Pergi ke kandungan

Kerubut Emas Klondike

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kerubut Emas Klondike
Prospectors ascending the Chilkoot Pass in a long line
Pencari emas melalui Genting Chilkoot, 1898
Nama lainKerubut Emas Alaska, Kerubut Emas Yukon
PusatDawson City (di kawasan lembangan Sungai Yukon dan Sungai Klondike, Kanada)
Tempoh1896–99 (Beramai-ramai: 1897–98)
Penemuan16 Ogos, 1896, Bonanza Creek
DitemukanGeorge Carmack (off.) dan Skookum Jim
Pencari emas100,000 dimana 30,000 tiba dan 4,000 menemui emas
Laluan
  • Semua laluan air
  • Laluan Dyea/Skagway
  • Denai All Canadian
LegasiThe Call of the Wild, The Gold Rush

Kerubut Emas Klondike yang juga dikenali Kerubut Emas Yukon, Kerubut Emas Alaska, Kerubut Emas Alaska-Yukon, dan Kerubut Emas Besar Terakhir merupakan migrasi para pencari emas seramai 100,000 orang ke Klondike, Yukon, barat laut Kanada pada tahun 1896 sehingga 1899. Emas ditemui di sini pada 16 Ogos 1896. Apabila berita penemuan tersebut sampai ke bandar Seattle dan San Francisco pada tahun berikutnya, berita tersebut mencetuskan migrasi beramai-ramai dalam kalangan para pencari emas. Namun, perjalanan untuk sampai ke Klondike sungguh payah. Dalam penghijrahan tersebut, hanya 30,000-40,000 sampai ke sana. Ada yang menjadi kaya, ada yang jatuh miskin dan hanya 4,000 pencari emas yang menemui emas. Kerubut emas ini berakhir apabila emas ditemui di kawasan baru bernama Nome yang mencetuskan Kerubut Emas Nome, mencetuskan perpindahan beramai-ramai ke sana. Peristiwa ini diabadikan dalam gambar, filem dan buku.

Para pencari emas mula melombong emas di Yukon bermula pada 1880-an. Apabila emas mula ditemui di Sungai Klondike pada 1896, keghairahan dalam kalangan penduduk tempatan amat dirasai. Walau bagaimanapun, disebabkan Klondike merupakan kawasan yang sungguh terpencil serta mempunyai cuaca sejuk yang sungguh ekstrem, berita penemuan tersebut hanya tersebar setahun kemudian. Penghijrahan beramai-ramai mula berlaku selepas kapal membawa emas dari Klondike tiba di pelabuhan-pelabuhan di barat laut Amerika Syarikat pada Julai 1897, memulakan klimaks kerubut emas ini. Ditambah pula dengan laporan akhbar tentang penemuan emas tersebut, kerubut emas ini menjadi kegilaan seluruh negara. Disebabkan itu, ramai yang berhenti kerja dan pergi ke Klondike sebagai pencari emas. Fenomena ini dimanfaatkan oleh peniaga, jurugambar, penulis dan sebagainya untuk mencari pendapatan.

Untuk sampai ke kawasan kerubut emas, para pencari emas harus melalui Pelabuhan Dyea dan Skagway yang terletak di tenggara Alaska. Selepas itu, mereka perlu melalui Genting Chilkoot atau Genting White untuk sampai ke Sungai Yukon dan kemudian mudik ke Klondike. Setiap orang harus membawa bekalan makanan cukup untuk setahun untuk mengelakkan kebuluran;ini menyebabkan berat peralatan ketika perjalanan mencapai 1 tan yang harus dikandar oleh mereka sendiri. Mereka juga harus tabah dengan cuaca sejuk yang ekstrem dan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang untuk sampai pada musim panas 1898. Apabila sampai, mereka mendapati hasil emas tidak seberapa dan ramai yang berasa kecewa.

Melombong emas di situ sungguh sukar kerana pencarian bijih emas tersebut mampu mengelirukan para pencari emas walaupun pencari tersebut berpengalaman. Memburukkan lagi keadaan melombong adalah tanah ibun abadi yang menyukarkan kerja mengorek tanah. Keadaan tersebut menyebabkan pelombong mewujudkan pasaran jual beli, di mana mereka melabur dalam perusahaan melombong dan mengupah orang untuk melombong. Bandar baru mula wujud untuk menampung keperluan perumahan para pencari emas. Banyak bandar baru muncul di sepanjang laluan ke sana dan keadaan ini telah mewujudkan bandar Dawson City yang terletak di lembangan Sungai Klondike dan Sungai Yukon. Bandar tersebut asalnya mempunyai 500 penduduk pada 1896, meningkat mendadak sehingga 30, 000 orang pada musim panas 1898 tetapi pertambahan mendadak ini menyebabkan perancangan bandar yang begitu teruk. Dawson City tidak mempunyai sistem pembetungan yang sistematik, kehadiran wabak penyakit, dan kebakaran yang berleluasa. Keadaan ini sedikitpun tidak menjejaskan para pencari emas untuk berjudi dengan jumlah yang besar di pub sekitar bandar. Namun, puak asli Hän mengalami kesan langsung akibat penghijrahan beramai-ramai, ramai antara mereka yang mati sebelum dipindahkan ke penempatan baru.

Pada 1898, akhbar-akhbar yang asalnya begitu kerap menyiarkan kerubut emas ini telah mula hilang minat untuk mengutarakan isu ini. Apabila berita penemuan emas baru di Nome, Alaska Barat tersebar, ini mencetuskan perpindahan para pencari emas dari Klondike. Fenomena ini menandakan pengakhiran kerubut emas ini. Bandar baru wujud serta Dawson City mengalami pengurangan penduduk yang begitu mendadak. Emas terus dilombong sehingga 1903 apabila pengeluaran mencapai kemuncak setelah jentera perlombongan berat dibawa masuk. Secara keseluruhannya, Klondike mengeluarkan emas sebanyak 1,250,000 paun (570,000 kg). [1] Legasi peristiwa ini mewujudkan peluang pelancongan dan Klondike terus hidup dengan hasil tersebut.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Orang Asli di barat laut Amerika Utara sudah lama memperdagangkan bijih kuprum sebelum orang Eropah datang ke Amerika Utara. Kebanyakan puak di situ sudah lama mengetahui terdapat emas di situ tetapi bagi mereka, emas tidak begitu bernilai.[2][3][4] Empayar Rusia dan Syarikat Hudson Bay terlebih dahulu meneroka Yukon pada separuh pertama abad ke-19, tetapi tidak memberi perhatian kepada emas kerana memberi tumpuan kepada perdagangan bulu yang memberikan keuntungan dalam masa yang lebih cepat. Malah pencari emas terawal pun menjalankan perdagangan bulu secara sampingan untuk meneruskan kehidupan.

Pada separuh kedua abad ke-19, para pencari emas dari Amerika mula meneroka pedalaman semenanjung.[5] Dengan kerjasama puak Tlingit dan puak Tagish, para pencari emas terawal berjaya meneroka laluan melalui Genting Chilkoot dan Genting White untuk sampai ke Lembah Yukon sekitar 1870-90.[6] Di Lembah Yukon, mereka bertemu puak nomad Hän yang menyara diri dengan menangkap ikan dan memburu binatang serta tinggal di sepanjang Sungai Klondike dan Sungai Yukon. Mereka seperti tidak tahu kewujudan emas di kawasan mereka.[n 1]

Pada tahun 1883, Ed Scheifellin menemui longgokan bijih emas di sepanjang Sungai Yukon, dan satu lagi ekspedisi di Sungai Fortymile juga menemukan emas yang agak banyak. Hasil emas ini digunakan untuk mengasaskan Fortymile City.[7][8] Pada tahun yang sama, emas ditemui di tebing Sungai Klondike namun dalam jumlah yang amat kecil.[9] Pada lewat 1880-an, beberapa ratus pelombong mula meneroka Lembah Yukon. Mereka mendirikan penempatan sendiri untuk melombong dan berdagang dengan puak Hän.[10][11][12]

Bandar Circle City, Alaska, bandar pembalakan yang terletak berhampiran sempadan, telah diasaskan di Sungai Yukon. Dalam masa 3 tahun, bandar ini mendapat jolokan "Paris Alaska" kerana mempunyai 1200 penduduk dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti salon, rumah opera, sekolah dan perpustakaan. Bandar tersebut sangat terkenal pada 1896 sehingga wakil dari "The Chicago Daily Record" yang berpusat di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat datang melawat. Malangnya pada hujung tahun, bandar ini menjadi bandar tinggal selepas penemuan emas di Klondike.[13]

Sampingan

[sunting | sunting sumber]

Peta Kerubut Emas Klondike

[sunting | sunting sumber]
Yukon ketika penemuan emas

Laluan Dyea/Skagway

Laluan Takou, Stikine dan Edmonton

Senarai bekalan untuk pencari emas Klondike

[sunting | sunting sumber]
  • 150 paun (68 kg) bakon
  • 400 paun (180 kg) tepung
  • 25 paun (11 kg) oat
  • 125 paun (57 kg) kacang
  • 10 paun (4.5 kg) teh
  • 10 paun (4.5 kg) kopi
  • 25 paun (11 kg) gula
  • 25 paun (11 kg) ubi kentang kering
  • 25 paun (11 kg) bawang merah kering
  • 15 paun (6.8 kg) garam
  • 1 paun (0.45 kg) lada hitam
  • 75 paun (34 kg) buah kering
  • 8 paun (3.6 kg) serbuk penaik
  • 8 paun (3.6 kg) soda
  • 0.5 paun (0.23 kg) cuka sejat
  • 12 auns (340 g) tin sup
  • 1 tin mustard
  • 1 tin mancis (untuk 4 orang)
  • Dapur gas untuk 4 orang
  • Kuali untuk setiap orang
  • Set baldi granit
  • Baldi besar
  • Pisau, garpu, sudu, cawan dan pisau
  • Kuali menggoreng
  • Teko
  • Batu pengasah
  • Dua tukul besi lombong dan satu penyodok
  • Beliung
  • Tali pembawa barang
  • Dua kapak untuk 4 orang dan satu tali pembawa
  • Enam 8-inci (200 mm) kikir parut dan dua kikir bulat untuk setiap kumpulan
  • Pisau pemarut kulit kayu, gerudi tangan, pengetam, dan tukul untuk setiap kumpulan
  • 200 kaki 0.375-inci (9.5 mm) tali
  • 8 paun (3.6 kg) resin dan 5 lb (2.3 kg) oakum untuk 4 orang
  • Paku, 5 paun (2.3 kg) berharga 6, 8, 10 and 12 penny, untuk 4 orang
  • Khemah, 10 kali 12 kaki (3.0 m × 3.7 m) untuk 4 orang.
  • Kanvas untuk membungkus
  • Dua selimut pelindung minyak untuk setiap bot
  • 5 ela kelambu untuk setiap orang
  • 3 helai pakaian tebal
  • 1 kot Mackinaw tebal
  • 2 pasang seluar kapas tebal
  • 1 kot bergarisan getah tebal
  • 12 stokin kapas tebal
  • 6 sarung tangan kapas tebal
  • 2 kemeja tebal
  • 2 but getah tebal
  • 2 pasang kasut
  • 4 helai selimut (untuk dua orang)
  • 4 tuala
  • 2 helai baju kemeja
  • 1 helai pakaian pelindung minyak
  • Pakaian musim panas
  • Beberapa jenis ubat-ubatan

Senarai ini ialah cadangan untuk alatan dan bekalan yang cukup untuk pencari emas selama setahun, dikeluarkan Syarikat Northern Pacific Railroad pada 1897. Jumlah berat kasar ialah 1 tan, dan kos yang dijangka ialah $140 ($3,800).[14]

  1. ^ Burke, Hart & Lewis 2005, m/s. 525.
  2. ^ Berton 2001, m/s. 4.
  3. ^ Emmons, & De Laguna 1991, m/s. 182–183.
  4. ^ a b Backhouse 1995, m/s. 7.
  5. ^ Berton 2001, m/s. 5.
  6. ^ Berton 2001, m/s. 7–9.
  7. ^ Berton 2001, m/s. 9–15.
  8. ^ Gould 2001, m/s. 8.
  9. ^ Gould 2001, m/s. 7.
  10. ^ Berton 2001, m/s. 14.
  11. ^ Allen 2007, m/s. 2.
  12. ^ Porsild 1998, m/s. 46.
  13. ^ Berton 2001, m/s. chp 4.
  14. ^ The Chicago Record 1897, m/s. 54–55.
  1. ^ Seorang ahli puak Hän berkata "kaum saya tahu tentang Klondike,tetapi tidak tahu-menahu tentang kewujudan emas".[4]