Bantuan Motor Bersepadu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Honda Insight IMA, 1999.
Honda Insight IMA, 2009.

Bantuan Motor Bersepadu atau IMA (Integrated Motor Assist) merupakan teknologi kereta hibrid oleh Honda, mula diperkenalkan pada tahun 1999 melalui modelHonda Insight.

Ia merupakan salah satu contoh utama penggunaan sistem hibrid selari. Ia menggunakan motor elektrik yang ditempatkan di antara enjin pembakaran dalaman serta sistem transmisi untuk bertindak sebagai penghidup elektrik, pengimbang enjin, serta motor pacuan bantuan. Pada generasi pertamanya, IMA tidak berupaya untuk menggerakkan kereta melalui motor elektrik sahaja, dan hanya mampu menggunakan motor untuk membantu pacuan sataupun menghidupkan enjin. Walau bagaimanapun, model 2006 Civic Hybrid mampu mengaktifkan motor elektrik sahaja apabila tidak memecut tanpa perlu menghidupkan enjin. Sungguhpun demikian, jika dibandingkan dengan teknologi Hybrid Synergy Drive (HSD) oleh Toyota ataupun Kerjasama Hibrid Sejagat oleh General Motors dan DaimlerChrysler, IMA mempunyai motor/penjana yang berkuasa lebih rendah untuk membolehkan kereta untuk diperlahankan atau dihentikan; ia tidak boleh beroperasi tanpa memutarkan enjin yang dihubungkan terus kepada motor elektrik.

Teori di sebalik IMA ialah penggunaan pembrekan jana semula untuk menyerap tenaga yang hilang semasa nyahpecutan, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu kenderaan memecut. Ia mempunyai dua kesan utama: ia meningkatkan kadar pecutan, dan ia turut mengurangkan beban pada enjin petrol. Bantuan pecutan ini amat penting, memandangkan ia membolehkan enjin yang lebih kecil tetapi lebih jimat minyak digunakan tanpa menyebabkan kereta menjadi terlalu perlahan atau kurang berkuasa. Enjin yang lebih kecil ini merupakan sebab utama kereta yang dilengkapi IMA mencatatkan kadar perbatuan lebuh raya yang lebih tinggi daripada kereta konvensional.

Sebagai tambahan, kereta yang dilengkapi dengan IMA boleh mematikan enjin semasa kenderaan berhenti serta menggunakan motor elektrik untuk menghidupkan kembali enjin semasa injak brek dilepaskan. Ia turut dilengkapi motor penghidup elektrik konvensional sebagai sandaran, menjadikannya sebagai satu0satunya sistem hibrid pengeluaran yang berupaya beroperasi apabila sistem elektrik voltan tingginya lumpuh, dengan hanya menggunakan enjin seperti kereta tradisional. Sungguhpun demikian, memandangkan IMA turut bertindak sebagai pengulangalik kereta, bateri 12 volt kereta perlu dicas secara berasingan.

Honda menggunakan enjin 3.5L DOHC i-VTEC V6 yang dilengkapi IMA pada kereta Honda Dualnote mereka. Honda mendakwa kereta tersebut mampu menghasilkan 400 horsepower (298 kW; 406 PS) serta dalam masa yang sama mencatatkan penggunaan bahan api lebih kurang 18 km/L.[1]

Nama lain[sunting | sunting sumber]

  • ISG: Integrated Starter Generator (Penghidup Penjana Bersepadu)
  • ISA: Integrated Starter Alternator (Penghidup Pengulangalik Bersepadu)
  • ISAD: Integrated Starter Alternator Damper (Penghidup Pengulangalik Penyerap Bersepadu)
  • CAS: Combined Alternator Starter (Pengulangalik Penghidup Gabungan)
  • CSA: Crankshaft Starter Alternator (Penghidup Pengulangalik Aci Engkol) atau Combined Starter Alternator (Penghidup Pengulangalik Gabungan)
  • CISG: Crank-mounted Integrated Starter Generator (Penghidup Penjana Bersepadu pada Engkol)

Senarai kenderaan yang menggunaan IMA[sunting | sunting sumber]

Honda Civic Hybrid yang dilengkapi IMA.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]