Detroit Electric

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kereta Detroit Electric model tahun 1915.

Detroit Electric (1907 - 1939) adalah jenama kereta elektrik yang dikeluarkan oleh Anderson Electric Car Company di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat. Anderson sebelum ini dikenali sebagai Anderson Carriage Company (sehingga 1911), mengeluarkan kereta kuda dan "buggy" sejak 1884. Pengeluaran kereta elektrik, digerakkan oleh bateri asid-plumbum boleh cas semula, bermula pada tahun 1907. Dengan tambahan AS$600.00, sebiji bateri nikel-besi Edison boleh didapati dari tahun 1911 hingga 1916. Kereta tersebut diiklankan sebagai boleh diharap untuk bergerak sejauh 130 bagi setiap kali cas, walaupun ujian sebenar kereta Detroit Electric mampu mencapai jarak 340.1 km untuk sekali cas. Kelajuan maksimum hanyalah 32 km/j, tetapi sudah dikira memadai untuk memandu di dalam kawasan bandar pada masa tersebut.

1916 Detroit Electric di Muzium Autoworld Brussel

Kereta Detroit Electric selalunya dijual kepada pemandu wanita serta para doktor yang lebih menggemari permulaan serta-merta yang boleh dipercayai tanpa perlu bersusah-payah memulas engkol tangan bagi menghidupkan kereta dengan enjin pembakaran dalaman terawal.

Iklan tahun 1920.

Kemuncak pengeluaran syarikat adalah pada tahun-tahun 1910-an dengan jumlah jualan sekitar 1000 hingga 2000 kereta setahun. Menjelang penghujung dekad tersebut jualan Detroit Electric turut dibantu hasil harga minyak petrol yang melambung semasa Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1920 nama syarikat Anderson ditukar kepada "The Detroit Electric Car Company" (Syarikat Kereta Elektrik Detroit) setelah pengeluar kereta tersebut diasingkan daripada perniagaan induk (ia menjadi sebahagian Murray Body) dan perniagaan motor/pengawal.

Setelah kereta berenjin pembakaran dalaman yang diperbaharui menjadi semakin lazim dan semakin murah, jualan Detroit Electric merudum pada tahun 1920-an tetapi syarikat terus mengeluarkan kereta Detroit Electric sehingga kejatuhan pasaran saham tahun 1929. Syarikat tersebut diisytiharkan muflis, tetapi telah dibeli dan meneruskan perniagaan pada skala yang lebih terhad untuk beberapa tahun dengan membina kereta hasil permintaan khas. Kereta Detroit Electric terakhir dikeluarkan pada 23 Februari 1939,[perlu rujukan] (walaupun masih boleh didapati sehingga tahun 1942),[1] tetapi pada tahun terakhirnya kereta dikeluarkan pada jumlah yang sangat kecil.

Beberapa orang ternama yang memiliki kereta Detroit Electric termasuklah Thomas Edison, Charles Proteus Steinmetz dan John D. Rockefeller, Jr. yang memiliki sepasang kereta roadster Model 46. Clara Ford, isteri Henry Ford, memandu kereta Detroit Electric dari tahun 1908, apabila Henry membelikannya kereta coupe Model C dengan tempat duduk kanak-kanak khas, semasa lewat usia remajanya. Kereta ketiganya ialah kereta Model 47 keluaran tahun 1914.

Kereta Detroit Electric boleh dilihat di pelbagai muzium kereta. Contohnya, di Muzium AutoWorld di Brussel, Belgium dan di Altlußheim, Jerman. Sebuah kereta Detroit Electric yang dipulihara dengan cantik dan masih boleh berfungsi, dimiliki oleh Union College, terletak di Edison Exploratorium Diarkibkan 2008-09-14 di Wayback Machine yang bertempat di Schenectady, New York.

Kebangkitan semula tahun 2008[sunting | sunting sumber]

Pada 7 Februari 2008, dalam satu pengumuman bersama, perintis kereta elektrik AS dan Kumpulan China Youngman Automotive telah menyatakan bahawa mereka sedang menghidupkan semula jenama Detroit Electric yang berusia 100 tahun untuk satu usaha sama automotif untuk membawa teknologi kenderaan baru yang bakal dikeluarkan menjelang 2009, dan seterusnya kemungkinan pengeluarannya serta tawaran pekerjaan 'kolar hijau' di California.

ZAP Alias, yang masih dalam pembangunan untuk usaha sama tersebut, akan menjadi salah satu kenderaan yang dirancang bakal menggunakan jenama Detroit Electric. ZAP sedang merancang satu persembahan mengenai Detroit Electric untuk pengedar Amerika Utara semasa NADA 2008.

Detroit Electric adalah jenama kereta elektrik awal abad ke-20, “berkemungkinan yang paling popular dalam sejarah,” menurut ZAP. Syarikat Kereta Elektrik Anderson mula membina kereta di bawah jenama Detroit Electric lebih 100 tahun dahulu. [2]

Detroit Electric kini sedang berunding dengan tiga pengeluar kereta - sebuah syarikat Amerika, sebuah syarikat Jerman, dan syarikat kereta Malaysia Proton. Rundingan dengan Proton berkisar mengenai kemungkinan Detroit Electric membeli beberapa model Proton untuk membangunkan kereta elektrik.[3]

Usaha sama dengan Proton[sunting | sunting sumber]

Pada 2 September 2008, Detroit Electric mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan barisan kereta elektrik mampu milik menjelang penghujung 2009. Kereta Proton digunakan dan diuji untuk pengesahan teknologi Detroit Electric serta meneroka potensi untuk bekerjasama bagi menghasilkan satu barisan kereta elektrik tulen. Setakat ini Detroit Electric sudah berjaya menyepadukan sistem pacuan elektriknya ke dalam kereta Lotus Elise, Proton Persona dan Proton Savvy. [4] Detroit Electric berharap untuk bekerjasama dengan Proton untuk menjual kereta elektrik bagi pasaran Asia Tenggara ataupun menggunakan pelantar pengeluaran Proton yang sedia ada untuk menghasilkan kereta elektrik di bawah jenama Detroit Electric. Syarikat merancang untuk mengeluarkan 30,000 kereta elektrik menjelang 2010, setelah syarikat mengadakan demonstrasi prestasi kereta elektrik di litar ujian Proton di Shah Alam, barat ibu negara Kuala Lumpur.[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Georgano, G.N. Cars: Early and Vintage, 1886-1930. (London: Grange-Universal, 1985).
  2. ^ [1] Detroit Electric Car to Return After 100 years
  3. ^ Detroit Electric's electric Lotus Elise driven in Kuala Lumpur
  4. ^ "Detroit Electric's Electric Car Hits the Road Again After 100 Year Absence". PRNewswire. 2008-09-02. Dicapai pada 2008-09-02.
  5. ^ "Detroit Electric eyes comeback with Malaysia's Proton as partner". Yahoo! News. 2008-09-03. Dicapai pada 2008-09-03.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]