Pergi ke kandungan

Anjing kutub Argentina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing kutub Argentina
Fail:Ksimba02.jpg
Seekor anjing kutub Argentina
Negara asalArgentina
Pengelasan dan piawaian
Pupus
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing kutub Argentina[a] ialah satu baka anjing pupus. Ia diwujudkan oleh Tentera Darat Argentina untuk menghela barang di sekitar pangkalannya di Antartika. Baka ini ialah silangan antara spits, yang digunakan secara tradisional sebagai anjing kereta luncur salji, dengan beberapa baka lain, termasuk malamut Alaska, husky Siberia, anjing Greenland, dan anjing Samoyed.[1] Amalan pembiakbakaan anjing kutub Argentina ditamatkan pada tahun 1991, apabila Perkara 4 Perjanjian Antartika memaksa pemindahan semua spesies tidak asli dari benua itu.[2]

Asal usul

[sunting | sunting sumber]

Asal usul anjing kutub Argentina dapat dijejak kembali ke tahun 1949, apabila Kolonel Hernán Pujato mendekati Presiden Juan Perón dengan cadangan yang merupakan usaha untuk membawa Argentina lebih dekat dengan tuntutan wilayahnya di Antartika dengan menubuhkan Institut Antartika Argentina dan pangkalan lain berorientasikan sains dengan populasi sepanjang tahun. Minat Perón menyebabkan Pujato melawat Amerika Utara dan menjalani "Kursus Kemandirian di Kutub" yang disyaratkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat di Alaska dan di wilayah Greenland.[3] Di sana, beliau belajar tentang kaedah cekap kemandirian, pembinaan, dan pengangkutan. Dalam perjalanan itu, beliau mengumpulkan 40 ekor anjing, yang dibawa oleh beliau ke Antartika. Anjing-anjing ini dibiakbakakan secara terpilih untuk mewujudkan anjing kutub Argentina. Pada 21 Mac 1951, Pangkalan San Martín diasaskan sebagai pangkalan pertama di bawah Bulatan Antartika. Anjing kutub Argentina menjadi bahagian penting dalam logistik kehadiran Argentina di benua itu.[4]

Perangai dan tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Spektrum luas perangai dilaporkan dalam baka ini; sementara sesetengah individu menunjukkan toleransi dan belas kasihan tinggi terhadap satu sama lain, yang lain cenderung terhadap pergaduhan dan agresi. Pada umumnya, anjing kutub Argentina adalah setia dan lembut kepada tuan manusianya, tetapi lebih agresif di sekeliling anjing lain. Pergaduhan antara anjing kutub Argentina dilaporkan menjadi sangat ganas, biasanya memuncak dengan kematian atau kecederaan parah salah seekor anjing atau kedua-dua anjing yang terlibat. Apabila seekor anjing tumbang, yang lain dalam kawanan mengepungnya dan menyerangnya, dengan kecenderungan untuk menggigit abdomen bawah dan kawasan genital dengan rahang berkuasa.

Penghelaan barang berat ialah kekuatannya dan ia kerap menyatakan keinginan untuk melakukannya. Penjelajah dan kakitangan yang telah bekerja berdampingan dengan anjing ini telah melaporkan bahawa anjing ini mempunyai deria semula jadi yang membolehkannya mengesan halangan yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia, seperti retakan dan lubang di dalam tanah yang dilitupi oleh ais nipis atau ibun. Tanpa diperintahkan, anjing ini memesong dari laluan terancang untuk mengelakkan sebarang halangan tidak terlihat dan kembali ke laluan sebaik sahaja laluannya selamat.

Untuk berkomunikasi, anjing kutub Argentina kebanyakannya menggunakan lolongan berpanjangan dan bernada tinggi yang mencapai jarak jauh. Seekor anjing biasanya melolong sekali, yang kepadanya rakannya bergerak balas dalam korus, dengan melolong sebagai balasan dan berhenti secara serentak dengan rasa masa luar biasa.[3]

Penjagaan dan kerja

[sunting | sunting sumber]

Pemboleh ubah berlainan diingati semasa memantau pemberian makanan kepada anjing dan penjagaan anjing. Doktor haiwan tentera perlu mengambil kira keadaan dan keperluan khusus setiap anjing untuk memastikan kelanjutan usia dan prestasi optimum haiwan berkenaan. Pemboleh ubah yang dipertimbangkan oleh penjaga termasuk, tetapi tidak terbatas kepada, tempoh rehat, kehamilan, isu perut usus, dan kegiatan terakhir anjing tersebut serta tempohnya. Masa dalam setahun dan suhu sekeliling juga perlu dipertimbangkan, kerana musim sejuk teruk membawa kesan lebih besar terhadap kesihatannya.

Anjing pada mulanya diberi makan secara eksklusif dengan foder seimbang yang dipanggil Pemmican. Ini ialah makanan pekat, kering, dan hiperkalori yang menyumbangkan 5000 kalori setiap hidangan. Seiring dengan masa, Pemmican mula ditambahi dan/atau dicampuri dengan daging anjing laut, yang amat dinikmati oleh anjing ini dan memberikan kalori tambahan yang membantunya kekal kuat. Walau bagaimanapun, daging itu tidak pernah diniatkan untuk menggantikan Pemmican dan sesetengah anjing menjadi lembap jika diberi lebih daripada ⅓ atau bahkan ¼ daging anjing laut berhubung dengan hidangan Pemmican. Pemberian daging anjing laut terbukti tidak produktif, kerana sesetengah individu menolak Pemmican pula sambil memilih daging, yang kerap membawa kepada isu pencernaan apabila dimakan dalam kuantiti banyak. Kemudian, anjing ini menghadapi masalah untuk memilih Pemmican semula sebagai sumber makanan utamanya.

Anjing kutub Argentina yang terlatih dengan baik dijangka menjalani hari kerja sepanjang hampir-hampir 8 hingga 9 jam, dengan menghela berat yang serupa dengan diri pada rentak sederhana, bergantung pada rupa bumi. Anjing dilatih untuk mematuhi suara tuannya dan bukan pula cemeti atau objek libas serupa. Anjing paling cerdas dalam setiap kawanan dilantik sebagai pemimpin selepas setiap perintah. Di belakang individu ini, anjing dipasangkan dengan kuk, yang dipanggil "kuk pertama", "kuk kedua", "kuk ketiga", dan "kuk batang". Kereta luncur salji ditarik oleh bilangan anjing ganjil yang, bergantung pada barang, dapat berjumlah 7, 9, atau 13 ekor anjing.[3]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab keserupaan genetiknya, anjing kutub Argentina kelihatan sangat serupa dengan baka anjing yang dari tempat penerbitan asalnya dan yang digunakan untuk tujuan sama di sisi lawan glob. Sebagai haiwan lengkap, ia berdiri setinggi 50–60 cm (19.5–23.5 in). Jantan berukuran berat yang mencapai sekitar 60 kg (130 lb), sementara betina pula kekal seberat sekitar 52 kg (115 lb). Kepalanya menyerupai kepala malamut, dengan telinga kecil dan lurus, dengan kening gelap di sebelah atas mata biru muda. Ekornya melengkung ke atas belakangnya, yang membantu untuk menyediakan perlindungan tambahan menentang kesejukan apabila berehat, dengan meringkukkan tubuhnya dan mencapaikan ekor ke mukanya. Bulunya ialah adunan perang muda, putih, hitam, dan kelabu. Bulunya terbina dan berlapis untuk mengekalkan haba dan melawan suhu amat rendah yang kepadanya anjing ini sentiasa terdedah. Bulu anjing kutub terdiri daripada folikel kompleks yang membentuk tiga lapisan, yang termasuk bulu terlihat utama, serta lapis bulu bawah tebal mirip kapas yang menyepadukan lapisan kedua dan lapisan ketiga.[3]

Kepupusan

[sunting | sunting sumber]

Pada Ogos 1991, Protokol Perlindungan Alam Sekitar bagi Perjanjian Antartika mensyaratkan agar semua pihak yang mempunyai tuntunan wilayah mengeluarkan mana-mana fauna atau flora yang telah diperkenalkan oleh mereka ke benua itu menjelang 1 April 1994.[5] Pada tahun itu, sebagai anggota Perjanjian Antartika, Argentina memindahkan kesemua 22 ekor anjing yang tinggal di Pangkalan San Martín ke dalam kor Gendarmerie Kebangsaan Argentina di Puente del Inca, di Mendoza. Pada Februari 1993, 13 ekor anjing terakhir yang tersisa di benua itu, yang ditempatkan di Pangkalan Esperanza, dipindahkan ke dalam lagi satu kor Gendarmerie Kebangsaan Argentina di bandar raya Ushuaia, di Tierra del Fuego.[3]

Kebanyakan individu ini terkorban sejurus selepas tiba di benua yang baharu untuknya. Memandangkan ia telah tinggal dalam pengasingan geografi sejak konsepsinya sebagai baka, anjing ini tidak mempunyai keimunan terhadap penyakit yang lazim dalam kalangan anjing di kawasan berpenduduk. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab atas penjagaan anjing ini gagal menjangkakan isu ini. Ini menjadikan keadaan mustahil untuk meneruskan sebarang program pembiakbakaan dan tidak lama kemudian seluruh baka ini telah lenyap.[6]

  1. ^ Jawi: انجيڠ قطب ارݢينتينا; Sepanyol: perro polar argentino; bahasa Inggeris: Argentine polar dog
  1. ^ Grodsinsky, Sergio (31 Mei 2003). "Raza: La extinción del perro polar argentino" [Baka: Kepupusan anjing kutub Argentina] (dalam bahasa Inggeris). Voraus. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 April 2008. Dicapai pada 24 Mei 2025.
  2. ^ "ANNEX II TO THE PROTOCOL ON ENVIRONMENTAL PROTECTION TO THE ANTARCTIC TREATY: CONSERVATION OF ANTARCTIC FAUNA AND FLORA" [LAMPIRAN II BAGI PROTOKOL PERLINDUNGAN ALAM SEKITAR BAGI PERJANJIAN ANTARTIKA: PEMULIHARAAN FAUNA DAN FLORA ANTARTIKA] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Mei 2025.
  3. ^ a b c d e Maida, Juan Carlos (2015). "Breve historia del Perro Polar Argentino" [Sejarah ringkas anjing kutub Argentina] (PDF). Revista de Medicina Veterinaria (dalam bahasa Sepanyol). Sociedad de Medicina Veterinaria. 96 (2): 15–18. ISSN 1852-771X.
  4. ^ Tahan, Mary R. (2021). "THE JIM FRANKS STORY: FIDS AND ARGENTINES IN ANTARCTICA IN THE LATE 1950s" [KISAH JIM FRANKS: FIDS DAN PIHAK ARGENTINA DI ANTARTIKA PADA LEWAT TAHUN 1950-an]. Dalam León Wöppke, María Consuelo; Jara Fernández, Mauricio; Llanos Sierra, Nelson (penyunting). Antartica in the 1950s: Perspectives from the Southern Cone [Antartika pada Tahun 1950-an: Perspektif dari Kon Selatan] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). LW Editorial. m/s. 39–62. ISBN 9789564049403.
  5. ^ "The Protocol on Environmental Protection to the Antarctic Treaty" [Protokol Perlindungan Alam Sekitar bagi Perjanjian Antartika] (dalam bahasa Inggeris). Sekretariat Perjanjian Antartika. Dicapai pada 24 Mei 2025. The Protocol on Environmental Protection to the Antarctic Treaty was signed in Madrid on October 4, 1991 and entered into force in 1998. It designates Antarctica as a "natural reserve, devoted to peace and science" (Art. 2).
  6. ^ Romero, Juan Enrique (17 September 2023). "El Perro Polar Argentino: por qué es el héroe de nuestra soberanía antártica" [Anjing kutub Argentina: Mengapa ia wira kedaulatan kita di Antartika] (dalam bahasa Sepanyol). Infobae. Dicapai pada 24 Mei 2025.