Jenang Rion

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jenang Rion (di eja juga sebagai Jenang Riun, Jenang Riyon atau Jenang Riyun) merupakan pembesar Melayu yang berasal dari kepulauan Riau dan telah berpindah ke Endau, Pahang, bagi membuka penempatan di sana. Nama penuh beliau ialah Rion bin Long bin Muhammad Said bin Jaafar.

Latar Belakang Keluarga[sunting | sunting sumber]

Moyang Jenang Rion bernama Jaafar. Beliau dilahirkan dan meninggal dunia di pulau Bintan, kepulauan Riau.

Jaafar mempunyai dua orang anak lelaki. Yang pertama bernama Muhammad Said. Yang kedua tidak diketahui namanya kerana beliau meninggalkan kampung pada masa muda dan tiada dapat diingat lagi namanya.

Muhammad Said mempunyai tiga orang anak lelaki bernama Long, Bujang dan Duaji. Selepas kematian Muhammad Said, jandanya berkahwin dengan seorang lelaki dari Terengganu bernama Long dan mendapat seorang anak lelaki bernama Bulang.

Ketiga-tiga anak lelaki Muhammad Said bersama-sama dengan saudara tiri mereka iaitu Bulang kemudian berpindah dari pulau Bintan ke pulau Daik. Ketiga-tiganya meninggal dunia di Daik kecuali saudara tiri mereka iaitu Bulang.[1]

Perpindahan ke Endau[sunting | sunting sumber]

Anak-anak kepada Long, Bujang dan Duaji yang terdapat di pulau Daik bersama-sama dengan ayah saudara tiri mereka iaitu Bulang kemudian telah bermuafakat untuk berpindah ke Negeri Pahang.

Rombongan perpindahan mereka ke Pahang diketuai oleh anak kepada Long bin Muhammad Said yang bernama Rion bin Long. Setibanya di Negeri Pahang, Rion kemudian telah mengetuai rombongan tersebut untuk mengadap Pemerintah Pahang pada ketika itu iaitu Tun Koris.

Permohonan mereka untuk menduduki mana-mana jajahan Pahang untuk dibuka kampung halaman telah dikabulkan oleh Tun Koris. Mereka telah dikurniakan kawasan dari seberang kanan Sungai Endau hingga ke Sedili Kecil sempadan pada Rhu Runcing.

Jenang Rion telah dititahkan untuk menjadi ketua manakala anak lelaki sulungnya yang bernama Jenang Tomong pula sebagai timbalan.

Gelaran 'Jenang'[sunting | sunting sumber]

Jenang maknanya 'suatu gelaran daripada yang berkuasa dengan bertauliah atau berpenjanjian yang berpajak atau sebagainya dengan ditentukan tempat-tempat yang dikuasainya sama ada sungai, teluk, tanjung atau daerah'.[2] Gelaran 'Jenang' ini telah digunakan oleh Jenang Rion serta dua orang anaknya iaitu Jenang Tomong dan Jenang Login.

Kematian Jenang Rion[sunting | sunting sumber]

Lebih kurang di dalam tahun 1870 masihi, Jenang Rion dan anak lelaki sulungnya iaitu Jenang Tomong telah meninggal dunia kerana ditembak oleh penjahat. Isteri kepada Jenang Rion yang bernama Semangkuk pula telah diseksa hingga membawa kepada kematiannya.[3]

Legasi Jenang Rion[sunting | sunting sumber]

Keturunan Jenang Rion ramai yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam meliputi pelbagai cabang dan bidang. Antara yang terkenal adalah seperti berikut:

Anak[sunting | sunting sumber]

Jenang Login bin Rion - Menggantikan tempat ayahnya iaitu Jenang Rion sebagai Penghulu Endau. Beiau telah membuka Pianggu bersama-sama Engku Uda dan bertanggungjawab memajukan kawasan berkenaan.[4]

Cucu[sunting | sunting sumber]

  1. Haji Mohamed Taib bin Jeragan Talib - Pengasas dan Yang Dipertua Kesatuan Melayu Johor (KMJ) yang pertama. Beliau merupakan cucu kepada Jenang Rion menerusi ibu beliau iaitu Che Maryam binti Rion.[5]
  2. Dato' Haji Bidin bin Login - mantan Pegawai Daerah (DO) Johor Bahru. Merupakan anak kepada Jenang Login. Ibu beliau iaitu Simbab binti Hitam Siput bin Bujang bin Muhammad Said mempunyai hubungan persaudaraan dengan ayahnya.[6]
Cicit[sunting | sunting sumber]
  1. Jeneral Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin - mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang kedua. Beliau merupakan cucu kepada Jenang Login menerusi ibunya yang bernama Arfah @ Kundur binti Login.[7]
  2. Dr. Hamzah bin Mohamed Taib - merupakan Doktor Melayu pertama di Negeri Johor. Beliau berusaha memperjuangkan kemerdekaan negara menerusi Kesatuan Melayu Johor (KMJ) dan Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ).[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hashim Ibrahim (1933) Salasilah Tok Jenang Riyon, Dua Puluh Persaudaraan Jamiliah Press Muar p.4
  2. ^ Hashim Ibrahim (1933) Salasilah Tok Jenang Riyon, Dua Puluh Persaudaraan Jamiliah Press Muar p.5
  3. ^ Hashim Ibrahim (1933) Salasilah Tok Jenang Riyon, Dua Puluh Persaudaraan Jamiliah Press Muar p.6
  4. ^ Aruna Gopinath (1991) Pahang 1880-1933 A Political History The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society p.228
  5. ^ Faridah Abdul Rashid (2012) Biography of the Early Malay Doctors Xlibris Corporation p.454
  6. ^ Biroteks (1987) Maklimat Lisan Johor Institut Teknologi Mara p.71
  7. ^ Zakaria Salleh (1995) Tan Sri Abdul Hamid Bidin : Biografi Seorang Jeneral Dewan Bahasa dan Pustaka
  8. ^ Ramlah Adam (1999) Dr. Hamzah Haji Taib di dalam Sumbanganmu Dikenang Dewan Bahasa dan Pustaka p.211