Ekonomi Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Jerman ialah ekonomi terbesar di Eropah, ketiga terbesar di dunia dari segi KDNK dan kelima dari segi kuasa membeli.[1] Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2007 dicatatkan sebanyak 2.4% dan dijangka akan mengekalkan tahap ini pada tahun-tahun berikutnya.[2] Sejak Era Industrialisasi, negara ini telah menjadi penggerak, pereka dan penerima faedah sebuah ekonomi yang lebih terbuka. Pengeksportan barangan buatan Jerman adalah faktor utama kekayaan negara ini. Jerman ialah negara pengeksport terbesar di dunia dengan jumlah dagangan mencecah €969.1 bilion pada tahun 2007 (termasuk kawasan Euro) dan menghasilkan lebihan dagangan bernilai €159 bilion.[3] Sektor perkhidmatan pula menyumbang sekitar 70% daripada keseluruhan KDNK, berbanding perusahaan sebanyak 29.1% dan pertanian sebanyak 0.9%. Kebanyak produk keluaran negara ini ialah dalam bidang kejuruteraan, khususnya automobil, jentera, logam dan barangan kimia.[4] Jerman juga merupakan negara pengeluar terbesar dunia bagi teknologi turbin angin dan tenaga suria.[5] Beberapa perhimpunan dan pameran dagangan dunia tahunan terbesar diadakan di beberapa buah bandar raya Jerman seperti Hanover, Frankfurt dan Berlin.

Di kalangan syarikat yang disenaraikan di bursa saham terbesar di dunia mengikut pulangan, iaitu Fortune Global 500, 37 daripadanya berpangkalan di Jerman. Sepuluh terbesar adalah Daimler, Volkswagen, Allianz (syarikat paling untung), Siemens, Deutsche Bank, E.ON, Deutsche Post, Deutsche Telekom, Metro dan BASF.[6] Di kalangan majikan terbesar pula antaranya ialah Deutsche Post, Robert Bosch dan Edeka[7] Jenama terkenal dunia pula ialah Mercedes Benz, SAP, BMW, Adidas, Siemens, Porsche, Volkswagen dan Deutsche Bank.[8]

Jerman adalah pengeksport terbesar dunia pada tahun 2007.

Jerman adalah negara yang memperjuangkan kesepaduan ekonomi dan politik dalam Eropah, dan dasar komersilnya acapkali ditentukan oleh perjanjian dengan ahli-ahli EU dan perundangan pasaran tunggal EU. Jerman menggunakan matawang bersama Eropah, iaitu euro, dan dasar kewangannya ditentukan oleh Bank Pusat Eropah di Frankfurt. Selepas penyatuan semula Jerman pada tahun 1990, taraf hidup dan pendapatan tahunan masih kekal lebih tinggi di negeri-negeri Jerman Barat.[9] Pemodenan dan integrasi ekonomi Jerman Timur masih berterusan sebagai satu proses jangka panjang yang dijadualkan sehingga tahun 2019, dengan perpindahan tahunan daripada barat ke timur menelan belanja sebanyak $80 bilion. Kadar pengangguran keseluruhan telah turun dengan konsisten sejak tahun 2005 dan mencecah rekod terendah dalam 15 tahun pada bulan Jun 2008 dengan 7.5%.[10] Peratusan ini meliputi purata 6.2% di Jerman Barat dan 12.7% di Jerman Timur. Kerajaan sebelum ini di bawah Canselor Gerhard Schröder telah melancarkan satu rancangan yang menyeluruh bagi memperbaharui pasaran buruh dan institusi-institusi kebajikan. Kerajaan masa kini pula menjalankan dasar fiskal yang ketat dan telah memotong pekerjaan biasa di dalam sektor awam dengan tujuan mendapatkan belanjawan seimbang pada tahun 2008.[11]

Prasarana[sunting | sunting sumber]

Pelabuhan Hamburg ialah yang kedua terbesar di Eropah dan ke-9 terbesar di dunia.

Pada tahun 2002, Jerman dicatatkan sebagai pengguna tenaga kelima terbesar dunia dan dua pertiga daripada sumber tenaga utamanya diimport. Pada tahun yang sama, Jerman merupakan pengguna utama tenaga elektrik dengan jumlah penggunaan mencecah 512.9 bilion kilowatt-sejam. Dasar kerajaannya menekankan penjimatan dan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti suria, angin, biojisim, hidro dan geoterma. Hasil daripada langkah-langkah penjimatan ini, kecekapan tenaga (jumlah tenaga yang diperlukan untuk mengeluarkan seunit KDNK) telah bertambah baik sejak awal 1970-an. Kerajaan turut mensasarkan untuk memenuhi separuh daripada keperluan tenaganya melalui sumber-sumber boleh diperbaharui menjelang 2050. Pada tahun 2000, kerajaan dan industri tenaga nuklear Jerman telah bersetuju untuk memansuhkan semua loji janakuasa nuklear secara berperingkat-peringkat menjelang 2021.[12][13] Namun begitu, tenaga boleh diperbaharui hanya memainkan peranan sederhana di dalam penggunaan tenaga. Pada tahun 2006, keperluan tenaga dipenuhi oleh pelbagai sumber, iaitu petroleum (35.7%), arang batu (23.9%), gas asli (22.8%), nuklear (12.6%) hidro dan kuasa angin (1.3%) dan lain-lain sumber (3.7%).

Kereta api laju ICE3

Oleh kerana kedudukannya di tengah Eropah, Jerman merupakan pusat pengangkutan yang penting. Hal ini dibuktikan dengan jaringan pengangkutannya yang moden dan padat. Antara yang paling dikenali ialah sistem lebuh raya Autobahn yang meluas yang berkedudukan ketiga dunia dari segi panjang keseluruhan. Satu ciri unik Autobahn di Jerman ialah ketiadaan had laju di kebanyakan laluannya.

Jerman turut menubuhkan satu jaringan kereta api laju dengan pelbagai pusat. Intercity-Express atau ICE menghubungkan bandar-bandar utamanya selain pelbagai destinasi di negara jiran. Kelajuan kereta api ini berubah daripada 160 km/j hinggalah ke 300 km/j. Perkhidmatan ini adalah yang paling maju yang disediakan oleh Deutsche Bahn AG. Sambungan ditawarkan dalam tempoh setiap 30 minit, satu jam atau dua jam.[14]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Susunan kedudukan - KDNK (kuasa beli seimbang)". Buku Fakta Dunia (dalam bahasa Inggeris). CIA. Dicapai pada 2008-09-08. 
  2. ^ "Pertumbuhan teguh ekonomi Jerman pada tahun 2007" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Perangkaan Persekutuan. 15 Januari 2008. Dicapai pada 2008-09-08. 
  3. ^ "Dagangan Luar Jerman pada tahun 2007: Eksport +8.5%, Import +5%" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Perangkaan Persekutuan. 8 Februari 2008. Dicapai pada 2008-09-08. 
  4. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan cia tidak disediakan
  5. ^ Jonathan Rynn (16 June 2008). "Bagaimana memasuki ekonomi hijau sejagat" (dalam bahasa Inggeris). Foreign Policy in Focus. Dicapai pada 2008-09-08. 
  6. ^ "Global 500 Jerman" (dalam bahasa Inggeris). CNN Money. 21 Julai 2008. Dicapai pada 2008-09-08. 
  7. ^ "Majikan Terbesar Global 500" (dalam bahasa Inggeris). CNN Money. 21 Julai 2008. Dicapai pada 2008-09-08. 
  8. ^ "100 Jenama utama paling berpengaruh 2008" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Millward Brown Optimor. 6 Ogos 2007. Dicapai pada 2008-09-08. 
  9. ^ Stefan Berg, Steffen Winter & Andreas Wassermann (5 September 2005). "Beban Timur Jerman: Harga bagi penyatuan semula yang gagal" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2008-09-08.  Teks "publisher Spiegel Online " diabaikan (bantuan)
  10. ^ "Kadar pengangguran turun di bawah paras 3.2 juta" (dalam bahasa Jerman). Tagesschau. Diarkibkan daripada original pada 2008-12-20. Dicapai pada 2008-09-08. 
  11. ^ "Perbalahan tentang belanjawan di Berlin: Menteri-menteri diarahkan memotong permintaan" (Cetakan semula) (dalam bahasa Inggeris). Spiegel Online. 10 April 2008. Dicapai pada 2008-09-08. 
  12. ^ "Dunia memasuki era baru tenaga nuklear" (Terjemahan). Utusan Malaysia. Dicapai pada 2008-09-09. 
  13. ^ "Jerman berpecah tentang tenaga hijau" (dalam bahasa Inggeris). BBC. 25 Februari 2005. Dicapai pada 2008-09-09. 
  14. ^ "Intercity-Express" (dalam bahasa Inggeris). Deutsche Bahn. Dicapai pada 2008-09-09.