Hamam al-Sammara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hamam as-Sammara pada akhir 1920-an

Hamam al-Sammara ( Arab: حمام السمرا, juga dieja sebagai Hamaam as-Sumara; transliterasi: "Tempat Mandi Orang Samaria" atau "Tempat Mandi Perang") ialah satu-satunya hammam (rumah mandi awam tradisional) yang terletak di Gaza, di Suku Zeitoun di Kota Lama. Hamam al-Sammara terletak 3 meter (9.8 kaki) di bawah paras jalan dan dimiliki oleh Salim Abdullah al-Wazeer. [1] Rumah mandian itu musnah akibat serangan udara daripada tentera Israel pada Disember 2023.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Walaupun dipercayai sudah wujud sejak zaman pra-Islam di Gaza, sebuah plak di lobi Hamam al-Sammara menyatakan bahawa rumah mandian tersebut telah dibaik pulih pada tahun 1320 oleh gabenor Mamluk dari bandar Sanjar al-Jawli . [1] Menurut tulisan Theodore E. Dowling pada tahun 1913, beliau menyatakan bahawa pada tahun 1584, sebuah komuniti Samaria telah wujud di Gaza dan memiliki rumah ibadat yang besar dan dua rumah mandian. "Salah satu rumah mandian itu masih memakai nama "Rumah Mandi Kaum Samaria". Salah seorang gabenor Gaza yang tergolong dalam dinasti Ridwan, ingin memiliki rumah mandian itu tetapi pemiliknya enggan menjualnya. Hal ini telah mengakibatkan gabenor tersebut marah dan beliau menghukum gantung pemilik Hammam al-Sammara di hadapan rumah mandian miliknya. Orang Samaria dipercayai telah diusir dari bandar itu sebelum ambang abad ke-16. [2]

Keluarga Wazeer yang memiliki Hamam as-Sammara memutuskan untuk merobohkannya dan membina bangunan baharu. Walau bagaimanapun, mereka ditinggalkan dengan sistem pemanasan air yang kuno serta rumah mandian yang tidak lagi berfungsi dengan baik dan hal ini memerlukan kos yang tinggi untuk dibaiki. [1] Oleh itu, Universiti Islam Gaza dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memulihkan sebahagian Hamam as-Sammara selepas bangunan tersebut hampir dirobohkan akibat peningkatan kos penyelenggaraan. Rumah mandian itu masih menggunakan sistem ketuhar dan akueduk yang lama. Oleh sebab itu, keluarga Wazeer telah mengumpul dana untuk mengubah suai sistem akueduk di bawah papak marmar bangunan. [1]

Struktur dan perkhidmatan[sunting | sunting sumber]

Hamam as-Sammara terdiri daripada beberapa bilik dengan suhu yang berbeza-beza. [1] Pelanggan mula-mula meninggalkan barangan mereka dengan kerani sebelum pergi ke bilik wap dan akhirnya mereka bermandi dalam air yang suam. Pemercik yang menyiram air sejuk dan tong air disediakan untuk mengelak para pemandi dari terlalu panas. Peringkat terakhir melibatkan para pemandi mengharungi maghtas iaitu kolam kecil yang dipenuhi air panas kira-kira satu meter dalam. Selepas mandi, pelanggan memasuki ruang istirahat yang bersuhu bilik. Perkhidmatan urutan juga disediakan [1] dan dilakukan oleh mudalik ("penggosok") profesional apabila pelanggan berada di bilik wap. [3]

Rumah mandi digunakan sebagai salah satu cara perubatan tradisional untuk mengubati sakit sendi dan kemandulan. Ibu biasanya membawa bayi mereka yang berumur 40 hari ke Hamam as-Sammara untuk mendapatkan berkat. Hamam ini mempunyai kepentingan sosial, terutamanya kepada wanita, sebagai tempat ahli masyarakat berkumpul untuk bersosial. Perkhidmatan terbuka kepada lelaki dan wanita tetapi pada waktu yang berbeza. [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g Hamam as-Sumara (Gaza) Diarkibkan 2007-08-22 di Wayback Machine Programme of Assistance to the Palestinian People. 2004, Volume I.
  2. ^ Dowling, 1913, pp.38-39.
  3. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan TWP tidak disediakan