Jejari kovalen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jejari kovalen, rcov, ialah ukuran saiz satu atom yang membentuk sebahagian daripada satu ikatan kovalen. Ia biasanya diukur dalam unit pikometer (pm) atau angstrom (Å), di mana 1 Å = 100 pm.

Asasnya, jumlah dua jejari kovalen sepatutnya bersamaan dengan panjang ikatan kovalen antara dua atom, R(AB) = r(A) + r(B). Tambahan lagi, jejari-jejari berbeza boleh terhasil bagi ikatan tunggal, ganda dua dan ganda tiga. Perkaitan ini sudah pasti tidak tepat kerana saiz satu atom adalah tidak tetap, sebaliknya ia berubah mengikut persekitaran kimianya. Ikatan heteroatom A-B pula mungkin adalah ikatan ion. Selalunya, ikatan kovalen berkutub adalah lebih pendek daripada apa yang dijangka oleh asas jumlah jejari kovalen. Nilai-nilai yang dijadualkan adalah sama ada nilai yang telah dipuratakan atau nilai yang ideal, yang meskipun begitu menunjukkan keteralihan tertentu antara situasi-situasi berbeza, dan ini menjadikannya berguna.

Panjang ikatan R(AB) diukur dengan belauan sinar X (dan juga dengan belauan neutron di atas kristal molekul yang lebih jarang digunakan). Spektroskopi putaran boleh juga menghasilkan nilai yang amat tepat untuk panjang ikatan. Bagi ikatan homonuklear A-A, Linus Pauling mengambil nilai separuh daripada panjang ikatan tunggal sebagai jejari kovalen, misalnya, R(H-H dalam H2) = 74.14 pm, oleh itu rcov(H) = 37.07 pm. Pada praktiknya, nilai purata jejari kovalen biasanya diambil daripada pelbagai sebatian kovalen, walaupun perbezaan antara setiap molekul adalah kecil kebiasaannya.