Kolej Komuniti Hulu Langat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kolej Komuniti Hulu Langat mula beroperasi sejak Mac 2003 dengan menumpang di Sekolah Menengah Teknik Kajang. KKHL menawarkan dua kursus iaitu Sijil Penyejukan dan Penyamanan Udara dan Sijil Teknologi Maklumat. Mengikut perancangan awal, Kolej Komuniti Hulu Langat menawarkan 5 program iaitu Sijil Perakaunan Perniagaan, Sijil Penyejukan dan Penyamanan Udara, Sijil Sistem Komputer dan Sokongan, Sijil Automasi Industri, dan Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan. Namun disebabkan beberapa kekangan hanya 2 program sahaja yang dijalankan. Pada Julai 2006, Unit Teknologi maklumat telah berpindah kebangunan Plaza Citra, Kajang iaitu bangunan yang disewa. Manakala Unit Pentadbirandan Penyejukan dan Penyamanan Udara masih kekal di Sekolah Menengah Teknik Kajang. Pada tahun 2008, Program Diploma Pengurusan dan Penyelenggaraan Fasiliti telah dilaksanakan dalam bentuk “Work Based Learning” di Kolej Komuniti Hulu Langat. Walau bagaimanapun program ini telah ditangguhkan pada tahun 2010. Pada 5 Mei 2009, Kolej Komuniti Hulu Langat telah berpindah ke bangunan sendiri di Prima Saujana, Kajang. Bangunan yang mempunyai keluasan lot 1502 meter persegi ini mempunyai kemudahan seperti bilik kuliah, dewan kuliah, bengkel, makmal komputer, perpustakaan, bengkel masakan, bengkel jahitan dan beberapa kemudahan lain.

Pada tahun 2013, ambilan dijalankan sebanyak dua kali setahun iaitu bulan Julai dan November. Program baru ditawarkan dengan pengambilan pelajar Sijil Akauntasi. Pada sesi kemasukan Julai dan November, KKHL telah menawarkan tiga program sepenuh masa untuk mendapatkan Sijil Kolej Komuniti (SKK) iaitu Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, Sijil Aplikasi Perisian Komputer dan Sijil Akauntasi. Jumlah kemasukan pelajar baru pada tahun 2014 adalah seramai 312 orang. Kolej Komuniti Hulu Langat adalah sebuah kolej kemahiran untuk masyarakat setempat yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Kolej komuniti ini adalah 1 daripada 89 buah kolej komuniti yang telah ditubuhkan oleh kerajaan di seluruh negara. Bagi daerah Hulu Langat ini, oleh kerana masyarakatnya adalah bersifat lebih terpelajar dan lebih maju, jika dibandingkan dengan masyarakat di daerah yang jauh dari ibu negara, maka komunti Hulu Langat adalah lebih cenderung ke arah kursus-kursus yang bersifat Teknologi Maklumat, Akauntansi, dan Penyamanan Udara. Kolej ini menawarkan kursus-kursus pendek seperti memasak, menjahit, sulaman, renang, asas perniagaan, senggaraan penyaman udara, teknologi maklumat dan bahasa. Cabang pendidikan kemahiran ini adalah agak baru jika dibandingkan dengan kursus-kursus teknikal yang ditawarkan oleh Universiti dan Politeknik.