak banyak menggunakan telefon bimbit).
  2. Membolehkan pengguna mengawal perbelanjaan mereka serta mengawal hutang.
  3. Pengguna bebas daripada dibelenggu syarat-syarat kontrak yang melecehkan (boleh digunakan oleh pengguna bawah umur 18, tiada bayaran pemotongan, bebas menukar nombor, pengendali, pelan dsb.)
  4. Boleh digunakan oleh sesiapa sahaja walaupun oleh pengguna yang mempunyai rekod kredit yang buruk (hutang keliling pinggang).
  5. Pengendali bebas daripada risiko pengguna yang ingkar membayar bil sebagaimana yang terpaksa dihadapi pengendali perkhidmatan pascabayar.
  6. Boleh digunakan oleh pengguna yang tiada alamat tetap (seperti pelajar universiti).

Kelemahan[sunting | sunting sumber]

  1. Ada kalanya pengguna mungkin membayar lebih untuk panggilan dan SMS jika mereka banyak menggunakan telefon bimbit (bergantung kepada kadar panggilan dan SMS).
  2. Capaian kepada beberapa perkhidmatan seperti perayauan serta panggilan antarabangsa mungkin dihadkan (bergantung kepada pengendali).
  3. Nombor telefon prabayar yang tidak didaftarkan mungkin boleh digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk pengganasan.
  4. Nombor yang kerap ditukar akibat penggunaan prabayar mungkin menyebabkan pengguna sukar dihubungi terutamanya ketika kes-kes kecemasan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]