Nusantara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Konsep asal Nusantara

Nusantara ialah sepatah kata majmuk yang berasal daripada dua perkataan bahasa Jawa kuno, iaitu nusa (pulau) dan antara (lain). Istilah "Nusantara" secara spesifik merujuk kepada Indonesia, dan secara amnya merangkumi lingkungan pengaruh kebudayaan dan linguistik Kemaharajaan Majapahit di Asia Tenggara yang merangkumi kepulauan Indonesia, Singapura, Brunei, Timor Leste, sebahagian Malaysia, sebahagian Thailand, dan sebahagian Filipina.

Konsep Nusantara sebagai rantau bersepadu dicipta pada masa kejayaan kerajaan-kerajaan Jawa, terutama iaitu pada masa Kemaharajaan Majapahit pada tahun 1293. Pada tahun 1275, istilah "Cakravala Mandala Dvipantara" digunakan untuk menggambarkan Kepulauan Asia Tenggara yang diasaskan oleh Raja Kertanegara dari Kerajaan Singhasari.[1] Istilah lazim yang digunakan di Malaysia sebagai padanan untuk 'Nusantara' ialah 'Alam Melayu', walaupun istilah Nusantara kini juga digunakan secara meluas di Malaysia. Istilah 'Melayu' di Indonesia dan Malaysia adalah berbeza. Di Indonesia, 'Melayu' merujuk kepada kaum Melayu yang tinggal di beberapa bahagian Sumatera dan kawasan pesisir Kalimantan. Oleh sebab itu, Indonesia tidak menggunakan istilah 'Kepulauan Melayu' untuk menghindarkan daripada etnosentrisme dan berusaha mengekalkan keharmonian semua kaum di Indonesia. Manakala di Malaysia, yang dianggap Melayu ialah sebarang kaum yang beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu, dan fasih bertutur Bahasa Melayu.

Bahasa dan kebudayaan

Kebanyakan bahasa yang dituturkan di wilayah Nusantara merupakan sebahagian keluarga bahasa Melayu-Polinesia, termasuk bahasa Tagalog yang dituturkan secara meluas di Filipina, bahasa Jawa yang dituturkan di Pulau Jawa, bahasa Melayu yang dituturkan di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Bahasa Indonesia yang berwujud bahasa perpaduan yang merangkumi bahasa-bahasa di Indonesia dengan penutur terbanyak di kawasan Asia Tenggara.

Pada zaman dahulu, agama wilayah Nusantara ialah agama campuran yang terdiri daripada agama-agama Hindu, Buddha, dan tradisi-tradisi asli. Penemuan artifak seperti tulang, batu dan sisa makanan penghuni di gua di rantau Asia Tenggara menunjukkan adanya sebaran kebudayaan pada zaman prasejarah.[2] Sejak dari masa itu, agama-agama yang baru, termasuk agama Kristian dan Islam telah memantapkan kedudukannya di sini.

Kebudayaan di wilayah Nusantara kini dipengaruhi oleh banyak agama, iaitu agama Islam yang mempunyai banyak penganut di Indonesia, Brunei, Malaysia, Singapura, agama Katolik yang mempunyai banyak penganut di Filipina dan Timor Leste, agama Hindu (terutama di Bali, Indonesia), agama Buddha, dan tradisi-tradisi asli.

Konsep Nusantara

Istilah "Nusantara" boleh merujuk kepada perkara-perkara yang berlainan, bergantung kepada konteksnya.

Nusantara sebagai Konsep Kebudayaan

Digunakan dalam konteks kebudayaan, istilah "Nusantara" secara amnya merangkumi pulau-pulau Asia Tenggara dan sebilangan wilayah benua yang berjiran yang bahasa-bahasa Melayu-Polinesia, serta budaya-budaya berkait merupakan budaya yang terutama. Dari sudut pandangan ini, Malaysia (termasuk tanah besar Malaysia), Filipina, dan pulau-pulau negara Indonesia (kecuali New Guinea), kesemuanya termasuk dalam konsep Nusantara. Secara linguistik, konsep ini boleh diperluas untuk merangkumi pulau-pulau Taiwan dan Madagascar kerana bahasa asli kedua-dua pulau ini juga merupakan sebahagian bahasa Austronesia.

Kerajaan-kerajaan Jawa

Menurut kitab Pararaton, Gajah Mada menyatakan dalam Sumpah Palapa: Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukita palapa, sira Gajah Mada : Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, Hujung Medini (Semenanjung), samana ingsun amukti palapa.

Terjemahan: Beliau, Gajah Mada sebagai Patih (=Perdana Menteri) menyatakan dia akan terus berpuasa dari "palapa" (rempah-ratus dan buah-buahan). Gajah Mada berkata: Jika aku telah menguasai Nusantara (=pulau-pulau sekitar), baru aku akan berhenti berpuasa. Bila aku telah menguasai Gurun, Seram, Tanjungpura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, maka aku akan berhenti berpuasa.

Kitab Negarakertagama mencantumkan wilayah-wilayah "Nusantara", yang pada masa sekarang dapat dikatakan merangkumi sebahagian besar wilayah moden Indonesia (Sumatera, Kalimantan, Nusa Tenggara, sebahagian Sulawesi dan pulau-pulau di sekitarnya, sebahagian Kepulauan Maluku, dan Papua Barat) ditambah wilayah Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian kecil Filipina bahagian selatan.

Secara morfologi, kata ini adalah kata majmuk yang diambil dari bahasa Jawa Kuna|Sanskrit nusa ("pulau") dan antara ("gugusan"). Sedangkan Nuswantara berasal dari kata nusa ("bangsa-bangsa") swa (yang "mandiri/merdeka") anta ("suci/ anak dari dewa/ keturunan mulia") dan tara ("kesatria kebenaran").

Di bawah Kerajaan-kerajaan Jawa, istilah "Nusantara" ialah istilah yang paling luas antara tiga istilah yang digunakan untuk menghuraikan lingkungan pengaruh raja-raja Jawa:

  • "Negara Agung"' digunakan untuk menghuraikan kawasan di sekitar ibu kota yang tertakluk kepada pengaruh raja secara langsung;
  • "Mancanegara" digunakan untuk kawasan-kawasan yang budayanya adalah serupa dengan kebudayaan Jawa, tetapi terletak di luar lingkungan pengaruh langsung raja. Ia umumnya termasuk pulau-pulau Madura, Bali, dan mungkin juga Lampung dan Palembang.
  • "Nusantara" ialah kawasan di luar pengaruh kebudayaan Jawa tetapi masih dituntut oleh raja-raja Jawa sebagai tanah jajahan mereka, dengan raja kawasan-kawasan tersebut diperlukan membayar ufti kepada raja Jawa.

Penggunaan moden

Walaupun istilah "Nusantara" sememangnya digunakan untuk merujuk kepada wilayah-wilayah Indonesia, istilah ini secara amnya kini dipergunakan dengan erti kata yang sebenarnya dari segi konsep kebudayaan yang dihuraikan di atas.

Lihat juga

Negara-negara berdaulat di dalam rantau ini

Rujukan

  1. ^ Wahyono Suroto Kusumoprojo (2009). Indonesia negara maritim. PT Mizan Publika. ISBN 978-979-3603-94-0.CS1 maint: ref=harv (link)
  2. ^ Uqbah Iqbal, Nordin Hussin & Ahmad Ali Seman, Sejarah Perkembangan Nasionalisme Melayu Sebelum Kemerdekaan, Munich: BookRix GmbH & Co. KG., 2014.

Pautan luar