Wikipedia:Rencana pilihan/Disember 2013

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Oberon
Oberon

Oberon atau juga disebut sebagai Uranus IV ialah bulan utama terjauh bagi planet Uranus. Ia merupakan bulan kedua terbesar Uranus dan yang kesepuluh terbesar dalam Sistem Suria. Oberon ditemui oleh William Herschel pada tahun 1787 dan namanya berasal daripada nama raja pari-pari mitos dalam Mimpi Suatu Malam Pertengahan Musim Panas karya William Shakespeare. Sebahagian orbit Oberon berada di luar magnetosfera Uranus.

Adalah berkemungkinan bahawa Oberon terbentuk daripada cakera akresi yang mengelilingi Uranus setelah pembentukan planet. Bulan ini terdiri daripada ais dan batu-batuan, dan ia mungkin dibezakan menjadi teras berbatu dan mantel yang berais. Lapisan air mungkin wujud di antara mantel dan teras. Permukaan Oberon yang berwarna gelap dan sedikit merah, kelihatannya terbentuk melalui hentaman asteroid dan komet. Ia dilitupi dengan pelbagai jenis kawah hentaman yang diameter mencecah sehingga 210 km. Di Oberon juga terdapat rangkaian chasma (graben atau tubir sesar) yang terbentuk ketika sambungan kerak sebagai akibat perluasan bahagian dalam semasa evolusi awal.

Oberon ditemui oleh William Herschel pada 11 Januari 1787 iaitu pada hari yang sama beliau menemui bulan terbesar Uranus, Titania. Beliau kemudiannya melaporkan penemuan empat buah lagi bulan, walaupun ia sebenarnya tidak wujud. Untuk hampir 50 tahun setelah penemuan tersebut, Titania dan Oberon tidak dicerap oleh alatan lain melainkan kepunyaan Herschel meskipun bulan tersebut boleh dilihat dari Bumi dengan teleskop amatur pada hari ini.