Kitab Ruyl-Van Hasel-Heurnius

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kitab Mazmur Hasel-Heurnius)
Jump to navigation Jump to search
Kitab Ruyl-Van Hasel-Heurnius
Nama penuh: Kitab Ruyl-Van Hasel-Heurnius
Bahasa: Bahasa Melayu Klasik
PB diterbitkan: 1668
Teks asas: Teks Yunani asal
Kaedah terjemahan: Harfiah
Status hakcipta: Hakcipta telah luput
Gabungan mazhab: Protestan

Kitab Ruyl-Van Hasel-Heurnius adalah nama yang diberikan untuk kelompok kitab-kitab daripada Alkitab yang diterjemahkan oleh beberapa tokoh Kristian awal di rantau Nusantara kepada Bahasa Melayu Klasik. Ia merupakan salah satu daripada penterjemahan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu yang terawal. Ia juga antara usaha penterjamahan sistematik teks Alkitab ke dalam bahasa bukan-Eropah yang terawal di zaman moden [1].

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Injil Ruyl[sunting | sunting sumber]

Albert Cornelius Ruyl adalah seorang pedagang Syarikat Hindia Timur Belanda yang tiba di rantau Nusantara pada tahun 1600. Sebagai seorang yang alim, beliau mengambil kesempatan untuk mempelajari Bahasa Melayu dan memulakan usaha untuk menterjemahkan Injil Matius ke dalam Bahasa Melayu. Usaha ini dibuat secara persendirian dan tidak ditaja oleh pihak Gereja Reformasi Belanda yang pada masa itu tidak berminat untuk menginjili penduduk-penduduk tempatan [2].

Ruyl menyiapkan terjemahannya pada tahun 1612, hanya setahun selepas Alkitab bahasa Inggeris klasik, versi King James diterbitkan di England. Pada tahun 1629, terjemahan Ruyl dicetakkan di Enkhuizen, Belanda oleh Jan Jacobsz Palestein dengan judul, Euangelium Beschreven Door Mattheum - Euangelium Ulkadus bersuratnja kapada Mattheum. Ia dicetak di dalam bentuk diglot (ataupun dua bahasa) di mana teks Bahasa Melayu dan teks Bahasa Belanda dicetakkan selari[3].

Edisi ini juga memuatkan beberapa terjemahan petikan-petikan utama daripada Alkitab dan juga teks rohani Kristiani seperti Sepuluh Rukun (Keluaran 20:2-14), Kidung Zakharia (Lukas 1:68-79), Kidung Maria (Lukas 1:46-55), Kidung Simeon (Lukas 2:29-32), Doa Bapa Kami (Matius 6:9-13), beberapa Mazmur, Pengakuan Iman Rasuli dan juga beberapa doa yang lain [4]. Peristiwa bersejarah ini dicatatkan oleh Pertubuhan Alkitab British dan Negara Asing seperti berikut [5]:

"Injil pertama bahasa Melayu, dicetak pada tahun 1629, adalah penting sebagai contoh awal terjemahan dan percetakan bagi tujuan penginjilan sebahagian Alkitab dalam bahasa bukan Eropah"

Pada tahun 1638, Injil Markus yang siap diterjemahkan oleh Ruyl diterbitkan di dalam bentuk diglot.

Injil Van Hasel[sunting | sunting sumber]

Pada masa yang sama Jan van Hasel, seorang pengarah Syarikat Hindia Timur Belanda, juga sedang mengusahakan penterjemahan Injil Markus dan Injil Yohanes. Usaha ini dicetak pada tahun 1646 [6].

Kitab Heurnius[sunting | sunting sumber]

Seorang pendita Gereja Reformasi Belanda di Batavia, Justus Heurnius, mengusahakan penterjemahan kitab Kisah Rasul-rasul. Beliau juga menyemak kembali teks keempat-empat Injil yang diterjemahkan oleh Ruyl dan van Hasel sebelum ini dengan nashkah teks Alkitab Yunani kuno yang dimilikinya. Justeru itu, semakan teks Ruyl dan van Hasel diterbitkan di Amsterdam, Belanda pada tahun 1651 bersama-sama dengan penterjemahan beliau di dalam satu nashkah. Salinan nashkah ini kini didalam simpanan perpustakaan Universiti Cambridge di Cambridge, England dan perpustakaan Universiti Amsterdam di Amsterdam, Belanda [6].

Pada tahun 1652, Heurnius juga menerbitkan penterjemahan kitab Mazmur di dalam bentuk diglot secara berasingan. Pada tahun 1668, seluruh Kitab Perjanjian Baru di dalam Bahasa Melayu telah pun diterbitkan di Amsterdam, Belanda [7].

Sifat kesusasteraan[sunting | sunting sumber]

Penterjemahan[sunting | sunting sumber]

Terjemahan Ruyl dan van Hasel berasaskan teks Alkitab bahasa Belanda dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu Klasik. Sebagai tokoh-tokoh sekular, mereka tidak mempunyai akses kepada teks-teks sastera dan Alkitabiah yang kuno untuk dijadikan rujukan.

Heurnius pula adalah seorang tokoh gereja. Oleh kerana itu, usaha terjemahannya menggunakan teks Alkitab bahasa Yunani kuno terbitan Erasmus sebagai rujukan utama dan beliau juga telah menyemak semula terjemahan Ruyl dan van Hasel dengan menggunakan teks yang sama. Hasil semakan Heurnius digabung dengan terjemahan kitab Kisah Rasul-rasul yang diusahakan beliau dan dicetak pada tahun 1651.

Gaya bahasa[sunting | sunting sumber]

Contoh gaya bahasa yang digunapakai oleh hasil kerja ketiga-tiga tokoh ini boleh dilihat dari teks Doa Bapa Kami dibawah yang dipetik dari Matius 6:9-13 dan dibanding dengan teks yang sama dari Alkitab Bahasa Melayu moden:

Teks Doa Bapa Kami Ruyl[sunting | sunting sumber]

Petikan Matius 6:9-13 Bahasa Melayu Klasik yang diterbitkan pada tahun 1629:

Mat 6:9
Bappa kita, jang berdudok kadalam surga : bermumin menjadi akan namma-mu.
Mat 6:10
Radjat-mu mendatang, kahendak-mu menjadi di atas bumi seperti di dalam surga.
Mat 6:11
Berila kita makannanku sedekala hari.
Mat 6:12
Makka ber-ampunla pada-kita doosa kita, seperti kita ber-ampun akan siapa ber-sala kapada kita.
Mat 6:13
D'jang-an hentar kita kapada setana seitan, tetapi muhoon-la kita dari pada iblis."

Teks Doa Bapa Kami Bahasa Melayu Moden[sunting | sunting sumber]

Petikan Matius 6:9-13 Bahasa Melayu Moden yang diterbitkan pada tahun 2001:

Mat 6:9
Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati.
Mat 6:10
Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati
Mat 6:11
Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini.
Mat 6:12
Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami.
Mat 6:13
Jangan biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Barton, John (2002-12). The Biblical World. Oxford, UK: Routledge. ISBN 978-0415275743.  Check date values in: |date= (bantuan)
  2. ^ Sairin, Weinata (1994). Persebaran Firman di Sepanjang Zaman. Jakarta, Indonesia: Lembaga Alkitab Indonesia. ISBN 979415007X.  Parameter |coauthors= tidak diketahui diabaikan (guna |author=) (bantuan)
  3. ^ Ruyl, Albert Corneliſz (1629), Het Nievwe Testament. - Iang Testamentvm Baharv, Enckhuyſen: Jan Jacobſz.  pautan luar dalam |title= (bantuan)
  4. ^ Daud, Soesilo (2002), "Terjemahan Alkitab Melayu dan Indonesia: Dulu dan Sekarang", History of Translation. in Indonesia and Malaysia, Paris, France: Centre International d'Etudes Pédagogiques 
  5. ^ North, Eric McCoy ((2nd Edition) 1972). The Book of a Thousand Tongues. London: United Bible Societies.  Parameter |coauthors= tidak diketahui diabaikan (guna |author=) (bantuan); Check date values in: |date= (bantuan)
  6. ^ a b Soesilo, Daud (2001). Mengenal Alkitab Anda. Jakarta, Indonesia: Lembaga Alkitab Indonesia. ISBN 978-9794633720 Check |isbn= value: checksum (bantuan). 
  7. ^ Horne, Thomas Hartwell (2009). An Introduction To The Critical Study and Knowledge of the Holy Scriptures, Volume II. General Books, LLC. ISBN 978-1459029293.