Kolej Komuniti
test
Kolej Komuniti merupakan satu sistem pendidikan tinggi di Malaysia di bawah pengurusan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Sejarah penubuhan
[sunting | sunting sumber]Pada 5 Julai 2000, Jemaah Menteri telah mempertimbangkan Memorandum No. 398/2225/00 yang telah dikemukakan oleh Menteri Pendidikan tentang konsep penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Kolej ini akan menjadi institusi yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Sebanyak 10 buah Kolej Komuniti rintis mula beroperasi pada pertengahan Jun 2001 dan 2 buah lagi pada bulan Disember 2001. Lebih banyak Kolej Komuniti sedang dirancang pembinaannya secara berfasa dalam RMK 9.
Kini Kolej Komuniti berada di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan mempunyai matlamat yang sama seperti di awal penubuhannya. Sebagai salah sebuah institusi pendidikan di Malaysia, peranan Kolej Komuniti telah diperluaskan. Kolej Komuniti telah ditubuhkan dengan lebih banyak di serata negara, khusus untuk membentuk komuniti yang lebih dinamik.
Peranan
[sunting | sunting sumber]Kolej Komuniti memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekitar melalui tawaran kursus sepenuh masa yang diiiktiraf oleh kerajaan dan kursus pendek.
Lepasan Kolej Komuniti yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian peringkat diploma di Kolej Komuniti, Politeknik atau di Institut Pengajian Tinggi yang lain.
Kaedah Diploma
[sunting | sunting sumber]Program Diploma Kolej Komuniti
[sunting | sunting sumber]Program ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada lulusan Kolej Komuniti melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Peluang ini diberi dengan mengambil kira pencapaian akademik pelajar termasuk pengalaman kerja selepas tamat pengajian peringkat sijil. Program ini juga dilaksanakan secara kolaboratif dengan syarikat-syarikat yang telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kolej Komuniti pada 2 Februari 2007.
Program ini dilaksana berasaskan konsep Work-Based Learning. Tempoh program Diploma ini adalah minimum 3 semester dan maksimum 6 semester. Pelajar dikehendaki menjalani latihan di syarikat selama 2 semester dalam bentuk teori dan praktikal atau secara Work-Based Learning dan selama 1 semester lagi di Kolej Komuniti.
Konsep Program Diploma Kolej Komuniti
[sunting | sunting sumber]Program ini melibatkan kerjasama Sektor Pengurusan Kolej Komuniti (bersama Kolej-Kolej Komuniti) dan syarikat-syarikat berkaitan. Kerjasama ini merangkumi aspek pembangunan kurikulum dan pelaksanaan kurikulum (penyampaian pengajaran dan pembelajaran) secara kolaboratif di Kolej Komuniti dan juga di tempat kerja.
Konsep Pembelajaran Berasaskan Kerja
[sunting | sunting sumber]Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) merupakan salah satu kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang inovatif. Pendekatan ini melibatkan kerjasama antara Sektor Pengurusan Kolej Komuniti, Kolej-Kolej Komuniti dan syarikat-syarikat berkaitan. Kerjasama ini mengambil kira aspek-aspek penting yang terlibat dalam sesuatu sistem pendidikan iaitu pembangunan kurikulum, penyampaian pengajaran dan pembelajaran dan pentaksiran serta peperiksaan. Pendekatan ini memastikan supaya pengetahuan, kemahiran dan juga sikap yang positif dapat diterap ke dalam diri pelajar dengan lebih berkesan.
Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan peringkat antarabangsa sebagai contoh, Washington State University mendefinisikan WBL sebagai pengalaman pembelajaran di mana pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di institusi dan di industri adalah berkaitan dengan apa yang diperlukan di alam kerja sebenar. WBL juga menekankan aktiviti-aktiviti dan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran untuk membantu pelajar-pelajar membangun dan memenuhi perancangan kerjaya dan pendidikan individu.
Kaedah Sijil
[sunting | sunting sumber]Program Sijil Kolej Komuniti
[sunting | sunting sumber]Program ini memberi peluang kepada lulusan SPM atau SPMV menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi. Konsep pembelajaran dan penilaian Kolej Komuniti adalah berbeza dengan kebanyakan IPT tempatan kerana memberikan lebih penekanan kepada praktikal (skill) berbanding teori semata-mata. Pengajian pada peringkat sijil mengambil masa sekurang-kurangnya selama 4 semester (2 tahun) termasuk 1 semester Latihan Industri.
Kelayakan masuk
[sunting | sunting sumber]- Warganegara Malaysia dan lulus peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV).
- Kelayakan lain yang setaraf boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
- Calon-calon dari kalangan penduduk setempat akan diberi keutamaan.
- Untuk program Diploma, hanya lulusan dari Sijil Kolej Komuniti sahaja layak memohon.
Program yang ditawarkan
[sunting | sunting sumber]- Diploma Teknologi Automotif
- Sijil Automotif
- Diploma Teknologi Elektrik
- Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan & Perkhidmatan)
- Diploma Teknologi Komputer
- Sijil Sistem Komputer dan Sokongan
- Sijil Teknologi Maklumat
- Diploma Hotel dan Katering
- Sijil Hotel dan Katering
- Diploma Fesyen dan Pakaian
- Sijil Fesyen dan Pakaian
- Diploma Teknologi Senibina
- Sijil Pelukis Pelan Senibina
- Diploma Teknologi Pengiklanan
- Sijil Multimedia Kreatif (Pengiklanan)
- Diploma Pengurusan & Penyelenggaran Fasiliti
- Sijil Penyenggaraan Bangunan
- Sijil Penyejukan & Penyamanan Udara
- Diploma Teknologi Pemprosesan Makanan
- Sijil Pemprosesan Makanan & Kawalan Mutu Makanan
- Diploma Pelancongan & Pengembaraan
- Sijil Pelancongan & Pengembaraan
- Diploma Perakaunan Perniagaan
- Sijil Perakaunan Perniagaan
Visi dan misi
[sunting | sunting sumber]- Visi
“Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang Teknologi, Bisnes dan Industri Perkhidmatan serta berazam melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
- Misi
“Mewujudkan peluang, membangunkan potensi dan mencapai kecemerlangan untuk pelajar lepasan menengah dan Komuniti setempat melalui pendidikan dan latihan”
Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang teknologi, busines dan industri perkhidmatan serta berazam melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungawab selari dengan falsafah pendidikan negara
Moto
[sunting | sunting sumber]“Peneraju Komuniti Berilmu & Berkemahiran”
Mewujudkan peluang membangunkan potensi dan mencapai kecemerlangan diri bagi pelajar lepas menengah dan masyarakat setempat melalui pendidikan dan latihan