Istana Pelamin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Istana Pelamin( atau Rumah Pelamin) telah dibina pada tahun 1732 semasa pemerintahan Y.A.M. Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, pemerintah Kedah yang ke-19 (1710-1778).

Istana ini mendapat nama "Istana Pelamin" setelah berlangsungnya istiadat perkahwinan DiRaja yang paling meriah pada tahun 1904, iaitu perkahwinan lima putera dan puteri Almarhum Sultan Abdul Hamid. Pada hari ini, Istana Pelamin telah dijadikan Muzium DiRaja Kedah yang telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1983.

Istana Pelamin telah menempuh pelbagai perubahan sejak ia dirosakkan oleh Bugis pada tahun 1770 dan terbiar semasa pendudukan Siam dari tahun 1821 hingga 1842. Pada tahun 1851, Istana Pelamin diperbaiki oleh Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Istana Pelamin terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu :

  • Ruang sebelah kanan yang dikenali sebagai "Rumah Pelamin";
  • Ruang tengah sebagai kediaman kaum perempuan dan kanak-kanak;
  • Ruang sebelah kiri yang pernah didiami oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Selepas beberapa ketika, Sultan Abdul Hamid telah berpindah ke bahagian belakang Istana Pelamin.

Istana ini telah dijadikan tempat bersemayam Sultan Kedah serta kerabat-kerabat DiRaja. Beberapa adat istiadat diraja seperti kenduri kahwin dan upacara perkahwinan juga telah diadakan di istana tersebut.

Istana ini juga merupakan tempat di mana Y.A.M. Tunku Abdul Rahman Al-Haj diputera dan dibesarkan. Di perkarangan istana ini terdapat Masjid Zahir yang juga merupakan Masjid Diraja.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]