Buah pinang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buah pinang
Lukisan abad ke-19 menggambarkan bahagian pokok pinang termasuk buahnya
Rantau-rantau dunia dengan kelaziman penggunaan buah pinang

Buah pinang (Jawi: بواه ڤينڠ)​ ialah buah daripada pokok pinang (Areca catechu) yang tumbuh di kebanyakan kawasan tropika di Asia Pasifik (Melanesia dan Micronesia), Asia Selatan, Asia Tenggara, dan sebelah timur Afrika. Buah pinang lazimnya menjadi sebahagian daripada ramuan sekapur sirih dengan daun sirih (Piper betle) sering digunakan untuk membalutnya.

Amalan mengunyah buah pinang dengan sirih, kapur, gambir dan lain-lain sebagai pengambilan bahan perangsang psikoaktif ini bermula sejak beribu-ribu tahun di Asia Selatan dan Asia Tenggara, dan berterusan sehingga kini di banyak negara.

Pengambilan buah pinang, sama ada dengan sirih atau memakan buahnya sahaja, memberi banyak kesan buruk kepada kesihatan dengan antara sebabnya ialah buahnya mengandungi bahan yang bersifat karsinogenik kepada manusia. Sesetengah sebatian kimia yang terdapat dalam buah pinang, antaranya arekolina (sejenis sebatian alkaloid perangsang yang mempunyai taraf risiko kesihatan yang sama dengan nikotina), mendorong perubahan histologi pada mukosa mulut serta perubahan warna pada gusi. Memakan buah pinang diketahui menjadi faktor risiko utama yang menyumbang kepada kanser di mulut dan esofagus (iaitu kanser karsinoma sel skuamusa). Sepertimana mengunyah tembakau, makan pinang tidak digalakkan melalui banyak usaha yang dimainkan oleh pihak pencegah penyakit. Pengambilan buah pinang oleh ratusan juta orang di seluruh dunia terutamanya yang berasal dari atau tinggal di Asia Selatan atau Asia Tenggara telah digambarkan sebagai "darurat kesihatan awam global yang dipandang ringan".