Wahsyi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wahsyi merupakan seorang pemuda yang berasal dari Habsyah. Berkulit hitam, bertubuh tegap dan sasa. Beliau merupakan seorang hamba kepada seorang bangsawan Makkah iaitu Jabir ibn Mu'tam.

Kehidupannya[sunting | sunting sumber]

Beliau diupah dengan kebebasan oleh Jubair bin Muth’im untuk membunuh seorang panglima Islam dalam Perang Uhud iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib kerana membunuh bapa saudara Jubair.

Selepas beliau berjaya membunuh Hamzah dengan rejaman lembingnya, beliau kemudian dibebaskan dan hidup sebagai orang yang merdeka.

Apabila Islam semakin tersebar dan semakin kukuh, Wahsyi semakin takut, namun setelah mendengar keterangan dari beberapa orang yang sudah memeluk Islam akan kemaafan daripada Nabi Muhammad, Wahsyi mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Walau bagaimanapun akibat kesedihan Nabi terhadap kematian bapa saudaranya Hamzah, Wahsyi terpaksa menyembunyikan dirinya daripada dilihat oleh baginda.

Jasa dan perjuangannya[sunting | sunting sumber]

Semasa umat Islam berhadapan dengan kaum yang murtad pimpinan Musailamah al-Kazzab dalam siri Peperangan Islam-Riddah yang dikenali sebagai Perang Yamamah, Wahsyi melibatkan diri untuk menebus kesalahannya pada Nabi.

Dengan pertolongan salah seorang Ansar, beliau berjaya membunuh pemimpin kaum murtad tersebut. Kata-katanya setelah berjaya membunuh Musailamah ialah:

"Aku telah membunuh sebaik-baik orang dengan lembingku ketika aku menentang Islam. Kini, dengan lembing yang sama, aku telah membunuh sejahat-jahat orang yang menentang Islam"