Jenayah berang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jenayah berang (bahasa Inggeris: crime of passion) ialah jenayah keganasan, terutamanya pembunuhan, yang mana pelaku melakukan perbuatan itu secara tiba-tiba kerana emosi yang membuak-buak seperti kemarahan atau cemburu dan bukannya jenayah yang dirancang.[1]

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Cinta segi tiga yang menggambarkan Paolo dan Francesca da Rimini dalam Divina Commedia (Dante Alighieri), dilukis oleh Ingres
Sickles menembak Key pada tahun 1859.

Pembelaan "jenayah berang" mencabar elemen mens rea dengan menyatakan bahawa tiada niat jahat terdahulu, dan jenayah itu sebaliknya dilakukan tatkala memberang. Di sesetengah tempat, pembelaan "jenayah berang" yang berjaya boleh menyebabkan pelaku sebaliknya disabit atas kesalahan pematian orang atau pembunuhan tahap kedua dan bukan tahap pertama, kerana defendan lazimnya tidak boleh disabitkan dengan pembunuhan tahap pertama melainkan jenayah itu dirancang terlebih dahulu. Contoh jenayah berang adalah apabila seseorang terjumpa pasangannya meniduri orang lain dan, tatkala memberang, membunuh orang ketiga itu.

Advokasi[sunting | sunting sumber]

Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, golongan feminis dan organisasi hak wanita telah cuba mengubah undang-undang dan norma masyarakat yang bertolak ansur dengan jenayah berang terhadap wanita. PBB Wanita telah menggesa negara-negara untuk meneliti semula pembelaan berang dan bangkitan marah/provokasi, serta undang-undang yang serupa, untuk memastikan pelakunya keganasan terhadap wanita dibebaskan tanpa hukuman. Mereka menyatakan bahawa "undang-undang harus menyatakan dengan jelas bahawa pembelaan ini tidak termasuk atau terpakai kepada jenayah "kehormatan", perzinaan, atau keganasan tumah tangga atau pembunuhan."[2]

Pengesyoran Majlis Eropah Rec(2002)5 oleh Jawatankuasa Menteri bagi negara-negara anggota mengenai perlindungan wanita daripada keganasan[3] menyatakan bahawa negara-negara anggota harus "mengecualikan perzinaan sebagai alasan untuk keganasan dalam keluarga".

Jenayah berang (yang dilakukan oleh dan terhadap kedua-dua jantina secara melulu) berbeza dengan pembunuhan demi kehormatan, kerana "jenayah berang boleh dilihat sebagai agak terancang terlebih dahulu ke takat tertentu, pembunuhan demi kehormatan biasanya adalah perbuatan yang disengajakan, direncana dengan baik dan dirancang terlebih dahulu apabila seseorang membunuh seorang saudara perempuan kononnya untuk menegakkan kehormatannya."[4] Walau bagaimanapun, pengarah advokasi untuk Human Rights Watch Widney Brown berhujah "jenayah berang mempunyai dinamik yang sama iaitu wanita dibunuh oleh ahli keluarga lelaki dan jenayah itu dianggap boleh dimaafkan atau difahami". Sesetengah penyokong hak asasi manusia mengatakan jenayah berang di Amerika Latin dilayan dengan lembut.[5] Jenayah berang dan pembunuhan demi kehormatan selalunya mempunyai pencetus yang sama, terutamanya yang berkaitan dengan tingkah laku seksual (sebenar atau khayalan) mangsa, seperti seks luar nikah, seks sebelum berkahwin atau seks sejenis; dan terdapat tuduhan bahawa media Barat membuat-buat perbezaan antara keganasan rumah tangga 'asing', seperti pembunuhan demi kehormatan yang paling lazim berlaku di Timur Tengah dan Asia Selatan, dan jenayah berang yang agak lazim di Amerika Utara, Eropah dan Amerika Latin.[5][6]

Konvensyen Majlis Eropah mengenai mencegah dan memerangi keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga, dokumen keganasan rumah tangga antarabangsa pertama yang mengikat, menyatakan di Perkara 42:[7]

Perkara 42 – Justifikasi yang tidak boleh diterima untuk jenayah, termasuk jenayah yang dilakukan atas nama yang kononnya dipanggil kehormatan

1. Pihak hendaklah mengambil langkah-langkah perundangan atau lain-lain yang perlu untuk memastikan bahawa, dalam prosiding jenayah yang dimulakan berikutan pelakuan mana-mana tindakan keganasan yang diliputi oleh skop Konvensyen ini, budaya, adat, agama, tradisi, atau kononnya kehormatan tidak boleh dianggap sebagai justifikasi untuk perbuatan tersebut. Ini meliputi, secara khasnya, dakwaan bahawa mangsa telah melanggar norma budaya, agama, sosial atau tradisi atau adat tingkah laku yang sesuai.

2. Pihak hendaklah mengambil langkah perundangan atau lain-lain yang perlu untuk memastikan galakan oleh mana-mana orang kanak-kanak untuk melakukan mana-mana perbuatan yang disebut dalam perenggan 1 tidak akan mengurangkan liabiliti jenayah orang itu untuk perbuatan yang dilakukan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, advokasi dan reformasi undang-undang telah memberi tumpuan kepada beberapa bidang undang-undang:

  • memansuhkan peruntukan yang secara jelas memperuntukkan pengurangan atau pembebasan dalam jenayah berang (kebanyakan peruntukan sedemikian tertumpu kepada suami membunuh isteri kerana perzinaan dan bapa membunuh anak perempuan kerana seks sebelum nikah, contohnya undang-undang sedemikian wujud di Itali sehingga 1981)
  • memperbaharui undang-undang pertahanan diri dengan memastikan perkataan yang samar-samar tidak membawa kepada tafsiran luas konsep itu, seperti mempertahankan diri dalam soal kehormatan keluarga atau reputasi; menurut UNWOMEN, "Penggubal harus meneliti peruntukan pertahanan diri untuk kekaburan yang membiarkan tafsiran terbuka jika kemudaratan itu termasuk terjejasnya "kehormatan". Susunan kata seperti "perbuatan berbahaya atau tidak adil" adalah samar dan membukakan tafsirannya kepada budi bicara kehakiman jika peruntukan pertahanan diri terpakai untuk jenayah "kehormatan".[8]
  • memperbaharui pembelaan berkaitan kegilaan, seperti kegilaan, kegilaan sementara, dorongan yang tidak dapat ditahan, tanggungjawab menyusut dan pembelaan lain yang serupa untuk memastikan pembelaan tersebut merujuk kepada masalah psikiatri yang sebenar atau benar-benar tidak mampu memahami disebabkan faktor-faktor objektif (seperti menyedut asap toksik) dan tidak diada-adakan untuk mewajarkan pembunuhan dalam rumah tangga.[9]
  • memperbaharui pertahanan provokasi, terutamanya berkaitan pencetus yang boleh dituntut. Contohnya, Kanada telah meminda undang-undang provokasinya pada tahun 2015, mengehadkan penggunaannya, supaya tingkah laku provokatif mangsa mestilah merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum selama 5 tahun atau lebih (bukan sekadar "penghinaan").[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hill, Gerald N.; Hill, Kathleen (2002). The people's law dictionary : taking the mystery out of legal language. New York, NY: MJF Books. ISBN 9781567315530.
  2. ^ "Decriminalization of adultery and defenses". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-08. Dicapai pada 2014-05-27.
  3. ^ Council of Europe, Committee of Ministers, Plenary. "Committee of Ministers - on the protection of women against violence". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 2015-03-01.
  4. ^ Communications, Government of Canada, Department of Justice, Electronic (24 September 2013). "Historical Context - Preliminary Examination of so-called Honour Killings in Canada". www.justice.gc.ca. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 February 2015. Dicapai pada 18 February 2016.
  5. ^ a b "Thousands of Women Killed for Family "Honor"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-09-05. Dicapai pada 2014-05-27.
  6. ^ Shier, Allie; Shor, Eran (2015). ""Shades of foreign evil": "honour killings" and "family murders" in the Canadian press" (PDF). Violence Against Women (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2021-07-27. Dicapai pada 2021-11-15.
  7. ^ "Council of Europe – Convention on preventing and combating violence against women and domestic violence (CETS No. 210)". Diarkibkan daripada yang asal pada 16 February 2015. Dicapai pada 20 April 2015.
  8. ^ "Decriminalization of adultery and defenses". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-20. Dicapai pada 2021-11-19.
  9. ^ https://leginfo.legislature.ca.gov/faces/codes_displaySection.xhtml?lawCode=PEN&sectionNum=25 Diarkibkan 2021-11-19 di Wayback Machine.
  10. ^ Branch, Legislative Services (27 August 2021). "Consolidated federal laws of canada, Criminal Code". laws-lois.justice.gc.ca. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 October 2018. Dicapai pada 28 November 2018.